Juraian meteor Perseid kembali lagi tahun ini. Berdasarkan maklumat daripada Space.com dan IMO, waktu puncaknya akan berlaku pada jam 1 pagi 13 Ogos 2017 waktu Malaysia.
BIlangan meteor yang akan kelihatan bagi meteor ini adalah antara 80 hingga 100 meteor setiap jam.
Tetapi, tunggu kejap!!
Jika kita lihat kalendar Almanak Astronomi 2017, didapati tarikh 13 Ogos ini, Bulan masih lagi besar dan terang menyinari waktu tengah malam hingga ke Subuh. Maka dijangka bilangan meteor tidaklah sebanyak seperti yang dijangka akibat daripada gangguan cahaya Bulan itu nanti.
Bilakah meteor Perseid ini muncul?
Meteor Perseid berasal daripada saki baki peninggalan habuk sebuah komet bernama Komet 109P/Swift-Tuttle.
Setiap kali komet bergerak melintasi kawasan berhampiran dengan matahari, sebahagiannya akan hancur dan meninggalkan satu jalur debu dan habuk di sepanjang laluannya.
Bermula pada 17 Julai hingga 1 September, Bumi akan melintasi masuk ke dalam kawasan dabu dan habuk ini. Ketika itu, debu-debu ini akan menghentam masuk ke dalam atmosfera kita pada kelajuan 59 km sesaat!
Kesan hentaman inilah yang kita akan dapat saksikan sebagai tahi bintang atau meteor.
Bilangan meteor Perseid ini akan semakin bertambah hinggalah kepada waktu puncaknya ialah sekitar 1 pagi 13 Ogos 2017.
Selepas itu, ia akan semakin berkurangan kerana Bumi mula keluar daripada kawasan laluan habuk dan debu Komet 109P/Swift-Tuttle tadi.
Kemuncak pada awal pagi 13 Ogos 2017.
Di sepanjang laluan tadi, Bumi akan berada di kawasan paling padat sekitar jam 1 pagi 13 Ogos 2017 waktu Malaysia. Ketika inilah bilangan meteor yang muncul akan meningkat dengan banyaknya.
Sebaik-baik waktu cerapan meteor ialah bermula tengah malam hingga ke Subuh.
Malangnya, untuk tahun 2017 ini, cahaya Bulan akan mengganggu. Berdasarkan kiraan falak, Bulan akan terbit sekitar jam 11.00 malam 12 Ogos (10.00 malam di Sabah) dan berada tinggi di langit menjelang Subuh 13 Ogos 2017.
Atas sebab faktor gangguan cahaya dari Bulan ini, adalah dijangkakan bilangan meteor 80-100 meteor sejam tadi akan berkurang dan menjadi sekitar 40 meteor sejam sahaja. Itupun bergantung kepada lokasi cerapan. Jika anda mencerap dari kawasan yang ada banyak gangguan cahaya, bilangan ini akan semakin kecil.
Namun begitu, meteor Perseid popular dengan kehadiran meteor jenis fireballs, iaitu meteor yang lebih besar dan terang daripada biasa. Maka, ia akan dapat meningkatkan kebarangkalian untuk kita melihatnya walaupun Bulan hadir di langit.
Arah munculnya meteor Perseid.
Meteor Perseid akan kelihatan ‘muncul’ dari arah buruj bernama Perseus. Ia merupakan sebuah buruj yang agak terang di langit kawasan utara, berhampiran dengan buruj Orion dan Taurus.
Peta di atas menandakan kedudukan buruj Perseus sekitar jam 4 pagi (5 pagi di Sabah). Perhatikan kehadiran Bulan berhampiran dengan buruj ini akan mengganggu penglihatan kebanyakan meteor.
Kaedah melihat dan merakam meteor
Cara melihat meteor Perseid ini sama sahaja dengan meteor-meteor lain. Sila rujuk artikel Jawapan mengenai Meteor yang anda perlu tahu untuk dapatkan jawapan kepada persoalan yang sering ditanya oleh orang ramai mengenai juraian meteor ini.
Selamat mencerap!