Bulan memasuki fasa-fasa terakhir bulan Syaaban, sambil melintasi planet-planet terang, Zuhrah dan Utarid. Petang hari Ahad ini kita akan mencerap anak bulan Ramadan. Standby semua!
29 Apr (Isnin)
Bulan berada di kedudukan Apogee, iaitu poin paling jauh dari Bumi pada jam 2:21 AM. Ketika itu ia berada pada jarak 404576 km. Saat ini berlaku selang 6 hari 4 jam sebelum masuknya fasa Bulan Baru.
1 Mei (Rabu)
Bulan mula menghampiri planet Zuhrah. Jarak lengkung di antara Bulan dan Zuhrah ialah lebih kurang 18 darjah. Umur bulan ketika ini semakin tua, dan bentuk sabitnya semakin menipis. Sekali lagi peluang untuk kita merakam fenomena Earthshine.
2 Mei (Khamis)
Zuhrah berada lebih kurang 8 darjah dari Bulan. Utarid dan Zuhrah juga berada pada jarak lengkung yang lebih kurang sama. Ketiga-tiga objek terang ini boleh dilihat sekitar 20 minit selepas Subuh, rendah di ufuk timur.
3 Mei (Jumaat)
Bulan semakin rendah dan berada lebih kurang 6 darjah dari Zuhrah. Planet Utarid pula berada 5 darjah di sebelah bawah-kiri dari Bulan. Ketiga-tiga objek ini membentuk segi tiga. Lihat 20 minit selepas Subuh rendah di ufuk timur.
4 Mei (Sabtu)
Bulan menuju ke penghujung hari-hari terakhir bulan Syaaban. Bulan dalam fasa sabit tua yang amat nipis. Utarid berada 8 darjah di atas Bulan. Cuba cari di kawasan rendah di ufuk timur sekitar 50 minit selepas Subuh. Mungkin agak mencabar sikit kerana waktu itu langit sudah semakin cerah.
Namun, jika anda mencerap dari kawasan yang tiada halangan dan ufuk yang tiada awan, Bulan sabit tua ini boleh dilihat dengan mudah.
5 Mei (Ahad)
Fasa Bulan Baru pada jam 6:47 AM. Pada petang ini, kita akan mula merukyah kemunculan hilal Ramadan.
Berdasarkan kiraan yang dibuat menggunakan Kalkulator Falak di laman web UniSZA, dari lokasi Shah Alam, pada waktu Maghrib hari ini, umur Bulan ketika itu ialah 12.51 jam. Jarak lengkung Bulan dan Matahari ialah 6.4 darjah, dan ketinggian (altitud) Bulan ialah 5.57 darjah.
Berdasarkan syarat-syarat Imkanur Rukyah di bawah, Bulan kena memenuhi salah satu daripada syarat berikut:
(1) Altitud 2° dan Jarak lengkuk 3°. ATAU
(2) Ketika Bulan terbenam, Umur 8 jam selepas ijtimak
Maka, didapati Bulan memenuhi syarat minimum Imkanur Rukyah, oleh itu esoknya, 6 Mei 2019 ialah 1 Ramadan.
(Ini adalah kiraan tidak rasmi. Penetapan bermulanya puasa Ramadan bagi negeri-negeri seluruh Malaysia akan diumumkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad secara langsung di televisyen pada malam ini juga.