Foto paling jelas permukaan Matahari!

Berita Highlights Penemuan Terkini Teknologi
Daniel K. Inouye Solar Telescope (DKIST) merakam permukaan Matahari ini pada julat cahaya 789nm. Kita boleh lihat objek sekecil 30km buat kali pertama dalam sejarah! Saiz imej ini dalam skala sebenar ialah 36,500 km di setiap sisi! Kredit NSO/NSF/AURA

Imej permukaan Matahari yang paling jelas dan terperinci telah berjaya di rakam oleh balai cerap Daniel K. Inouye Solar Telescope (DKIST) bulan lepas. Ia merupakan langkah pertama dan permulaan kepada kajian Matahari yang dijangka akan mengambil masa hampir 50 tahun akan datang!

DKIST merupakan balai cerap solar/matahari yang terbesar di dunia. Ia terletak di Pulau Maui di Hawaii dan dinamakan bersempena Daniel K. Inouye, ahli senator US di Hawaii. Ia menempatkan sebuah teleskop yang mempunyai saiz cermin 4-meter dan merakam Matahari dalam julat cahaya nampak hinggalah infra -merah. Menggunakan teknologi adaptive optics, yang akan mengurangkan kesan herotan biasan atmosfera terhadap objek-objek di angkasa lepas, kamera DKIST ini mampu merakam sekecil 20km di atas ‘permukaan’ Matahari!

Wow!

OK, bagi yang berminat terhadap bab-bab komponen balai cerap ini boleh rujuk sini.

Balai cerap Inouye Solar Telescope di atas Haleakala, Maui, Hawaii.

Berbalik kepada foto yang dirakam oleh DKIST tadi, ketul-ketul objek pelbagai bentuk itu ialah gas plasma Matahari yang juga dikenali sebagai convection cells atau granules. Ia umpama sel-sel air panas yang menggelegak naik ke atas apabila kita masak air… cuma dalam kes ini sel plasma ini sebesar negeri Texas di Amerika Syarikat.

Saiz negeri Texas ini umpama gabungan keseluruhan permukaan tanah Malaysia iaitu dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.. tetapi 2 kali ganda lebih besar!

Perbandingan saiz Texas dan Malaysia
Perbandingan saiz Malaysia dengan foto granule di bawah. Saiz sebenar Malaysia bukan kotak peta yang besar tu..tapi di hujung anak panah sebelah kiri bawah tu!

Granules ini muncul dari bahagian dalam Matahari, membawa tenaga dan medan magnet, ke luar lapisan atmosfera Matahari yang dikenali sebagai corona (bukan coronavirus..tu benda lain)!

Kamera yang merakam imej ini ialah VIsible Broadband Imager (VBI), sebuah kamera 16 megapiksel dan boleh merakam ciri-ciri sekecil 25 km!

Imej yang di-zoom lagi dekat menunjukkan ketulan-ketulan plasma bersaiz 2 kali ganda Malaysia! Benda garisan putih yang berkeraj-kerak di celah-celah plasma itu sebelum ini hanya dilihat seperti cahay putih terang je. Kali ini kita telah dapat lihat struktur di dalamnya! Saiz sebenar imej ini ialah 8200km di setiap sisi. Kredit NSO/NSF/AURA

Menurut Pengarah Inouye Telescope, Thomas Rimmele, imej pertama ini merupakan rakaman permukaan Matahari yang paling jelas dan berjaya melihat bentuk dan ciri yang kecil di atas permukaan objek yang paling besar di dalam sistem suria kita!

DKIST ini mula dibina hampir sedekad yang lalu, pada 12 Disember 2012. VBI merupakan kamera pertama yang dipasang dan ini hanya merupakan test run sebelum keseluruhan operasi balai cerap ini bermula secara rasminya pada Julai 2020 nanti.

Komponen rakaman balai cerap ini dijangka akan sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa. Jangka hayat operasi DKIST ini ialah 44 tahun!

Di antara objektif utama kajian DKIST ialah mengungkai misteri medan magnet Matahari serta lapisan Corona. Bagi anda peminat gerhana matahari pasti tahu, corona merupakan lapisan putih yang menjalar-jalar keluar daripada Matahari yang hanya akan dapat dilihat ketika gerhana matahari penuh.

Hanya ketika fasa Gerhana Matahari Penuh kita boleh lihat rupa bentuk lapisan Corona. Foto oleh penulis ketika mencerap gerhana di US pada tahun 2017 lepas.

Namun misteri lapisan Corona ini ialah suhunya jauh lebih panas daripada permukaan Matahari.. mencecah jutaan darjah celsius! Permukaan Matahari mempunyai suhu hanya sekitar 5000 darjah celsius ‘sahaja’.

Mencerap Matahari bukanlah satu kerja yang mudah dan amat berbahaya! Mata manusia tidak mampu melihat secara terus ke arah Matahari. Paling selamat ialah menggunakan peralatan seperti kamera khas.

Namun, kamera-kamera ini pun perlu dijaga. Suhu cahaya Matahari yang masuk ke dalam teleskop dan menerjah ke dalam kamera amat panas yang boleh merosakkan alat-alat tersebut. Maka itu, jurutera balai cerap ini menggunakan pelbagai cara untuk menyejukkan.

Cuba lihat video penerangan ini…

Kajian Matahari merupakan satu bidang unik dan masih baru. Saya sarankan kepada adik-adik yang bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang astronomi, cuba tinjau-tinjau prospek kajian ini. Saya nampak masih banyak peluang untuk anak Malaysia turut sama menyertai pasukan pengkaji Matahari.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments