Kecerdasan Buatan Google menemui eksoplanet terbaru, Kepler-90i

Berita Misi Angkasa Penemuan Terkini

Berita penemuan terbaru dunia eksoplanet bertambah dari hari ke hari. Semalam (sebenarnya hari ini kalau waktu Malaysia), para pengkaji yang menggunakan data-data yang dirakam oleh Teleskop Angkasa Kepler, telah menemui planet yang kelapan di dalam sebuah sistem bintang yang bernama Kepler-90.

Ok, pening bukan? Jom kita tengok satu per satu apa yang berlaku di sini.

Kepler-90 merupakan sebuah bintang yang berada 2545 tahun cahaya daripada Bumi! Jauh tu!

Ia merupakan sebuah bintang yang hampir sama komposisinya dengan matahari kita dan juga salah satu daripada ribuan bintang-bintang yang dipantau oleh Teleskop Angkasa Kepler,di dalam usaha mencari eksoplanet baru.

Eksoplanet ialah planet-planet yang mengelilingi bintang lain (iaitu selain daripada matahari).

Walaupun berita penemuan seperti ini sudah menjadi ‘biasa’ kepada kita, namun yang menarik sekali di sini ialah penemuan eksoplanet Kepler-90i ini menggunakan keadah machine learning daripada Google.

Machine learning ialah satu cara menggunakan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) untuk mengajar komputer ‘belajar dengan sendiri’.

Di dalam kes ini, dua orang pengkaji, Christopher Shallue dan Andrew Vanderburg, telah memberi arahan kepada komputer-komputer dan mengajarnya mengenalpasti isyarat yang menunjukkan kewujudan eksoplanet ini dengan menyelongkar data-data rakaman yang dibuat oleh Kepler tadi.

Selalunya kerja ini dibuat oleh pengkaji dan pakar pengaturcaraan, sekarang ni AI dah ambik alih!


Apakah jenis planet Kepler-90i ni?

 

Lakaran artis yang menggambarkan 8 buah eksoplanet yang mengelilingi sistem bintang Kepler-90. Kredit: NASA/Wendy Stenzel

Berdasarkan maklumat yang ditemui, Kepler-90i ialah sebuah planet 30% lebih besar daripada Bumi. Ia mengorbit bintangnya pada jarak yang AMAT DEKAT sehinggakan suhu permukaannya dipercayai mencecah 426 darjah Celsuis, sama seperti planet Utarid kita. Ia juga mengambil masa hanya 14.4 HARI sahaja untuk melengkapi satu pusingan orbit!

Jelas di sini, Kepler-90i BUKANLAH SERUPA BUMI seperti mana dilaporkan di dalam portal-portal berita seperti ini. 

Penemuan eksoplanet ini juga telah menjadikan bilangan eksoplanet yang mengelilingi bintang Kepler-90 ini kepada 8 buah planet, iaitu sama bilangannya dengan sistem suria kita.

Namun begitu, jangan anggap ia SERUPA dari segi keadaan fizikal dengan kita. KESEMUA 8 eksoplanet ini terkumpul di dalam jarak orbit yang sama seperti Bumi ke Matahari!

Maknnya, dibandingkan dengan kita, di antara Bumi dan Matahari, ada 2 buah planet iaitu Zuhrah dan Utarid. Tetapi di dalam kes Kepler-90 ini, di antara bintangnya dan eksoplanetnya yang paling jauh, iaitu Kepler-90h, terdapat 7 buah planet!

Traffic jam tu!!

Menurut Paul Hertz, pengarah Astrophysics Division NASA di Washinton, penemuan terbaru ini menunjukkan masih banyak lagi data tersembunyi dalam misi Kepler yang masih belum diselongkar dan hanya menunggu masa dan cara yang betul sahaja untuk menemui kesemuanya.

Christopher Shallue, salah seorang pengkaji yang menemui Kepler-90i ini, merupakan jurutera perisian senior di Google AI. Beliaulah yang mengemukakan idea menggunakan konsep neural network ke dalam data-data Kepler itu tadi.

Data-data daripada hasil cerapan Kepler selama 4 tahun, mempunyai 35,000 isyarat yang mungkin menunjukkan kewujudan eksoplanet. Ujian secara automatik dan kadangkala pemerhatian oleh mata, digunakan dalam mengenalpasti isyarat yang besar dan mudah. Namun, dengan menggunakan kaedah machine learning ini, isyarat yang amat lemah, yang sebelum ini mungkin terlepas pandang akan dapat dikesan.


Data Mining dalam Astronomi

 

Dalam masa beberapa tahun akan datang, lebih banyak data-data yang dicerap oleh teleskop pemantau samada di bumi atau di angkasa lepas, akan mula terkumpul.

Kelambakan data-data ini akan menjadi satu cabaran unik bagi peminat astronomi secara amnya kerana ia bakal merubah cara kita ‘melihat’ langit.

Sebagai seorang yang berpendidikan komputer sains, saya secara peribadi melihat gabungan data mining atau big data dengan astronomi tidak dapat dielakkan, dan membuka peluang amat luas kepada peminat, penggiat astronomi tempatan untuk mencuba satu cabang baru yang unik ini.

Penemuan Kepler-90i ini merupakan salah satu contoh yang terbaru.

Perbincangan mengenai Big Data dan Astronomi, InsyaAllah saya akan cuba ulaskan dalam artikel lain.

Kertas kajian Shallue dan Vanderburg boleh dibaca di SINI.


Rujukan:

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments