Asteroid sebesar Menara Shanghai akan melintasi Bumi pada 19 April 2017

Berita Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid Penemuan Terkini
Asteroid 2014 JO25 ketika ia berada pada titik paling hampir dengan Bumi, pada 19 April 2017, 8.30 pm waktu Malaysia. Gambaran artis ini menunjukkan pandangan perspektif dari asteroid ke arah Bumi. Credit: NASA JPL/Celestia/S. Sutherland

Sebuah lagi asteroid akan melintasi ‘hampir’ dengan Bumi pada 19 April 2017 nanti.

Asteroid bernama 2014 JO25 yang dipercayai mempunyai diameter sepanjang 650 meter, akan melintasi Bumi pada jarak selamat, iaitu sejauh 1.8 juta kilometer, atau lebih kurang 4.6 kali ganda LEBIH JAUH dari Bulan!

https://twitter.com/RonBaalke/status/734422634276872193

 

Pada saiz tersebut, asteroid 2014 JO25 ini hampir sama tinggi dengan Menara Shanghai di China!

Banyak laman web yang telah menularkan cerita dan mengatakan asteroid ini akan terhempas ke Bumi dan menyebabkan meda tsunami yang besar. Itu semua tidak benar kerana jarak lintasannya amat jauh. Malah, Bumi kita ni pun sentiasa dilintasi asteroid-asteroid yang bersimpang-siur, malah ada yang bergerak di antara Bumi dan Bulan pun!

Cuba istimewanya kali ini ialah saiz asteroid tersebut agak besar. Kali terakhir sebuah asteroid yang besar melintasi hampir dengan Bumi ialah pada tahun September 2004, oleh asteroid Toutatis (yang bersaiz 5 km!)

Penemuan asteroid 2014 JO25 ini dibuat menerusi pencerapan Catalina Sky Survey hampir 3 tahun dulu. Projek ini merupakan satu usaha untuk memantau pergerakan asteroid-asteroid yang boleh mengancam Bumi pada masa hadapan.

Buat masa ini, ahli astronomi masih tidak tahu komposisi asteroid ini, samada ia berais atau berbatu, Namun begitu, menerusi misi angkasa NEOWISE (Near-Earth Object Wide-field Infrared Survey Explorer), pemerhatian awal menunjukkan asteroid ini mempunyai tahap pembalikan cahaya 2 kali lebih banyak berbanding Bulan kita! Ini bermakna, walaupun ia melintasi jauh (atau dekat, bergantung kepada perspektif masing-masing) daripada Bumi, ia boleh dapat dilihat menerusi teleskop kecil daripada Bumi.

Menurut space.com , ia akan muncul 1-2 malam sekitar tarikh terdekat ia melintasi Bumi, iaitu 19 April 2017.


Lokasi di langit

 

Kalau bab-bab mencari objek pelik-pelik ni memang saya suka. Menggunakan perisian Sky Safari 5 Pro, saya lakukan pengiraan laluan asteroid ini dan double check menggunakan maklumat di JPL’s HORIZON system , sebuah aplikasi web yang akan menjanakan kedudukan objek-objek langit. Selain itu, laman web   virtualtelescope.eu juga telah memberi maklumat berikut…

At the time of its minimum distance from us (19 April, 12:24 UT), will shine as bright as magnitude 11.0, easy to spot with a very small (60 mm of aperture) telescope or binocular.

A few hours after its close encounter, before the end of 19 April, asteroid 2014 JO25 will peak at magnitude 10.7, easy to see with the smallest binoculars (40 mm aperture) and very easy to image even with a ordinary, moderate telephoto lens, able to immediately document its motion across the stars.

Jadi dari sini, waktu ketika ia paling cerah, bersinar pada magnitud 10.7 ialah beberapa jam selepas ia melintas paling hampir iaitu 8:24 malam waktu Malaysia. Namun ketika itu, ia belum terbit lagi. Asteroid ini akan hanya kelihatan selepas jam 9 malam, tetapi itu pun rendah di ufuk timur.

Saya pun cuba janakan peta kedudukan asteroid ini dan mendapati menjelang sekitar 1.30 pagi masuk tarikh 20 April 2017, asteroid 2014 JO25 ini berada pada poin paling tinggi iaitu sekitar 43 darjah, berhampiran dengan buruj Biduk atau Ursa Major.

Kedudukan tertinggi asteroid 2014 JO25 pada jam 1.30 pagi (12.30 tengah malam di Sabah) pada 20 April 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro

InsyaAllah jika cuaca mengizinkan, saya akan cuba lakukan cerapan dan rakaman lintasa asteroid ini. Jika anda mempunyai teleskop berkomputer dan berkemahiran menggunakannya serta memilik kamera DSLR, pada kecerahan ini, saya jangkakan asteroid ini amat mudah untuk dirakam.

Selamat mencuba!

Wallahua’lam.

#jomteropong

 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

2 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Fahmi Paridin

assalam, tuan ada tak tulisan mengenai bumi globe vs leper?

terima kasih.

Muhammad Qayyum Halele

Assalammualaikum wrt. Sejak baca tentang lintasan asteroid tersebut di space.com minggu lepas saya tercari-cari juga jika ada orang di Malaysia yang mahu menjejakinya. Boleh saya sertai En. Shah untuk belajar buat cerapan?