Hujan Besi pulak dah di eksoplanet WASP-76b

Berita Highlights Penemuan Terkini

Setiap hari ada je berita penemuan baru eksoplanet yang pelik-pelik. Eksoplanet ialah planet yang mengorbit bintang selain daripada Matahari. Menurut perkiraan terkini (12 Mac 2020), sudah ada 4135 buah eksoplanet yang telah disahkan wujud.

Baru-baru ini, sebuah eksoplanet yang bernama WASP-76b, yang terletak lebih kurang 640 tahun cahaya daripada Bumi, dipercayai mengalami hujan besi!

makkk aiiii

Lakaran artis menunjukkan besi jatuh sebagai hujan di atas permukaan eksoplanet WASP-76. Kredit: ESO/M. Kornmesser

Ahli astronomi yang melakukan cerapan dan kajian terhadap eksoplanet ini mendapati, ia berada di dalam keadaan tidally locked. (Maaf ye.. puas saya cuba cari istilah dalam BM tapi tak jumpa yang sesuai.)

Senang cerita, sesebuah objek (samada planet, eksoplanet atau bulan-bulan) yang tidally locked bermaksud, satu bahagian hemisferanya sentiasa mengadap ke arah bintang atau planet yang diorbitnya. Maknanya, separuh daripada objek itu akan sentiasa mengadap satu arah, manakala separuh lagi mengadap ke belakang.

Contoh terbaik sebuah objek yang dalam keadaan tidally locked ialah Bulan kita!

Di dalam kes WASP-76b, ia mengorbit bintangnya pada jarak yang amat dekat. Sebagai perbandingan ia berada pada orbit 10 kali ganda lebih kecil berbanding dengan orbit Utarid yang mengelilingi Matahari kita. Disebabkan itulah ia tersangkut dalam putaran di atas paksinya. Satu hemisfera secara kekal terbakar masak di dalam cahaya bintangnya, manakala di bahagian belakangnya kekal di dalam kegelapan.

Menurut ahli astronomi yang mengetuai kajian ini di University of Geneva, David Ehrenreich, suhu di bahagian siangnya mencecah 2,400 darjah Celsius. Cukup panas sehingga boleh mencairkan besi hingga jadi wap!. Radiasi yang jatuh ke permukaan eksoplanet ini beribu kali ganda lebih banyak berbanding apa yang kita alami di Bumi.

Kesannya ialah, unsur besi di bahagian siang telah meruap menjadi bentuk gas!. Inilah yang berjaya dikesan oleh ahli astronomi di bahagian siang.

Yang peliknya ialah, di bahagian malam, unsur besi yang meruap ini hilang entah ke mana…

Berdasarkan pemerhatian ini serta kajian-kajian lain, kesimpulan yang boleh oleh para pengkaji ialah besi yang meruap ini, apabila ia ditiup dan sampai ke kawasan malam, berlaku proses pemeluwapan akibat suhu yang turun mendadak, lalu jatuh ke permukaan eksoplanet ini sebagai hujan besi!

Tu diaaa!!

Inilah kali pertama saintis melihat proses seumpama ini berlaku terhadap sebuah eksoplanet berjenis hot jupiter.. iaitu eksoplanet yang terdiri daripada gas seperti planet Musytari, tetapi berkali ganda lebih besar dan lebih panas.

Penemuan atmosfera pelik di WASP-76b ini dibuat menggunakan sebuah alat bernama ESPRESSO ! 😀

Ia sebenarnya merupakan singkatan kepada sebuah instrumen Echelle SPectrograph for Rocky Exoplanets and Stable Spectroscopic Observations yang dipasang pada European Southern Observatory Very Large Telescope (VLT) di Chile.

Instrumen ESPRESSO. Kredit ESO.

Asalnya saintis merancang untuk menggunakan ESPRESSO ini untuk mencari eksoplanet bersaiz seperti Bumi, tetapi mereka memikirkan dengan saiz teleskop VLT yang amat besar itu, ia mungkin sesuai untuk mengkaji fenomena atmosfera di eksoplanet. Jangkaan mereka ternyata betul!

Anda boleh baca kenyataan rasmi mereka di SINI.

Wallahua’lam

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments