
Aduss.. nyaris tu!! Kalau sesiapa yang terbaca berita astronomi beberapa hari lepas pasti akan terserempak dengan sebuah berita mengejutkan di mana sebuah asteroid yang agak besar, telah melintasi di antara Bumi dan Bulan. Lebih mengerikan ialah asteroid ini hanya diketahui laluannya sehari sebelum ia melintas!
makk aiii
Asteroid yang bernama 2019 OK (…mujurlah nama dia ‘OK’ ) telah dikesan oleh ahli astronomer di balai cerap SONEAR di Oliveria, Brazil pada sekitar tengah malam (waktu UTC) pada 24 Julai. 10 jam kemudian, satu lagi pasukan yang mengendalikan projek ASAS-SN (All-Sky Automated Survey for Supernovae) telah mengesan objek yang sama.
Menurut Kris Stanek, seorang professor astronomi yang juga salah seorang penyelidik utama ASAS-SN, “Data telah menunjukkan sesuatu sedang bergerak dan bergerak amat laju! Teleskop-teleskop kami merakam dengan tetapan dedahan 90 saat, dan benda itu bergerak di dalam setiap rakaman tersebut! Jadi kami terpaksa mengenalpasti apakah benda itu kerana ia bergerak amat pantas!”
https://twitter.com/SuperASASSN/status/1154190931509350401
Asteroid 2019 OK ini bergerak pada kelajuan 20km/saat dan ketika ia melintasi Bumi kita, ia berada pada jarak 80,000 km, lebih kurang 1/5 jarak Bumi-Bulan! Ia berlaku antara jam 9:00am hingga 10:00am 25 Julai 2019 waktu Malaysia.
Saiz asteroid ini dijangkakan antara 60-130 meter, cukup besar untuk menghancurkan sebuah bandaraya besar jika ia terhempas ke Bumi.
Menurut Stanek lagi, jika saiz asteroid ini ialah 100 meter dan berlanggar dengan Bumi, tenaga yang terhasil menyamai letupan TNT seberat 5 tan dan akan menghasilkan sebuah kawah sebesar 1 km.
Sebenarnya, asteroid 2019 OK ini tidaklah istimewa pun. Ia dikategorikan sebagai sebuah asteroid yang kecil. Namun, jika dibandingkan dengan objek-objek Near-Earth-yang lain, ia agak besar. Orbitnya juga agak unik kerana pada poin paling jauh ia berada lebih jauh dari Marikh, dan ketika ia berada paling dekat dengan Matahari, ia berada di persekitaran orbit Utarid dan Zuhrah.
Disebabkan ia berlaku secara tiba-tiba, tidak banyak ulasan yag dibuat (atau sempat dibuat!). Berbeza dengan isu viral asteroid 2002 NT7 yang lalu! Namun apa yang pasti , aktiviti pemantauan langit terhadap objek-objek yang berpotensi membawa bencana kepada Bumi semakin rancak dilakukan.
Unik dalam kes 2019 OK ini ialah, salah sebuah balai cerap yang menemui asteroid (ASAS-SN) ini sebenarnya sedang mengkaji dan memantau langit untuk letupan supernova. Sistem ASAS-SN ini menarik untuk dibaca kerana ia mempunyai 20 buah teleskop kecil (yang juga sebenarnya hanya lens kamera) yang diletakkan pada 4 buah lokasi di seluruh dunia: Hawaii, Texas, Chile dan Afrika Selatan.

Bidang kajian objek-objek bahaya ini semakin banyak dibuat. Kewujudan sistem teleskop robotik yang membuat pemantauan dan rakaman automatik setiap malam telah membolehkan lebih banyak asteroid berbahaya ini ditemui. Saya jangkakan apabila Large Synoptic Survey Telescope mula beroperasi, ia bakal merancakkan lagi bidang ini.
Apa pun, dalam kes asteroid 2019 OK ni, … setakat ni kita semua OK selamat, Alhamdulillah!