Zuhrah melintasi 2 kluster

Fenomena Himpunan Samawi

Dalam diam-diam, Zuhrah yang berada di langit pagi sedang melintasi kawasan buruj Taurus. Di dalam buruj inilah terletak 2 buah kluster bintang (gugusan bintang, star cluster) yang amat popular di kalangan penggiat dan peminat langit malam, The Seven Sisters (atau juga dikenali sebagai The Pleaides) dan Hyades.

Cuma perhatikan peta di bawah ini.

Pandangan arah Timur selepas Subuh.

Simulasi (atas) ini menunjukkan kedudukan planet Zuhrah, yang kelihatan seperti sebutir ‘bintang’ yang amat cerah di langit timur, selepas Subuh.

Di sebelah kiri Zuhrah, kita akan melihat kluster bintang The Seven Sisters. Ia merupakan sebuah kluster yang cukup terang dan amat mudah dilihat dengan mata kasar. Dikatakan seseorang yang memiliki daya penglihatan yang baik, akan dapat melihat sehingga 7 butir bintang kesemuanya. Menerusi binokular, jumlahnya menjadi berpuluh-puluh! Dan jika kita melihat menerusi teleskop ataupun merakam gambar menerusi teleskop, jumlah bintang yang kelihatan di dalamnya mencecah ratusan!

Di bahagian bawah dari Zuhrah pula, mata kita akan ternampak sebutir bintang kemerahan yang agak terang. Bintang itu bernama Aldebaran. Sebuah bintang gergasi merah yang sedang berada di dalam fasa umur ‘tua’. Warna merah bintang ini agak jelas dan boleh dicam dengan mata.

Jika anda ingat pos-pos saya sebelum ini menerusi page FalakOnline di FB, di sekeliling bintang Aldebaran ini penuh dengan bintang-bintang yang sederhana terang. Taburan bintang-bintang ini sebenarnya bukan rawak! Ia merupakan sebuah lagi kluster bintang yang bernama Hyades.

Taburan bintang di dalam kluster Hyades ini kelihatan lebih ‘terserak’ berbanding dengan The Seven Sisters, yang mana ia kelihatan lebih ‘padat’ dan ‘terkumpul’.

Adakah bintang Aldebaran ini termasuk di dalam kumpulan kluster Hyades? Berdasarkan kajian, sebenarnya Aldebaran berada lebih dekat dengan kita berbanding kluster tersebut. Jarak Aldebaran ialah 66 tahun cahaya, manakala kluster Hyades ialah sekitar 147 tahun cahaya.


Lintasan Zuhrah

 

Berbalik kepada fenomena tumpuan kita tadi, Zuhrah akan bergerak melintasi kawasan di antara kluster Seven Sisters dan Hyades, dalam jangka masa 10 hari bermula hari ini.

Pada Subuh esok, 5 Julai 2017, planet ini akan berada pada poin paling hampir dengan kluster Seven Sisters, pada jarak lebih kurang 6 atau 7 darjah sahaja.

Posisi pada 5 Julai 2017

Pada 10 Julai, Zuhrah bersama-sama dengan kluster Seven Sisters dan Hyades akan berada sebaris.

Posisi pada 10 Julai 2017

Selepas itu, planet ini akan bergerak menghampiri kluster Hyades, dan berada pada poin terhampir dengannya pada Subuh 12 Julai 2017.

Posisi pada 12 Julai 2017

Cara melihat

 

Ketiga-tiga objek ini amat terang dan boleh dilihat dengan mata kasar. Anda tidak perlukan sebarang alat untuk melihatnya. Sebaik-baik tempat ialah jauh daripada gangguan cahaya terang atau jauh dari kawasan bandar. Jika anda cuba melihatnya dari bandar besar seperti Kuala Lumpur, mungkin hanya Zuhrah dan Aldebaran sahaja yang kelihatan, manakala bintang-bintang di dalam kluster-kluster tadi akan lenyap ditelan cahaya lampu!

Mulakan cerapan beberapa ketika sebelum Subuh, ketika langit masih lagi gelap. Jika anda mula melihatnya 15-30 minit selepas Subuh, cahaya langit yang semakin terang itu akan mula menenggelamkan kluster-kluster tersebut.

Jika anda mempunyai teleskop atau binokular, alat yang PALING SESUAI ialah Binokular.

Contoh sebuah BInokular

Berdasarkan kiraan kasar yang saya buat menerusi perisian Sky Safari 5 Pro, kedua-dua Zuhrah dan kluster Seven Sisters akan dapat ‘dimuatkan’ dalam satu pandangan yang sama pada 5 dan 6 Julai. Selepas itu, keduanya berada agak jauh antara satu sama lain.

Medan pandangan 7 darjah (bulatan biru) menerusi binokular saiz 7X50 pada 5 Julai 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Manakala, Zuhrah dan kluster Hyades, akan dapat dilihat serentak bermula 9 hingga 14 Julai 2017.

Medan pandangan 7 darjah (bulatan biru) menerusi binokular saiz 7X50 pada 11 Julai 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Astrofotografi

 

Untuk merakam fenomena ini amat senang. Gunalah mana-mana DSLR yang ada, dan lens 18-55mm pun dah ok. Malah, saya dapati jika anda mempunyai lens 50mm, itupun sudah memadai untuk memuatkan KETIGA-TIGA objek ini serentak di dalam satu frame!

Framing foto yang menggunakan kamera DSLR dan lens 50mm

Saya amat syorkan agar anda cuba merakamnya setiap hari, dan lihat sendiri bagaimana pergerakan Zuhrah ini di sebalik bintang-bintang di langit.

Jika anda hendak merakam menggunakan kamera pada telefon bimbit, saya tak galakkan kerana hasilnya amat mengecewakan. Mungkin anda hanya mampu merakam Zuhrah dan Aldebaran sahaja, tetapi tidak dapat langsung melihat bintang-bintang di dalam kluster-kluster tadi.

 

Kawasan buruj Taurus, kluster Seven Sisters berada di bawah, manakala bintang Aldebaran dan kluster Hyades di atas kiri. Foto ini dirakam dari Australia, menerusi lens 50mm dan kawasan langit yang amat gelap. Sumber.

Astronomi Almanak 2017

 

Saya telah masukkan reminder fenomena ini di dalam Kalendar Almanak Astronomi 2017. Sila update maklumat anda.

Selamat mencerap dan jangan lupa kongsikan foto anda di Page FB atau Twitter FalakOnline .

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments