Bulan Penuh paling besar dan paling cerah untuk tahun 2019 akan berlaku minggu ini. Selain itu, Zuhrah akan melintasi hampir dengan Zuhal. Lintasan sebegini akan berulang kembali pada 12 Disember 2019 nanti pada waktu senja pula. Jangan lupa juga cuba cari planet kecil Utarid pada awal senja.
- Rujuk Almanak Astronomi 2019 untuk senarai lengkap.
- Muat turun versi Kalendar Google AA2019 di sini.
18 Feb (Isnin)
Subuh ini jom kita perhatikan ke arah langit timur. Objek yang paling cerah di situ ialah planet Zuhrah. Cuba perhatikan betul-betul di sebelah kanan. Ada nampak sebutir ‘bintang’ yang sederhana terang. Itulah planet Zuhal.
Pada pagi ini, kedua-dua objek ini dipisahkan sejauh 1 darjah 15 minit sahaja. Lebih kurang 2 1/2 kali diameter bulan penuh.
Jika anda mempunyai binokular, anda boleh memuatkan kedua-duanya sekaligus dalam satu medan pandangan.
19 Feb (Selasa)
Pada pagi ini, Zuhrah dan Zuhal berada paling dekat. iaitu pada jarak 1 darjah 10 minit. Zuhrah sudah bergerak sedikit ke bawah daripada kedudukan planet Zuhal.
Menerusi binokular, akan kelihatan sebutir bintang di sebelah atas Zuhrah. Itu ialah sebuah bintang bernama Albaldah yang terletak 510 tahun cahaya daripada Bumi!
Pada sebelah Maghrib, kita akan disajikan dengan Bulan Penuh paling besar dan dekat untuk tahun 2019 ini.
Dikenali sebagai Bulan Penuh Perigee, atau lebih dikenali oleh orang ramai sekarang dengan istilah supermoon, jika anda perhatikan betul-betul dan membandingkan saiz dan kecerahan bulan ini dengan bulan purnama bulan lepas, kita akan dapat lihat ia kelihatan sedikit besar dan sedikit cerah berbanding biasa.
Perkataan Perigee itu merujuk kepada titik di dalam orbit di mana Bulan akan berada paling hampir dengan Bumi. Orbit Bulan tidak sempurna bulat, ia sedikit bujur atau elips. Namun titik orbit perigee ini tidak selalu sama berlaku dengan fasa bulan purnama, melainkan malam ini.
Berdasarkan kiraan falak, Bulan memasuki fasa bulan purnama pada jam 11:53 malam. Bulan juga berada pada poin paling dekat dengan Bumi (perigee) pada jam 5:07 petang.
Maknanya ada selisih 6 jam sahaja antara dua keadaan di atas. Maka, di sini kita boleh katakan Bulan Penuh nanti sedikit istimewa, kerana ia lebih dekat dan lebih terang berbanding biasa.
Bagi anda yang minatkan bab nombor-nombor, jarak Bulan ketika ini ialah 356,761 km daripada pusat Bumi.
Selain itu, pada waktu yang sama Bulan akan berada hampir dengan bintang Regulus, di dalam buruj Leo.
20 Feb (Rabu)
Pada Subuh ini, planet Zuhrah semakin menjarakkan diri daripada planet Zuhal.
Pada sebelah senja pula, jangan lupa pandang ke atas kepala, buruj Orion sedang gah dan berada pada kedudukan paling tinggi. Buruj ini amat mudah nak kenal kerana ia mempunyai susun atur bintang yang ringkas dan senang nak cari.
22 Feb (Jumaat)
Pada petang ini, sekitar 10 minit selepas Maghrib, cuba cari planet Utarid. Ia akan berada rendah di ufuk barat sekitar 10 darjah sahaja pada waktu tersebut.
Lebih mudah jika anda mencerap dari kawasan pantai barat mengadap laut atau kawasan lapang.
23 Feb (Sabtu)
Bintang Spica akan berada 9 darjah dari Bulan. Kelihatan lewat malam hinggalah ke Subuh.