Pada hari ini, 1 Sep 2016, akan berlaku fenomena Gerhana Matahari Cincin. Ia akan dapat dilihat merentasi benua Afrika hinggalah ke selatan Lautan Hindi.
Fenomena gerhana cincin ini berlaku apabila Bulan berada tepat di hadapan Matahari, berdasarkan pandangan kita di Bumi.
Namun, disebabkan orbit Bulan ini elips, maka ada ketikanya ia sedikit hampir dengan Bumi, dan ada ketikanya ia jauh sedikit. Jika kebetulan ketika gerhana, ia berada jauh sedikit dari Bumi, maka jasad Bulan ini tidak berupaya menutup KESELURUHAN Matahari.
Apa yang akan dilihat ialah sebuah lingkaran cahaya berbentuk cincin, mengelilingi satu bulatan hitam di tengah-tengah.
Bulatan hitam itu ialah jasad Bulan, manakala lingkaran cahaya berbentuk cincin itu ialah saki baki jasad Matahari yang masih dapat dilihat ketika itu.
Suasana ketika persekitaran ketika fasa kemuncak gerhana cincin itu tidaklah menjadi gelap seperti gerhana penuh. Ia akan kelihatan redup sedikit. Walaupun begitu cahaya matahari masih terlalu terang dan berbahaya untuk dilihat dengan mata.
Pencerap masih memerlukan menggunakan penapis khas untuk melihat gerhana ini.
Malangnya, kita di Malaysia, tidak berpeluang menyaksikannya. Hanya beberapa kawasan kepulauan Indonesia, seperti di selatan Sumatera dan Pulau Jawa sahaja yang dapat melihat sedikit sahaja matahari yang tertutup (fasa cincin tidak kelihatan juga di sini).
Gerhana di Tanah Suci
Gerhana kali ini dapat dilihat dari 2 buah kota suci umat Islam di Tanah Arab, iaitu Makkah dan Madinah.
Berdasarkan kiraan, bagi anda yang berada di Makkah ketika itu, matahari akan kelihatan tertutup sebanyak 3.4% sahaja, bermula dari jam 10.38 pagi, kemuncak pada 11.22 pagi dan tamat pada jam 12.08 tengahari. Semua waktu tempatan.
Bagi anda yang berada di Madinah, kesan gerhana lagi sikit. Matahari hanya akan tertutup sebanyak 0.16% sahaja, bermula dari jam 11.03 pagi, kemuncak pada jam 11.19 pagi, dan tamat pada jam 11.35 pagi.
Menurut Prof. Dr. Saidfudin Mas’udi yang berada di Makkah, beliau menasihatkan jemaah untuk datang seawal jam 9.30 pagi waktu tempatan untuk solat gerhana berjemaah di sana.
Bagi yang berminat untuk melihat fenomena Gerhana Matahari Cincin ini secara Live di internet, boleh sertai livefeed oleh Slooh.com di bawah.
Wallahua’lam