Saksikan fenomena penghijaban Zuhrah oleh Bulan – 18 Sep 2017

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban
Simulasi Bulan menghampiri Zuhrah. Sumber.

Pada awal pagi 18 Sep 2017 nanti, kita akan dapat menyaksikan satu fenomena yang unik dan jarang kita berpeluang lihat di Malaysia, iaitu penghijaban planet Zuhrah oleh Bulan.


Apakah sebenarnya penghijaban?

Fenomena penghijaban (atau occultation) merupakan satu kejadian yang melibatkan sebuah objek melintasi di hadapan objek lain.  Ketika ia berlaku, cahaya objek di belakang akan terlindung sepenuhnya, atau mungkin juga sebahagian sahaja cahayanya akan terlindung. Saya boleh huraikan secara ringkas pasangan objek yang boleh mengalami fenomena penghijaban ini seperti berikut:

  1. Bulan dengan bintang (selalu berlaku)
  2. Bulan dengan planet (kadang-kadang berlaku)
  3. Planet dengan bintang (amat jarang berlaku)
  4. Planet dengan planet (amat-amat jarang berlaku)
  5. Asteroid dengan bintang (kadang-kadang berlaku)

Di antara pasangan objek di atas, nombor (1) dan (2) adalah yang paling mudah untuk diamati oleh kebanyakan orang.

Kita boleh ‘umpamakan’ penghijaban ini sebegai ‘gerhana matahari’, walaupun umum di kalangan komuniti astronomi, kedua-duanya tidak sama. Satu lagi fenomena yang pernah kita lihat di Malaysia, iaitu lintasan planet Zuhrah di hadapan Matahari pada tahun 2004 dan 2012 yang lalu walaupun kita nampak ia seperti penghijaban, tetapi ia dikenali sebagai transit kerana objek di hadapan kelihatan lebih kecil berbanding objek di belakang.


Bilakah kali terakhir Zuhrah dihijab oleh Bulan?

Setiap bulan, pusingan orbit Bulan akan membawanya melewati berhampiran dengan planet Zuhrah. Zuhrah merupakan sebuah planet yang amat terang dan mudah dikenal oleh sesiapa sahaja pun. Ketika ini, ia berada di langit Subuh, di ufuk sebelah timur.

Selalunya, Bulan dan Zuhrah akan menjadi satu pasangan objek yang sungguh cantik kerana kedua-duanya amat terang dan photogenic. Selain itu, ketika Bulan berada hampir dengan planet ini, ia akan berada dalam fasa bulan sabit. Semasa fasa bulan sabit ini juga kita akan dapat melihat sinaran cahaya bumi di atas permukaan Bulan, yang dipanggil sebagai Earthshine.

Maka, gabungan bulan sabit, Zuhrah dan Earthshine menjadikan saat-saat sebegini sentiasa dinantikan oleh penggemar langit.

Hampir setahun yang lepas, Bulan telah melewati berhampiran dengan Zuhrah. Fenomena ini dipanggil sebagai conjunction. Pada 18 Sep 2017 nanti, Bulan ada berada betul-betul di hadapan Zuhrah. Foto shahgazer.net

 

Namun begitu, untuk melihat Bulan bergerak betul-betul di hadapan Zuhrah, ia jarang berlaku. Ia memerlukan satu susunan geometri samawi yang amat sempurna. Ia juga hanya dapat dilihat jika kita berada di lokasi yang tepat sahaja. Selain itu, kadang-kala ia berlaku pada waktu siang dan sukar atau hampir mustahil untuk dilihat dengan mata kasar.

Itulah yang berlaku pada 26 Feb 2014, di mana Bulan menghijab Zuhrah pada sekitar jam 3 petang di Malaysia. Pada waktu itu, saya mencerapnya dari Timah Tasoh Lake Resort di Perlis. Video rakamannya di bawah, dan mendapat liputan daripada laman web UniverseToday.com 

 

Sebelum itu, Zuhrah juga pernah dihijab oleh Bulan pada tahun 2002. Foto di bawah dirakam oleh William Chin.

Foto oleh William Chin

 


Di kawasan manakah yang boleh menyaksikan fenomena ini nanti?

Seperti mana saya sebutkan sebelum ini, tidak semua lokasi yang akan dapat menyaksikan fenomena ini. Berdasarkan kiraan yang dibuat menggunakan Occult 4.2.0 , negara-negara yang berpeluang menyaksikannya ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Australia dan New Zealand.

Namun hanya Indonesia barat (Sumatera) sahaja yang boleh dikatakan ‘sempat’ untuk melihatnya sebelum matahari terbit. Di Sememanjung Malaysia, kita akan menyaksikannya ketika matahari sedang terbit rendah di ufuk timur, manakala di Sarawak (sekitar Bintulu), ia hanya dapat dilihat setelah matahari berada di atas ufuk.

Negara-negara di dalam kawasan garisan hijau akan dapat lihat fenomena penghijaban ini.

 

Kawasan di bawah garisan hijau akan melihat Zuhrah terhijab sepenuhnya oleh Bulan. Di sebelah atas garisan hijau, Zuhrah akan kelihatan bersebelahan Bulan
Kawasan di bawah garisan hijau akan melihat Zuhrah terhijab sepenuhnya oleh Bulan. Di sebelah atas garisan hijau, Zuhrah akan kelihatan bersebelahan Bulan

Peta di atas dijanakan menerusi data Occult 4.2.0 dan boleh masukkan ke dalam Google Earth menerusi fail KMZ ini.

Secara amnya, anda di Kuala Lumpur hanya akan dapat melihat Zuhrah dan Bulan berada bersebelahan sahaja dan tidak dihijab. Tetapi jika anda turun ke selatan sedikit seperti di  Putrajaya, Bangi dan Banting, sudah boleh melihat Zuhrah dihijab.

Di Sarawak, mana-mana kawasan di selatan Bintulu akan dapat lihat proses penghijaban ini. Miri tak nampak. Bagi anda di Sabah, penghijaban tidak akan berlaku.


Apa yang akan kelihatan nanti?

Secara amnya, anda sudah  boleh melihat Zuhrah dan Bulan berada sebelah-menyebelah (Zuhrah berada ke bawah kiri sikit dari Bulan) pada waktu selepas Subuh, 18 Sep 2017 nanti. Perhatikan kedudukan kedua-dua objek ini. Menjelang waktu terbit matahari, keduanya akan berada hampir sebaris kiri kanan.

Simulasi kedudukan Bulan dan Zuhrah dari Kuala Lumpur pada jam 6.45 pagi, 18 Sep 2017 nanti. Sky Safari 5 Pro

Di sinilah akan nampak perbezaan dari lokasi ke lokasi.

Bagi ke utara Kuala Lumpur, Bulan akan kelihatan melintasi sipi sahaja dari Zuhrah. Sesiapa berada di selatan KL, Bulan akan menutupi keseluruhan Zuhrah dan planet ini akan kelihatan ‘hilang dari pandangan’ buat beberapa ketika.

Bagi anda di Sarawak, fenomena hijab akan berlaku tetapi pada waktu itu matahari sudah pun berada di atas ufuk.

Simulasi di bawah (menggunakan Sky Safari 5 Pro)  menunjukkan 5 lokasi berlainan, iaitu Kota Bharu,  Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru, serta Kuching.

Perhatikan perbezaan ‘laluan’ Bulan ketika ia melintasi di hadapan Zuhrah di bandar-bandar yang berlainan.


Bagaimana cara untuk tahu keadaan penghijaban dari lokasi selain di atas?

Cara yang terbaik ialah menggunakan perisian simulasi langit seperti Stellarium.

Muat turun dan install  Stellarium. Kemudian setkan lokasi anda. Waktu dan tarikh, set pada 18 Sep 2017 jam 6.30 pagi. Kemudian search ‘Moon’ atau “Venus’.  Setelah kedua-dua objek ini dipaparkan, buat perubahan sedikit demi sedikit terhadap waktu dan perhatikan perubahan kedudukan Bulan dan Zuhrah tersebut.


Apakah jenis alat yang perlu digunakan?

Ketika peringkat awal fenomena ini, iaitu semasa Bulan dan Zuhrah masih agak jauh antara satu sama lain, ia boleh dilihat dengan mudah menggunakan mata kasar. Ini disebabkan langit masih lagi agak gelap dan matahari belum terbit.

Namun begitu menjelang saat Bulan melintasi di hadapan Zuhrah, Matahari ketika itu pun sudah hampir naik. Maka langit sudah menjadi terang. Jika anda mempunyai langit yang bersih dan bebas dari awan, anda masih boleh melihatnya dengan mata kasar. Tetapi saya sarankan gunalah sekurang-kurang sebuah Binokular untuk mengamati perubahan objek-objek ini. Jika ada teleskop lagi bagus.

Jika anda menggunakan alat cerapan seperti teleskop, cuma halakan sahaja teleskop ke arah Bulan. Planet Zuhrah akan berada di dalam satu medan pandangan yang sama.

Medan pandangan kamera DSLR dengan lens 100mm
Medan pandangan kamera DSLR dan lens 300mm

Untuk merakam gambar, mana-mana kamera DSLR boleh digunakan. Tapi pastikan lens yang digunakan mempunyai focal length yang panjang, sekurang-kurangnya 150mm ke atas, untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Saya tidak galakkan menggunakan cameraphone kerana imejnya Bulan nanti terlampau kecil untuk menunjukkan apa-apa yang menarik. Berusahalah menggunakan kamera DSLR.


Awas!

Disebabkan fenomena ini berlaku pada waktu matahari sudah mula kelihatan di langit, adalah WAJIB untuk ANDA BERHATI-HATI dan JANGAN HALAKAN peralatan cerapan atau mata anda ke arah Matahari! Ia boleh menyebabkan BUTA!

Bulan/Zuhrah dan Matahari hanya dipisahkan sejauh 27 darjah sahaja. Ini boleh dikatakan kedudukan yang AGAK DEKAT dan MERBAHAYA jika tidak berhati-hati.

JIka anda tidak tahu cara yang betul, sila hubungi kelab-kelab Astronomi, guru-guru Sains atau bahagian Falak Negeri-negeri atau juga pihak seperti Planetarium Negara, untuk mendapatkan cara yang selamat melalukan cerapan di siang hari.

Terima kasih kepada Dr. Ian Musgrave yang memberi peringatan ini.


Peta interaktif Google Map

Ini merupakan pengiraan terkini yang saya buat menggunakan perisian Occult 4.2.0.

Garisan biru dan merah itu menunjukkan had kawasan di mana HANYA SEBAHAGIAN planet Zuhrah akan dilindungi oleh Bulan. Lebih dikenali sebagai garisan tangent (oleh Prof Madya Dr. Baharrudin ). Mana-mana lokasi DI ANTARA garisan BIRU dan MERAH akan dapat lihat bentuk Zuhrah seperti terpotong sedikit.

Mana-mana lokasi di ATAS garisan BIRU, hanya akan dapat lihat Conjunction sahaja, iaitu kedua-dua Bulan DAN Zuhrah akan sentiasa kelihatan dan TIDAK AKAN TERHIJAB.

Mana-mana lokasi di BAWAH garisan MERAH, akan mengalami PENGHIJABAN 100%, iaitu Zuhrah akan terlindung SEPENUHNYA oleh Bulan.

Sila klik untuk link Google Map INI, yang mana saya dah masukkan data-data garisan tadi. Saya hanya masukkan data kawasan sekitar Lembah Kelang sahaja

Klik pada peta di atas

 


Dari semasa ke semasa menjelang fenomena ini, saya akan kemaskini maklumat terbaru. Pastikan anda sentiasa follow laman web FalakOnline ini, page FB FalakOnline, twitter FalakOnline ataupun FB saya atau Twitter saya sendiri.

Selamat mencerap!

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments