Akhirnya kita dah sampai ke minggu yang ditunggu-tunggu. Fenomena Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada pertengahan minggu ini, dan serentak dengan itu ada banyak cuti umum pada waktu yang sama. Ok, jom kita lihat dulu satu per satu apa yang akan berlaku pada minggu ini.
Planet-planet
Utarid
Utarid semakin lama semakin hilang dari pandangan. Ia hanya terbit selepas Subuh, dan amat rendah untuk dijejaki dengan mudah.
Zuhrah
Zuhrah mula muncul di langit sebelah barat pada waktu senja, tetapi ia pun masih terlampau hampir dengan Matahari. Masih belum sesuai untuk lakukan apa-apa cerapan. Kena tunggu lagi beberapa minggu akan datanag.
Marikh
Marikh sudah pun terbit sekitar jam 2.40 pagi (1.40 pagi di Sabah). Menjelang Subuh,ia sudah pun berada tinggi ‘melangit’, pada kedudukan lebih daripada 45 darjah di atas ufuk timur. Walaupun belum begitu cerah, tetapi ia berada hampir dengan Musytari dan memudahkan kita mencarinya.
Planet merah ini sedang bergerak masuk ke kawasan sempadan buruj Scorpius. Jika anda perhatikan di sebelah bawahnya, akan kelihatan sebutir bintang merah yang sedikit cerah daripada planet ini. Itulah bintang Antares. Satu cara yang boleh membezakan kedua-dua ‘objek merah’ ini ialah Marikh tidak akan berkelip, manakala Antares akan berkelip.

Menurut Almanak Astronomi 2018, pada awal Subuh, 1 Feb 2018 nanti, Marikh akan melintasi amat hampir dengan sebuah bintang bernama Graffias. Bintang ini merupakan salah satu daripada deretan 3-4 bintang yang membentuk bahagian kepala seekor kala jengking.
Pengiraan menerusi Sky Safari 5 Pro menunjukkan pada Subuh tersebut, Marikh dan Graffias akan dipisahkan sejauh hanya 0.38 darjah sahaja. Sebagai perbandingan, kedua-dua objek ini boleh muat di dalam bentuk piring Bulan dalam fasa purnama!

Menerusi teleskop, Marikh masih terlalu kecil untuk kita dapat lihat apa-apa yang menarik padanya.
Musytari
Musytari terbit lagi awal, iaitu sekitar jam 2 pagi (1 pagi di Sabah). Menjelang Subuh, ia menjadi objek paling cerah di atas kepala kita (apabila kita dongak ke arah, sambil badan mengarah ke timur).
Disebabkan ia terbit agak awal, kita mempunyai masa yang agak ‘lama’ dan berpeluang  menyaksikan pergerakan bulan-bulannya sepanjang 3-4 jam ia berada di langit.

Bulan-bulan Musytari ini amat mudah untuk dicerap. Teleskop yang kecil pun sudah memadai. Ia akan kelihatan seperti deretan titik-titik kecil membentuk satu garis, samada di sebelah timur atau sebelah barat Musytari.
Mustari masih berada di dalam buruj Libra, sebuah buruj berbentuk dacing yang terdiri daripada bintang-bintang yang agak kelam.
Zuhal
Zuhal sudah mula terbit sekitar jam 5 pagi (4 pagi di Sabah) di sebelah ufuk timur. Menjelang azan Subuh, ia sudah berada sekitar 15 darjah, dan menjelang hujung minggu nanti, semakin tinggi iaitu sekitar 20 darjah.
2 buah gugusan bintang M22 dan M28 berada berhampiran.
Uranus dan Neptune.
Kedua-dua planet ini berada di langit senja selepas Maghrib, dan semakin hampir dengan ufuk barat.
Oposisi planet kerdil, Ceres.
Ceres, yang dulunya dikenali sebagai asteroid terbesar tetapi kini telah dimasukkan ke dalam kumpulan planet kerdil, akan berada di dalam posisi oposisi atau bersetentang dengan matahari, pada 11 pagi, 31 Januari 2018 nanti.
Kebetulan pula, ia berada hampir dengan kawasan langit di mana Gerhana Bulan Penuh sedang berlaku. Ini merupakan peluang untuk cuba mencari planet kerdil ini menerusi teleskop berkuasa sederhana. Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Kordinat Ceres pada hari tersebut adalah seperti di bawah:
- R.A.(2000.0) – 9h 12m 07.86s
- Dec (2000.0) – +30Âș 09′ 26.4″

Bulan
Bulan akan berada pada titik paling ke utara, pada 29 Januari 2018. Ia berada di sekitar kawasan buruj Orion, Gemini dan Taurus. Selepas ini ia akan mula bergerak ke arah selatan langit.
Pada malam 31 Januari 2018, Bulan akan masuk ke dalam bayang-bayang umbra Bumi dan menghasilkan fenomena Gerhana Bulan Penuh. Sebahagian Bulan akan mula kelihatan gelap bermula jam 7:48 pm. Fasa Gerhana Bulan Penuh, yakni keseluruhan Bulan akan berada dalam umbra bermula dari jam 8:51 malam hingga 10:07 malam. Gerhana tamat pada jam 11:11 malam apabila keseluruhan Bulan berada di luar bayang-bayang umbra Bumi.
Maklumat lanjut gerhana bulan penuh boleh didapati di sini.
Bulan akan berada di dalam kawasan buruj Cancer ketika ini.

Gerhana Bulan Penuh seterusnya akan berlaku pada 29 Julai 2018, dan kita di Malaysia berpeluang menyaksikannya sekali lagi.
Pada waktu Subuh, 2 Februari, Bulan akan bergerak hampir dengan bintang Regulus. Bintang ini merupakan bintang yang tercerah di dalam buruj Leo. Kiraan menunjukkan ia berada sekitar 1 darjah sahaja daripada Bulan. Disebabkan Bulan baru sahaja beberapa hari melepasi fasa penuh, dan masih terang benderang, bintang Regulus ini mungkin agak mencabar untuk dilihat dengan mudah.
Kena berlawan dengan silau cahaya Bulan!
Namun, jika anda ada binokular, pandangannya akan lebih mudah.

Wallahua’lam.