Marikh akan berada paling hampir dengan Bumi pada hari ini, 31 Julai 2018. Ia selang beberapa hari sahaja dengan tarikh planet ini bersetentang (istiqbal) dengan Matahari, iaitu pada 27 Julai 2018 lepas.
Orbit Bumi yang lebih kecil, menyebabkan kita akan bergerak lebih pantas berbanding Marikh, Kesannya ialah setiap 26 bulan, Bumi akan kembali melintasi Marikh pada jarak yang dekat. Walaupun secara logiknya, setiap kali ia dekat bermaksud ia akan kelihatan besar dan terang, namun secara realitinya ia tidaklah semudah itu.
Orbit planet Marikh ini akan rumit. Ia tidak sempurna bulat secara relatif dengan matahari. Jarak ketika ia paling dekat dengan Matahari ialah 1.38 A.U (Astronomical Unit), manakala ketika ia paling jauh ialah 1.67 A.U.
1 Astronomical Unit bersamaan dengan purata jarak Bumi ke Matahari.
Perbezaan yang besar antara waktu ia berada pada kedudukan perihelion (paling hampir dengan Matahari) dan aphelion (paling jauh), memberi kesan kepada sudut pandangan kita di Bumi.
Saya pernah memberi penerangan ringkas mengenai fenomena istiqbal (bersetentang), di mana Bumi akan melintasi Marikh setiap 2 tahun 2 bulan. Secara logiknya, setiap kali kita melintasinya, Marikh akan kelihatan besar dan terang di langit.
Namun hakikatnya berlainan, kerana kesan faktor perbezaan jarak perihelion dan aphelion tadi.
Jika sekitar tarikh istibal, Marikh berada pada kedudukan perihelion, ia akan kelihatan lebih besar berbanding biasa. Jika ia berada pada kedudukan aphelion, ia akan kelihatan kecil.
Lihat rajah di bawah.
Itulah sebabnya, jarak di antara ketika Marikh berada hampir dengan Bumi tidak sama pada tarikh istiqbal yang berlainan.
Alhamdulillah untuk tahun 2018 ini, Bumi dan Marikh berada pada posisi yang optimum, di mana jarak kedua-dua planet ini ketika melintasi antara satu sama lain, adalah paling dekat sejak tahun 2003.
Kesannya agak jelas. Di langit selepas Maghrib sekarang, Marikh bersinar amat terang di sebelah timur, Ia akan kelihatan seperti sebutir ‘bintang’ kemerahan.

Menerusi teleskop, ia akan nampak paling besar pada malam ini. Malah, jika kita buat perbandingan, Marikh sudah pun kelihatan lebih besar daripada Zuhal! Foto di bawah menunjukkan perbandingan saiz antara 4 buah planet jika dilihat menerusi teleskop menggunakan kuasa pembesaran yang sama.

Foto di bawah menunjukkan keadaan planet Marikh yang dirakam pada 25 Julai 2018 lepas,

Malangnya, ketika ini hampir keseluruhan permukaan Marikh dilitupi oleh ribut pasir. Kita tidak dapat lihat permukaannya dengan jelas.
Selepas tarikh hari ini, Bumi akan bergerak ke hadapan meninggalkan Marikh di belakang, Ia akan kelihatan semakin kecil dan pudar. Menjelang hujung bulan Ogos nanti, kita akan dapat lihat ia tidaklah secerah sekarang.
Oleh itu jangan lepaskan peluang melihat planet Marikh ini. Jika tidak, anda terpaksa menunggu tahun 2020 untuk berpeluang melihatnya dengan lebih dekat. Itupun ia akan berada sedikit jauh berbanding tahun 2018 ini.
Jom teropong!