
4 buah komet sedang melintasi langit di sekitar waktu Subuh sekarang ini. Berdasarkan laporan daripada COBS, kesemua 4 komet itu berada di atas kecerahan magnitud 10. Ini bermakna ia mudah untuk dirakam dan ada di antaranya sudah boleh dilihat dengan mudah menerusi binokular.
Jom kita lihat satu per satu.
Komet C/2015 ER61 ( PanSTARRS )
Komet ini telah mengejutkan ramai orang. Sangkaan awal menunjukkan pada ketika ini ia sepatutnya masih berlegar-legar di dalam magnitud 8, tetapi pada 3,4 hari lepas ia menunjukkan peningkatan yang mendadak menjadi magnitud 6.5!
Komet ini berada di langit sebelah selatan , di sekitar buruj Capricornus. Nak senang cerita ia berada di sebelah ‘kiri’ dari kawasan Bima Sakti terang di Scorpius dan Sagittarius.
Awal Subuh tadi, saya mengambil peluang merakam komet ini, dan memang jelas mendapati ia begitu terang dan mudah dilihat, walaupun dengan waktu dedahan kamera CCD selama 10 saat sahaja!


Rakaman oleh penggiat astronomi amatur dunia juga sungguh mengujakan.
Dawn comet PanSTARRS (C/2015 ER61) just underwent a bright outburst and is now an easy binocular object https://t.co/TMHrUJSrHO pic.twitter.com/coREvtGeX6
— Massimo (@Rainmaker1973) April 6, 2017

Peta di atas menunjukkan kedudukan komet tersebut sehingga 16 April 2017 nanti. Ia masih berlegar-legar di sekitar buruj Capricorn.
Buat masa ini, komet C/2015 ER61 ini boleh dilihat dengan mudah menggunakan binokular.
Komet 41P/Tuttle-Giacobini-Kresak
Komet ini juga dikatakan sedang berlaku peningkatan kecerahan mendadak. Pada bulan Mac dan April ini, ia melintasi hampir dengan Bumi, pada jarak 0.14 AU ( 1 AU bersamaan 149,597,870.700 km)
Laporan di COBS menunjukkan ia berlegar-legar di tahap kecerahan magnitu 6-7.


Di manakah komet ini sekarang? Ia berada rendah di ufuk utara berhampiran dengan buruj Biduk atau Ursa Major). Ia akan melintasi masuk ke kawasan buruj Draco.
Waktu yang baik untuk mencarinya ialah pada jam 4 pagi, ketika ia berada pada kedudukan paling tinggi di atas ufuk.
Komet C/2017 E4 ( Lovejoy )
Komet C/2017 E4 (Lovejoy) pula berada rendah di ufuk timur, selepas Subuh. Kedudukannya sekarang semakin rendah, tetapi ia semakin cerah.
Ia bersinar pada magnitud 6.5 dan dilaporkan juga sedang berlaku peningkatan mendadak dari segi kecerahannya.


Anda perlukan kawasan ufuk timur yang luas dan tidak terhalang untuk cuba mengejar komet ini!
Komet C/2015 V2 ( Johnson )
Akhir sekali ialah Komet Jonhson. Saya telah pun menulis pada awal tahun ini mengenai prospek yang baik untuk kita melihat komet ini. Siapalah sangka 3 komet di atas sudah ‘mencuri tumpuan’ daripadanya!
Buat masa ini, komet ini ada konsisten kecerahannya, mengikut apa yang diramal. Ia bersinar pada magnitud 8.

Kedudukannya sekarang berada di kawasan buruj Hercules. Sedikit atas dari kedudukan Komet 41P/Tuttle-Giacobini-Kresak tadi.

Waktu terbaik untuk mencarinya ialah sekitar jam 4 pagi ketika ia berada pada ketinggian paling maksimum.
Adakah komet-komet ini boleh dilihat dengan mata kasar?
Tidak. Walaupun kecerahan 3 daripada 4 komet di atas berada di sekitar magnitud 6, ia masih terlalu kelam untuk ‘lihat dengan mudah’ menggunakan mata kasar.
Anda perlu sekurang-kurangnya menggunakan sebuah binokular, dan mempunyai pengetahuan untuk membaca peta bintang dan mencari kedudukan sebenarnya.
Saya jangkaan kamera DSLR dan lens 50mm boleh dapat merakamnya. Saya belum mencubanya lagi tetapi berdasarkan pengalaman komet-komet terdahulu, ia tidak mustahil boleh dirakam dengan mudah tanpa teleskop.
Wallahua’lam.
Rujukan lain