Selamat Tahun Baru 2020. Kali ini kita akan berpeluang menyaksikan beberapa fenomena langit yang sungguh menarik untuk sama-sama dicerap, dirakam dan diamati.
Secara amnya, hampir kesemua musim juraian meteor utama mempunyai prospek kenampakan yang amat bagus, Gerhana Matahari Separa akan berlaku sekali lagi, 3 planet berdansa dan lain-lain.
Senarai lengkap fenomena langit boleh didapati di ALMANAK ASTRONOMI 2020. Suka dimaklumkan di sini, Almanak itu akan sentiasa dikemaskini dan ditambah dari semasa ke semasa. Maka itu jangan lupa sentiasa menjenguk artikel itu.
Di bawak ialah beberapa kejadian yang paling menarik untuk diperhatikan sepanjang 2020.
Lintasan Marikh dengan nebula dan kluster bintang
Marikh, planet merah sudah kembali ke langit pada waktu Subuh. Ia mula menuju menghampiri Bumi dan akan kembali cerah bersinar terang. Sepanjang bulan Februari nanti. Marikh akan melintasi sekali lagi di antara 2 buah nebula terang di dalam kawasan buruj Sagittarius, iaitu Nebula Lagoon dan Trifid. Bermula 17 Feb hingga 19 Feb, planet ini akan bergerak di antara kedua-dua nebula ini. Ia boleh dilihat awal pagi, sekitar waktu Subuh di langit sebelah timur.
Pada 29 Feb pula (ya…tahun 2020 ni tahun lompat), Marikh akan berada hampir dengan sebuah gugusan glob yang cantik, bernama M22. Ini juga akan berlaku di kawasan buruj Sagittarius dan kelihatan sekitar waktu Subuh.
Himpunan Marikh, Musytari dan Zuhal
Jarang kita dapat lihat 3 buah planet terang berkumpul di dalam satu kawasan langit yang sama. ‘Sama’ di sini bermaksud, jika kita depakan tangan ke hadapan yang bukakan tapak tangan kita seluas yang mungkin, kita akan dapat memuatkan kesemua planet ini di dalam kawasan ‘tapak tangan’ kita tu.
Itulah yang akan berlaku kepada 3 buah terang, Marikh, Musytari dan Zuhal bermula dari awal bulan Mac hinggalah sekitar minggu ke-3 bulan April. Ketiga-tiga planet ini akan kelihatan berlumba-lumba saling memotong antara satu sama lain. Paling laju bergerak ialah Marikh, dan paling lembap ialah Zuhal!
Lagi menarik ialah pada 21 Mac, Marikh dan Musytari akan terpisah kurang dari 1 darjah sahaja antara satu sama lain. Dekat sangat sehinggakan memberi gambaran seperti 2 bintang kembar.
Selepas itu, pada 1 April, Marikh dan Zuhal pula akan melintasi kurang 1 darjah antara satu sama lain!
Pada 21 Disember pula, Musytari dan Zuhal akan berada amat dekat, hanya 6 arc minit sahaja, atau 0.1 darjah, atau 1/5 diameter Bulan.
Bulan Penuh Perigee… ehemm Supermoon
Sekali lagi Bulan Penuh paling besar untuk tahun 2020 akan kelihatan pada 8 April 2020. Pandangan mata kasar kita akan dapat lihat pada malam tersebut, saiz Bulan ‘sedikit’ besar berbanding biasa.
Jarak Bulan ketika itu ialah 356,908 km daripada Bumi.
Zuhrah melintasi gugusan Seven Sisters
Planet tercerah di langit, Zuhrah ataupun Venus, akan sekali lagi melintasi di hadapan gugusan bintang paling popular di langit, iaitu Seven Sisters atau nama lainnya Pleaides.
Ia akan berlaku pada 3-4 April 2020 di langit senja selepas Maghrib. Kiraan falak menunjukkan planet ini akan betul-betul berada dalam kawasan gugusan ini, menyelit di antara bintang-bintangnya.
Peluang mencari Neptune
Planet Neptune yang pudar hanya dapat dilihat menerusi teleskop. Nak mencarinya memerlukan ilmu pembacaan peta bintang dan kalau ada teleskop berkomputer lagi bagus.
Pada 14 Jun nanti, Marikh akan melintasi amat hampir dengan planet Neptune, sekitar 1.5 darjah sahaja, atau lebih kurang 3 kali diameter Bulan. Peluang ini sangat bagus untuk kita mencari Neptune berpandukan Marikh, sebab planet merah ketika itu sedang memancar sangat terang!
Gerhana Matahari Separa
6 bulan selepas Gerhana Matahari Cincin yang berlaku 26 Dis 2019 haritu, sekali lagi Bulan akan melintas di hadapan Matahari. Namun kali ini dari Malaysia kita akan hanya melihatnya menutupi sebahagian kecil sahaja Matahari.
Fenomena Gerhana Matahari Separa ini akan berlaku pada 21 Jun 2020 bermula sekitar jam 2:50 pm, memuncak pada 3:56 pm dan berakhir pada 4:54 pm. Ini adalah waktu dari Kuala Lumpur. Bandar lain nanti kita kira lain.
Sebenarnya di kawasan Oman, India, China dan Taiwan, penduduknya akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Cincin yang jauh lebih nipis berbanding bulan 26 Disember 2019 haritu!
Oposisi planet Marikh, Musytari dan Zuhal
Waktu oposisi planet ialah ketika planet-planet ini berada bersetentang dengan Matahari di langit. Ini bermaksud apabila Matahari terbenam di barat, planet ini akan terbit di timur dan akan kelihatan sepanjang malam hinggalah ke Subuh keesokannya.
Waktu inilah paling terbaik untuk kita mencerap dan mengamati rupa bentuk planet ini menerusi teleskop!
Berikut ialah tarikh-tarikh oposisi paling menarik.
- Marikh – 14 Oktober 2020
- Musytari – 14 Julai 2020
- Zuhal – 21 Julai 2020
Meteor Lyrids
Meteor Lyrids, yang selalunya akan menghasilkan purata 18 meteor setiap jam, akan mula memuncak bermula tengah malam hingga Subuh, 22 April.
Prospek kenampakan tahun ini agak bagus kerana tiada gangguan cahaya Bulan.
Meteor Perseids
Meteor Perseids yang juga merupakan antara juraian meteor paling aktif, akan memuncak pada 13 Ogos 2020. Lakukan cerapan bermula tengah malam hinggalah ke Subuh.
Bilangan purata meteor Perseids ini ialah sekitar 110 meteor setiap jam!
Namun cahaya Bulan yang ketika itu berada dalam fasa sukuan akhir, mungkin akan mengganggu sedikit bilangan meteor yang kita boleh nampak. Walau apa pun, tak salah untuk mencuba!
Meteor Orionids
Satu lagi meteor yang agak aktif, Meteor Orionids akan memuncak pada 21 Oktober 2020. Tahun ini prospeknya amat bagus kerana tiada cahaya Bulan yang mengganggu. Purata meteor yang boleh dilihat ialah sekitar 20 meteor setiap jam.
Meteor Leonids
Tahun ini memang tahun mencerap meteor! Satu lagi juraian meteor, Leonids akan mempunyai prospek yang bagus disebabkan tiada gangguan cahaya Bulan. Ia akan memuncak pada 18 Nov 2020 dengan purata bilangan meteor antara 10-20 meteor setiap jam.
Meteor Geminids
Ibu segala meteor! Geminids akan memuncak pada 14 Disember 2020. Tahun ini prospeknya amat bagus kerana tiada gangguan cahaya Bulan sepanjang malam kemuncak itu.
Bilangan meteor Geminids ini boleh mencecah sehingga 150 meteor setiap jam!
Gerhana Bulan Penumbra
Secara teknikal fenomena ini kurang menarik kerana Bulan hanya memasuki kawasan bayang-bayang penumbra sahaja. Ia akan berlaku 2 kali, iaitu pada 11 Januari dan 5 Jun 6 Jun.
Perubahan cahaya Bulan amat minima. Boleh la kalau nak cuba tengok jugak…;-)