Prob angkasa veteran Voyager dan Pioneer akan sampai ke destinasi tak lama lagi. Bila tu?

Berita Misi Angkasa

Angkasa lepas amat luas! Kalau kita nak membayangkan di dalam skala kilometer adalah hampir mustahil. Untuk membayangkan dalam skala Tahun Cahaya pun, masih ramai di kalangan kita masih terkial-kial nak cuba memahaminya.

Namun, itulah yang sedang dihadapi oleh 4 buah prob angkasa yang dilancarkan pada era tahun 70an yang lalu. Pada 2 Mac 1972, Pioneer 10 dilancarkan, diikuti oleh Pioneer 11,  lebih kurang setahun selepas itu. Pada tahun 1977, Voyager 2 pula dilancarkan dan diikuti seminggu selepas itu, Voyager 1.

Kesemua prob ini dilancarkan oleh NASA pada sekitar tahun 70an, bertujuan melawati planet-planet gergasi Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptune. Kebetulan pada era tersebut, susunan posisi planet-planet di atas membolehkan kita menghantar prob ini dengan kos yang lebih murah tanpa perlu bahan api yang banyak kerana bagi setiap lintasan planet, prob ini akan menggunakan bantuan graviti planet tersebut untuk meluncur ke destinasi seterusnya. Konsep ini digelar gravity assist.

grandtour.png
Laluan Pioneer 10, Pioneer 11, Voyager 1 dan Voyager 2 merentasi sistem suria kita. Sumber.

Prob-prob ini telah pun melintasi planet-planet tersebut dan kini sedang meluncur keluar daripada sistem suria kita. Kelajuan yang melampau tidak memungkinkan prob-prob ini kembali mengorbit atau jatuh ke arah matahari semula. Ia akan pada satu ketika nanti keluar terus daripada kawasan ‘cengkaman’ kuasa matahari, satu kawasan sempadan yang digelar sebagai heliosphere. Voyager 1 dan 2 telah pun melepasi sempadan ini.

heliosphere.jpg
Gambaran kawasan sempadan heliosphere serta kedudukan prob Voyager 1 dan Voyager 2. Visual oleh NASA/PJL-Caltech

Lama kelamaan kuasa prob ini akan kehabisan juga. Peralatan di dalamnya akan mati dan tidak menghantar sebarang isyarat lagi. Itulah yang telah berlaku kepada Pioneer 10 yang kali terakhir isyarat yang diterima ialah pada tahun 2003. Pioneer 11 pula ‘sunyi sepi’ pada tahun 1995. Ketika ini hanya tinggal Voyager 1 dan 2 sahaja yang masih menghantar isyarat yang amat lemah kembali ke Bumi.

Walaupun tak lama lagi ia akan tetap mati, prob ini akan tetap meneruskan perjalanan ke angkasa lepas, tetapi adakah ia akan melintasi mana-mana bintang berhampiran nanti dan bilakah ia akan berlaku?

Kita ada cara untuk mengira destinasi terdekat prob-prob ini nanti, namun kiraan ini tidak mudah! Selain daripada terpaksa mengira pergerakan hala tuju prob ini, saintis juga terpaksa mengambil kira pergerakan bintang-bintang di angkasa raya! Ya, bintang-bintang pun bergerak dan mengelilingi pusat Bima Sakti, tetapi menerusi pandangan mata manusia ia kelihatan seperti kekal dan pegun kerana kedudukan bintang-bintang ini teramat jauh!

Mujur dengan adanya data kedudukan dan pergerakan 7.2 JUTA bintang yang dicerap oleh balaicerap angkasa GAIA, 2 orang saintis, Coryn A. L. Bailer-Jones, dari Max Planck Institute for Astronomy di Germany, dan Davide Farnocchia dari Center for Near Earth Object Studies di NASA’s Jet Propulsion Laboratory California, telah berjaya membuat kiraan yang paling tepat setakat ini. Data-data dari GAIA ini sungguh tepat kerana bukan sekadar mencerap kedudukan dan kelajuan pergerakan bintang, tetapi ia memeta di dalam ruang 3 dimensi.

gaia2.jpg
Peta langit yang mengandungi 1.7 bilion bintang yang telah dicerap oleh balai cerap angkasa Gaia. © ESA/Gaia/DPAC)

Jadi, di manakah destinasi seterusnya bagi prob-prob tersebut?

Voyager 1 akan melintasi jiran terdekat matahari kita, iaitu bintang Proxima Centauri dalam masa 16,700 tahun lagi! Namun begitu, pada ketika prob ini berada pada poin paling hampir dengan Proxima Centauri, ia hanya akan berada pada jarak 3.59 tahun cahaya sahaja. Tak de la dekat sangat pun. Jarak Matahari dan Proxima pun ialah 4.24 tahun cahaya.

Pioneer 11 pun sama melintasi Proxima Centauri pada jarak yang lebih kurang sama, dalam jangka masa 18,300 tahun lagi!

Voyager 2 pun lebih kurang sama, tetapi lambat ‘sikit’, iaitu dalam masa 20,300 tahun lagi!

Pioneer 10 pula akan melencong jauh daripada ‘kawan-kawan’ tadi. Ia akan melintasi sebuah bintang bernama Ross 248 di dalam buruj Andromeda pada jarak 3.2 tahun cahaya daripada bintang tersebut dalam masa 33,800 tahun lagi!.  Bintang Ross 248 ini berada 10.3 tahun cahaya daripada Bumi.

Kalau kita lihat jangka masa nak sampai ke bintang-bintang tersebut amat lama, bukanlah disebabkan prob-prob ini bergerak lambat. Menerusi maklumat yang saya baca, kelajuan prob-prob ketika ini adalah seperti berikut:

  • Voyager 1 bergerak pada kelajuan 62,140 km SEJAM!
  • Voyager 2 – 55,570 km SEJAM!
  • Pioneer 10 – 43,200 km SEJAM
  • Pioneer 11 – 40,470 km SEJAM

Laju tu!!

Tetapi disebabkan angkasa lepas ini terlampau luas dan besar, pada kelajuan yang melampau ini pun, prob-prob ini terpaksa mengambil masa puluhan ribu tahun untuk sampai ke destinasi atau bintang seterusnya!

Ada lintasan yang lagi dekat ke?

Menurut Bailer-Jons dan Farnocchia lagi, akan ada 2 buah lagi lintasan pada jarak lebih dekat berbanding di atas. Ia akan dialami oleh prob Voyager 1.

Voyager 1 akan melintasi jarak 1 tahun cahaya sahaja daripada sebuah bintang bernama TYC 3135-52-1. Bintang ini terletak lebih kurang 46.9 tahun cahaya daripada Bumi. Lintasan ini akan berlaku ‘tak lama lagi’.. lebih kurang dalam masa 302,700 tahun lagi!

😬

Satu lagi lintasan ialah terhadap bintang Gaia DR2 2091429484365218432, yang terletak pada jarak 520.22 tahun cahaya daripada Bumi! Ia akan melintasi bintang ini pada jarak 1.27 tahun cahaya sahaja. Bilakah pulak momen ini akan berlaku? Menurut kiraan, tak lama la jugak… lebih kurang 3.4 JUTA tahun lagi!

🥴

Ujar Bailer-Jones lagi, kiraan-kiraan di atas dibuat selepas terinspirasi dengan kajian yang dibuat oleh pasukan mereka sebelum ini yang sedang cuba mengira asal-usul sebenar objek antara- bintang misteri, Oumuamua, yang melawati Bumi pada tahun 2017 lepas.

Kertas kajian asal bertajuk Future Stellar Flybys of th Voyager and Pioneer Spacecraft telah diterbit dalam jurnal IOPscience, pada 5 April 2019.

Amacam? Jom terbanggggggg……

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments