Jom saksikan Gerhana Matahari Separa pada 21 Jun 2020

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban Highlights

Pada hari Ahad, 21 Jun 2020 nanti, sekali lagi kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa di langit Malaysia dan Asia Tenggara.

Suasana Gerhana Matahari Separa yang akan dapat dilihat pada 21 Jun 2020 nanti.

Fenomena ini berlaku selang 6 bulan selepas kali terakhir kita dapat menyaksikan gerhana matahari pada 26 Disember 2019 lepas.

Gerhana Matahari kali ini adalah yang terakhir kita akan dapat saksikan dalam masa terdekat. Selepas ini kita terpaksa menunggu 3 tahun, iaitu 20 April 2023 untuk dapat menyaksikan sekali lagi lintasa bayang-bayang Bulan merentasi tanahair kita! Oleh itu jangan lepaskan peluang ini!

Rujuk artikel Takwim lengkap 23 tahun Gerhana Matahari yang akan dapat dilihat di Malaysia (2019-2042)

Apakah jenis Gerhana yang akan berlaku kali ini?

Gerhana kali ini dikenali sebagai Gerhana Matahari Separa. Ia bermaksud hanya sebahagian daripada bentuk piring atau jasad Matahari akan terlindung oleh Bulan.

Di negara-negara seperti Afrika tengah, semenanjung Tanah Arab, Pakistan, India, Nepal, China dan Taiwan, penduduk di sana akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Cincin.

Di bawah ialah simulasi pergerakan Bulan di hadapan Matahari dari Kuala Lumpur nanti.

Bila dan jam berapakah ia akan berlaku?

Di Malaysia, secara amnya ia akan bermula sekitar jam 2:30 petang dan tamat sekitar jam 5 petang bagi anda di Semenanjung. Bagi di Sabah pula, ia bermula sekitar jam 3 petang dan tamat sekitar 5:30 petang

Waktu kemuncak gerhana akan berlaku antara jam 3:50 hingga 4:30 pm bergantung kepada lokasi.

Untuk dapatkan waktu yang paling tepat untuk lokasi anda, sila klik pada peta janaan Xavier M. Jubier ini.

Di bawah ialah peta gerhana bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak, serta Brunei. Bagi anda di Singapura, waktunya adalah hampir sama dengan Johor Bharu.

Nombor yang dipaparkan itu menunjukkan peratusan piring Matahari yang akan terlindung. Waktu yang dipaparkan ialah waktu kemuncak gerhana. Peta ini merujuk kepada ibu negeri sahaja. Jika anda berada berhampiran, waktunya ialah lebih kurang sama. Rujuk link peta janaan Xavier M. Jubier di atas untuk waktu yang lebih spesifik dengan lokasi anda.

Di manakalah lokasi terbaik untuk cerapan Gerhana Matahari ini?

Lokasi terbaik untuk melihat gerhana ini ialah di mana-mana kawasan yang boleh nampak Matahari!

Kita kena ingat, waktu keseluruhan gerhana ini nanti akan berlangsung lebih kurang 2 jam 30 minit. Maka, pastikan laluan Matahari di langit dari kawasan anda itu tidak ada halangan seperti bangunan, bumbung atau pokok! Seeloknya carilah kawasan yang lapang.

Jika anda mahu lihat peratusan gerhana yang paling banyak, Kudat di Sabah adalah antara lokasi yang paling baik. Di sana, hampir 37% Matahari akan terlindung!

Apakah cara paling selamat untuk kita lihat gerhana ini?

Seperti mana yang kita tahu sebelum ini, Matahari adalah amat terang dan amat berbahaya untuk dilihat secara terus dengan mata. Silap haribulan anda boleh mengalami kecacatan KEKAL di mata, malah boleh BUTA!

Maka, berhati-hatilah ketika mencerap nanti!

Berikut antara kaedah mencerap yang disarankan.

  1. Cermin mata matahari

Cermin Mata Matahari ialah sejenis penapis khas yang membolehkan kita melihat ke arah Matahari dengan selamat. Penapisnya berwarna hitam (black polymer) dan silver (baader). Ia selalunya sudah siap dipasang pada rangka berbentuk cermin mata yang diperbuat daripada kertas.

Jika anda sudah memiliki satu unit ketika gerhana matahari cincin yang lepas, ia masih boleh digunakan.. dengan syarat ia tidak terkoyak atau berlubang!

2. Kaedah kamera lubang pin.

Kaedah ini paling selamat kerana ia hanya membenarkan cahaya Matahari yang sedikit masuk ke dalam lubang pin yang kecil. Imej yang terhasil itu tidak berbahaya dan selamat untuk dilihat.

3. Kamera (yang dipasang penapis!)

Jika anda mempunyai kamera DSLR, ia boleh dijadikan sebagai satu cara melihat gerhana ini, dengan syarat pastikan anda letakkan penapis Matahari tadi (black polymer atau baader) di bahagian hadapan lens!

Jika tidak.. cip kamera anda akan terbakar!

Sila rujuk beberapa siri video berguna mengenai cara mencerap gerhana matahari dengan selamat di dalam artikel Cara paling selamat mencerap Gerhana Matahari

Cara yang salah mencerap gerhana Matahari!

Awas. Berikut adalah cara yang SALAH dan amat berbahaya untuk mencerap gerhana nanti. Tolong jangan buat!

  1. Filem X-Ray (hitam putih)
  2. Filem warna
  3. Cermin Mata Hitam seperti rayband
  4. Kaca yang digelapkan dengan asap
  5. Air dalam baldi

Berdasarkan pemerhatian ketika gerhana matahari bulan Disember lepas, masih ramai yang menggunakan kaedah di atas!

Tolong ye.. walaupun ‘kita rasa’ ia selamat, tetapi hakikatnya, cahaya UV Matahari yang berbahaya tu sedang ‘membakar’ retina mata kita secara senyap-senyap!

Perubahan persekitaran ketika gerhana

Disebabkan gerhana kali ini, tak sampai separuh piring Matahari yang terlindung, maka tidak banyak perubahan yang dapat dilihat berbanding gerhana cincin yang lepas.

Langit tidak akan menjadi ‘mendung’. Suhu kekal panas seperti biasa.

Namun perkara yang harus kita buat ialah melihat kesan imej Matahari yang terhasil dicelah-celah daun pokok atau lubang-lubang pada kertas (kaedah lubang pin). Kita akan nampak bentuk Matahari itu berubah menjadi ‘sompek’ atau tergigit pada satu sisinya.

Foto oleh Maksu Balkhair ketika gerhana bulan Disember 2019 lepas.

Strim Gerhana di internet

Gerhana kali ini berlaku setelah kita tamat mengharungi 3 bulan PKP dan PKPB bagi memutuskan rantaian Covid-19. Alhamdulillah sekarang kita sudah masuk dalam fasa PKPP.

Disebabkan 21 Jun kita masih baru bermula PKPP, dan penjarakan sosial serta acara yang melibatkan orang ramai masih belum boleh dibuat, maka ramai agensi dan orang perseorangan akan melakukan cerapan gerhana dan melakukan strim atau live menerusi facebook atau youtube, dari lokasi masing-masing.

Bagus juga ramai yang buat live nanti, kerana cuaca di Malaysia ini tak menentu. Maka, jika ada yang berawan, mungkin berpeluang melihatnya dari lokasi lain.

InsyaAllah saya sendiri akan lakukan cerapan secara online dari balai cerap saya di rumah. Paparan strim akan dibuat menerusi wall FB saya di facebook.com/shahgazer serta facebook.com/falakonline

Selamat Mencerap Semua!

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments