Bintang gergasi merah, Betelgeuse, yang menghiasi buruj Orion kini berada di dalam ketidak-tentuan, tidak keruan dan saintis belum dapat kepastian apakah yang sebenarnya sedang berlaku.
Peminat astronomi seluruh dunia sejak bulan Disember 2019 yang lepas mendapat berita bahawa bintang ini kelihatan semakin pudar dari hari ke hari.
Spekulasi paling popular ialah ia mungkin bakal meletup menjadi sebuah supernova!
Namun, sifat perubahannya ini tidak konsisten dengan jangkaan yang dibuat oleh pakar astronomi selama ini. Ramalan sebelum ini meletakkan bintang ini bakal meletup sekitar puluhan ribu tahun akan datang… dan bukannya sekarang!
Jadi, apakah sebenarnya yang berlaku?
2 orang ahli astronomi dari Villanova University, Edward Guinan dan Richard Wasatonic, merupakan yang terawal melaporkan kecerahan Betelgeuse semakin pudar menerusi The Astronomer’s Telegram #13341 pada 8 Disember 2019 lepas.
“… Photometry from this season shows the star has been declining in brightness since October 2019, now reaching a modern all-time low of V = +1.12 mag on 07 December 2019 UT.…”
Pada 20 Jan 2020 lepas, menerusi laporan terbaru #13410 pula, kecerahan Betelgeuse semakin pudar dan mencecah magnitud 1.506! Walau bagaimanapun kadar ia pudar semakin perlahan ketika ini.
Since our last report, Betelgeuse has continued to gradually decrease in brightness. Our most recent photometry secured on 17.25 UT and 18.20 UT January 2020 yields: V = +1.494 mag and 1.506 mag, respectively. This is more than ~0.2 mag fainter than previously reported in ATel #13365 on 22.25 UT Dec. 2019.
Pada paras kecerahan ini, Betelegeuse boleh dikatakan hanya sama terang dengan bintang-bintang lain di dalam buruj Orion (melainkan bintang Rigel)!
Betelgeuse merupakan sebuah bintang super gergasi merah. Ia memasuki fasa ‘kehidupannya’ ini sekitar 40,000 tahun. Sifat bintang ini menunjukkan ia akan membakar cukup hidrogen di dalam terasnya sehinggakan ia akan runtuh dan meletup menjadi sebuah supernova.
Andaikata ia meletup kita tidak perlu risau. Jarak bintang ini ialah antara 430 hingga 650 tahun cahaya daripada Bumi (Nak ukur jarak ke bintang bukan satu tugas yang mudah!). Ahli astrofizik mengatakan jarak ini amat jauh untuk memberi apa-apa kesan terhadap kita di Bumi. Jarak minimum untuk sesebuah supernova memberi kesan merbahaya ialah 50 tahun cahaya.
Betelguese juga amat besar. Jika kita menggantikan Matahari dengan bintang ini, saiznya akan melangkaui hingga ke orbit planet Musytari! Bumi akan ‘tenggelam’ di dalam permukaannya!
Satu lagi sifat Betelgeuse yang sedang diperhatikan ialah kecerahannya berubah-ubah dari semasa ke semasa pada kadar yang boleh dikira. Maknanya bintang ini ialah sejenis bintang yang boleh berubah kecerahan atau dikenali juga sebagai variable star.
Kitaran perubahan kecerahannya mengambil masa 420 hari. Ada lagi satu tren perubahan yang mengambil masa 5-6 tahun dan lagi satu yang agak pendek iaitu 100-180 hari.
Perubahan kecerahan Betelgeuse sudah diperhatikan oleh ahli astronomi sejak hampir 180 tahun dahulu. Sekitar tahun 1920an, pertubuhan American Association of Variable Star Observers (AAVSO) telah melakukan cerapan yang lebih sistematik hinggalah hari ini.
Graf di atas menunjukkan lebih kurang 8000 data cerapan yang dibuat bermula dari tahun 2010 hingga 2020. Jelas pada sisi kanan graf menunjukkan penurunan kecerahan yang telah dicerap oleh komuniti astronomi dunia.
Anda boleh menjana graf yang serupa di sini.
KIta boleh dikatakan ‘bernasib baik’ kerana bintang ini agak hampir dengan Bumi dan mempunyai saiz yang begitu besar. Ia merupakan satu-satunya bintang (selain matahari) yang kita boleh lihat bentuknya dan dapat memerhati sebarang perubahan yang berlaku di atas permukaannya!
Bintang-bintang lain semuanya terlalu jauh, kecil dan hanya kelihatan seperti satu titik sahaja!
Hasil cerapan secara terus ke atas permukaan bintang ini membolehkan kita melihat beberapa pergolakan besar yang sedang naik dan turun di sekitar permukaannya.
Saya telah merakam buruj Orion beberapa minggu lepas dan memang boleh lihat bintang Betelgeuse ini tidaklah secerah seperti mana dahulu.
Sehingga artikel ini ditulis, kecerahan Betelgeuse masih disekitar magnitud 1.50 (median daripada 10 data cerapan terkini).
Ada satu akaun twitter yang sentiasa memberi status kecerahan secara harian. Sila follow Betelgeuse Status.
Apa pun kita terus tunggu dan lihat apa yang berlaku selepas ini. Saya galakkan untuk kita memerhatikan juga dari hari ke hari dan lihat sebarang perubahan yang berlaku. Manalah tahu ada rezeki… sambil-sambil tengah tengok bintang tu ..tiba-tiba ia meletup! Rare tu!