Alang-alang jerebu dah menghilang, kini ada peluang melihat Komet Africano

Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid
Komet C/2018 W2 (Africano) yang dirakam oleh sifu astrofotografer, Rolando Ligustri pada 22 Sep 2019 lepas. Sumber

Rezeki. Setelah suasana langit di Malaysia secara perlahan-lahan semakin pulih daripada asap tebal jerebu, kini peminat astronomi berpeluang menyaksikan sebuah komet yang ‘agak terang’ melintasi langit kita.

Komet bernama C/2018 W2 (Africano), lepas ni saya tulis Komet Africano je la.. kini sedang bersinar pada magnitud 8.6

Pada tahap kecerahan ini, ia dijangka boleh dilihat menerusi binokular atau teleskop. Malangnya ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Apa pun, jika ada kamera, InsyaAllah anda boleh cuba merakam… dengan syarat tahu mana nak hala kamera tu!

Sejarah sikit…

Komet Africano ditemui secara hampir serentak oleh 2 ahli astronomer pada 27 Nov 2018 lepas. B.M. Africano menemuinya dengan menggunakan teleskop 1.5 meter Mount Lemmon, sementara H.Groeller menemui menggunakana teleskop 0.68 meter di Catalina Sky Survey.

B.M. Africano dapat nama sebab dia melaporkan penemuan ini 21 minit lebih awal daripada Groeller. 😀

Komet ini akan melintasi Bumi pada jarak hanya 74 juta km sahaja daripada Bumi, pada 27 Sep 2019 6:56 pm waktu Malaysia.

Sebagai perbandingan, jarak purata Bumi ke Bulan ialah 384,400 km. Maknanya komet ini berada 192 kali lebih jauh dari Bulan. Jauh la tu.

Laman web astro.vanbuitenen.nl ada menyediakan satu peta interaktif kedudukan komet ini. Boleh lihat jarak hakikinya dari Bumi.

Ketika ini Komet Africano bergerak amat pantas di langit dengan kadar sekitar 3 2/3 darjah sehari. Pada kadar ini, ia akan bergerak selebar saiz diameter Bulan di langit dalam masa 3 1/4 jam sahaja!

Laju la tu!

Lokasi di langit

Komet ini sedang melintasi langit utara kita, bergerak di dalam kawasan buruj Pegasus, Pisces dan masuk ke Aquarius.

Peta di bawah menunjukkan pergerakan komet ini pada jam 11 malam waltu Malaysia setiap malam bermula 24 Sep hingga 10 Oktober 2019.

Ketika artikel ini ditulis, Bulan sudah pun mengecil dan terbit lewat pagi. Maka itu, cahayanya tidak akan mengganggu cerapan komet ini. Peluang amat baik kerana langit akan gelap.

Pandangan ke arah timur. Kiraan Skychart
Pandangan lebih dekat di lokasi yang sama seperti peta sebelum ini. Kiraan Skychart.

Laman web Comet Observation Database (COBS) melaporkan cerapan yang dibuat oleh ahli astronomer amatur dan profesional seluruh dunia menunjukkan kecerahan komet ini berada di dalam lingkungan magnitud 8.

Graf kecerahan Komet Africano di laman web COBS. Sumber.

Lintasan menarik

Berdasarkan pemerhatian menerusi aplikasi Sky Safari Pro, didapati Komet Africano akan melintasi beberapa objek menarik.

Melintas Neptune pada 5 Oktober 2019

Komet ini akan melintasi sekitar 1.5 darjah dari planet Neptune pada malam 5 Oktober 2019. Pada jarak ini, kedua-duanya boleh dilihat di dalam  binokular secara serentak.


Konjungsi Neptune dan Komet Africano pada 11 malam, 5 Oktober 2019. Simulasi Sky Safari.

Melintasi Nebula Helix pada 11 Oktober 2019

Ia akan melintasi Nebula Helix pada jarak kurang 1/2 darjah pada malam 11 Oktober 2019.

Konjungsi Komet Africano dan Nebula Helix pada 11 malam , 11 Okt 2019. Simulasi Sky Safari.

Foto-foto Komet Africano

Saya sendiri belum berpeluang mencerap dan merakam komet ini. Namun di luar sana sudah ramai yang berjaya merakamnya. Di bawah merupakan di antara foto-foto menarik menerusi twitter.

https://twitter.com/PMagnetE/status/1175643333491752960

Ada banyak lagi. Klik Sini untuk capaian imej yang lain.

Lepas ni?

Komet Africano sebenarnya telah pun melepasi perihelion (poin paling dekat dengan Matahari) pada 5 September 2019 lepas. Namun disebabkan orbitnya mengikut trajektori hiperbola, ia tidak akan kembali bergerak ke arah Matahari selama-lamanya. Melainkan ia menerima pengaruh graviti daripada objek-objek lain yang berada nun jauh di belakang sistem suria kita.

Oleh itu, jom jangan lepaskan peluang melihat pelawat jauh kita ni.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments