Asteroid kembar bercirikan sebuah komet

Berita Penemuan Terkini
Foto time-lapse yang dirakam oleh Teleskop Hubble menunjukkan 2 jasad asteroid yang mengorbit antara satu sama lain sambil mengeluarkan ekor seperti sebuah komet. Perubahan kedudukan ekor itu disebabkan perbezaan sudut pandangan dari Bumi di sepanjang pemerhatian selama lebih sebulan. Kredit NASA, ESA, and J. DePasquale and Z. Levay (STScI)

Sistem solar ini menjadi semakin kompleks setiap hari. Dulu kita hanya daulu kategori planet, bulan, asteroid dan komet. Kemudian teknologi berkembang, kita menemui Trans-Neptunian object (TNO), selepas itu komet itu sendiri mempunyai sub-kategori seperti short-term dan long-term comets. Setelah banyak objek di belakang Pluto ditemui, sebuah lagi kategori baru yang dipanggil planet kerdil diwujudkan bagi menjelas satu jenis objek yang tak boleh masuk dalam mana-mana kumpulan planet.

Kemudian kita dapat tahu asteroid itu sendiri kadang-kala mempunyai bulan kecil tersendiri, malah ada yang mempunyai gelang!

Ada juga asteroid yang menghasilkan coma, atau pancutan gas seperti komet. Ini telah mengaburikan lagi definisi antara komet dan asteroid.

Baru-baru ini ada lagi satu penemuan unik. Asteroid 300163 (2006 VW139/288P) yang ditemui pada Nov 2006 dan dllihat mempunyai ciri-ciri sebuah komet (iaitu menghasilkan coma atau gas) pada Nov 2011, rupa-rupanya terdiri daripada 2 buah asteroid yang mempunyai jisim yang hampir sama, mengorbit antara satu sama lain!

Di dalam sebuah kertas kajian yang akan diterbitkan dalam Nature minggu ini, sekumpulan saintis dari  Max Planck Institute for Solar System Reseach, Germany, telah membuat penemuan ini daripada data cerapan yang diperolehi daripada Teleskop Angkasa Hubble.

Asalnya objek ini diklasifikan sebagai sebuah asteroid (diberi nombor katalog 300163), kemudian setelah dilihat mempunyai ciri-ciri sebuah komet ia juga diklasifikasikan sebagai komet (nombor katalog 2006 VW139/288P).

Cuma yang peliknya, kajian susulan mendapati ia sebenarnya 2 buah asteroid bersaiz 1km setiap satu, dan mengorbit satu sama lain pada jarak 100km!

Pelik di sini ialah, model yang di buat oleh pasukan yang diketuai oleh Jessica Agarwal tadi mendapatinya selalunya asteroid berkembar seperti ini tidak akan dipisah sejauh seperti tadi. Model kiraan menunjukkan jarak yang standard ialah 10 kali ganda lebih dekat dari jarak tadi.

Satu lagi ciri yang lain daripada yang lain ialah bentuk orbitnya amat elips (tidak bulat). Ini cukup unik terutama jika diambil kira dengan saiz kedua-dua objek ini serta jarak di antara keduanya.

Penemuan wap air yang keluar daripadanya juga menjadikan ia mempunyai ciri seperti komet.

Kajian objek seperti ini, yang juga dikenali sebagai main-belt comets, iaitu komet-komet yang bergerak di dalam kawasan lingkaran asteroid di antara Marikh dan Musytari, penting di dalam memahami bagaimana molekul air tersebar dan jatuh ke permukaan Bumi berbilion tahun dahulu.

Kawasan-kawasan di mana kebanyakan asteroid berada ialah di antara orbit Marikh dan Musytari. Namun ada juga kumpulan asteroid jenis trojan yang berada di dalam orbit yang sama dengan Musytari. 288P terlepas di dalam kawasan Asteroid Belt atau juga dikenali sebagai Main Belt. Kredit SA/Hubble, M. Kornmesser

Kumpulan sainstis tadi menyatakan besar kemungkinan 5000 tahun dahulu, asteroid ini pecah dan terpisah menjadi sebuah sistem asteroid kembar hasil daripada putaran paksinya yang amat laju.

Cukup menarik untuk tunggu dan tahu samada objek-objek sebegini memang banyak atau sekadar satu yang unik.

Penemuan-penemuan baru ini janganlah dianggap pelik dan hairan kerana di luar sana, angkasa lepas ini terlampau luas untuk kita tahu kesemuanya. Pemerhatian demi pemerhatian harus dilakukan. Pasti ada benda baru yang akan ditemui dan dari itu kita boleh gunakannya untuk mengukuhkan pemahaman di dalam pembentukan alam semesta.

Jika kita duduk diam sahaja, tak ke mana-manalah tahap pengetahuan kita ini.

belajar berilmu.


Rujukan

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Hairi Power

betul ke iss keliling bumi 16x sehari? kenapa blh laju sgt