Sepanjang minggu lepas, hujan yang turun berterusan telah menyebabkan bencana banjir yang amat teruk terutama di Pahang dan Johor. Selain itu suhu yang turun agak mendadak sehingga mencecah 21 darjah celsius telah dirasai di beberapa kawasan pendalaman seperti Kuala Pilah. Cuaca yang tidak menentu dan bak kata orang ‘tak ikut schedule’ ini mungkin antara kesan perubahan iklim dunia yang semakin nampak kesannya pada hari ini.
Apabila artikel ini ditulis, sudah 4 hari matahari tidak kelihatan di kawasan Lembah Kelang. Langit selaputi penuh dengan awan menutupi terus segala kejadian langit yang berlaku minggu lepas. Mudah-mudahan minggu ini pergerakan awan kembali normal, InsyaAllah.
Planet-planet
4 buah planet berkumpul di awal pagi ketika ini, iaitu Utarid, Zuhal, Musytari dan Marikh. Sejak 2 minggu lepas kita berpeluang melihat beberapa lintasan menarik di antara Musytari dengan planet Marikh. Apabila masuk minggu ketiga ini, kedua-dua planet ini semakin menjarakkan diri antara satu sama lain.

Pada awal minggu, 15 Jan, Musytari berada 3 darjah 43 minit daripada Marikh, dan menjelang hujung minggu nanti, iaitu pada 21 Jan, jaraknya bertambah menjadi 6 darjah 36 minit.
Kedua-dua planet ini sedang perlahan-lahan beranjak sedikit demi sedikit ke arah timur, berdasarkan buruj-buruj di langit.
Ini memang sifat kesemua planet yang beredar di luar daripada orbit Bumi, ia akan sentiasa bergerak perlahan-lahan ke arah timur. Namun, akan tiba satu ketika apabila Bumi mula ‘memotong’ planet-planet ini di dalam orbitnya, ia akan dlihat ‘pegun’ sebentar dan bergerak ke barat. kemudian pegun kembali dan menerusnya perjalanan seperti biasa ke arah timur. Inilah pergerakan yang dikenali sebagai retrograde.
Di antara kedua planet tadi, Marikh-lah yang kelihatan paling ‘laju‘ bergerak berbanding dengan Musytari. Salah satu cara untuk melihat pergerakan Marikh ini ialah dengan menjadikan bintang Antares (yang berada di arah bawahnya) sebagai panduan atau titik rujukan. Jika anda perhatikan jarak antara Marikh dan Antares ini dari hari ke hari, ia akan kelihatan semakin dekat dan dekat.
Musytari bergerak lebih lambat, jadi kita kena perhatikan lebih lama sikit.
Sementara itu, rendah di ufuk timur, Zuhal dan Utarid kelihatan baru sahaja terbit. Menjelang Subuh, ia baru sahaja terbit, rendah sangat. Kita perlu tunggu sekitar 15-20 minit selepas itu untuk lebih mudah mencari kedua planet ini.
Satu himpunan planetari yang menarik akan berlaku pada awal Subuh hari Isnin, 15 Jan 2018 nanti. Bulan sabit tua yang amat halus akan melintasi hampir dengan kedua-dua planet ini. Ketiga0tiga objek ini akan berada dalam lingkungan 7 darjah sahaja. Andai kata langit cerah, cuba rakamkan menggunakan kamera DSLR. Waktu sebegini memang cantik untuk perhatikan fenomena Earthshine yang boleh kelihatan pada kawasan ‘malam’ Bulan.

Sementara Zuhal semakin hari semakin tinggi, Utarid pula semakin lama semakin rendah ke ufuk. Menjelang hujung minggu nanti, ia terus hilang dari pandangan kerana ia mula bergerak terlalu hampir dengan matahari. Ia akan hilang dalam silauan cahaya matahari yang terang.
Waktu senja kita untuk minggu ini memang kosong dari sebarang kehadiran planet-planet yang terang. Kalau ada pun, hanya Uranus dan Neptune sahaja, dan itupun kita memerlukan sekurang-kurangnya sebuah binokular untuk mencarinya.
Bulan
Bulan akan berada pada poin paling ke selatan di langit, pada tengah malam, 16 Jan 2018 di dalam buruj Sagittarius.
Pada jam 10.17 pagi, hari Rabu, 17 Jan 2018, Bulan akan memasuki fasa Bulan Baru. Kali ini ia berada pada titik paling jauh daripada Bumi, iaitu Apogee. Maka kita boleh katakan ia adalah Bulan Baru Apogee. Anak bulan yang dijangka kelihatan pada Maghrib hari tersebut merupakan hilal yang paling kecil untuk tahun 2018 ini.
Komet C/2016 R2 (PANSTARRS)
Walaupun langit senja ‘sunyi’ daripada planet, namun ketika ini ada sebuah komet yang agak terang, melintasi kawasan buruj Taurus di sebelah timur, di antara kluster Hyades dan kluster Seven Sisters. Komet yang dikenali sebagai C/2016 R2 (PanSTARRS) kini sedang bersinar pada magnitud 10.9.

Secara amnya, pada skala kecerahan ini, ia TIDAK BOLEH DILIHAT DENGAN MATA KASAR, namun mudah untuk dirakam menggunakan kamera DSLR dan lens 50-100mm. Secara visual menerusi teleskop, ia perlu dicerap dari kawasan langit yang betul-betul gelap dan bebas dari sebarang gangguan cahaya.

Komet ini akan berada di kedudukan perihelion pada 9 Mei 2018 nanti, namun pada waktu itu ia sudah berada jauh daripada Bumi. Ini bermakna sekarang inilah antara waktu terbaik untuk cuba mencerap komet ini. Gambar-gambar yang dirakam oleh astronomer amatur seluruh dunia menunjukkan ekornya yang berwarna kebiruan dan mengembang luas.

Jangan lupa rujuk Almanak Astronomi 2018 untuk senarai fenomena tumpuan sepanjang tahun ini.