2 buah eksoplanet mengelilingi bintang menyerupai Matahari berjaya dirakam

Berita Penemuan Terkini

European Space Agency (ESO) menerusi teleskop Very Large Telescope (VLT) telah berjaya buat kali pertama merakam sebuah sistem eksoplanet yang mengelilingi sebuah bintang yang menyerupai Matahari kita.

Ok, mungkin kita telah pun dengar sebelum ini banyak berita seperti di atas, tetapi kesemua foto-foto yang pernah dirakam sebelum ini, eksoplanetnya mengelilingi jenis bintang yang tidak sama saiz dan jisim dengan Matahari.

Foto ini menunjukkan kedua-dua eksoplanet dan bintang ibunya yang berada di penjuru kiri atas. Kredit ESO.

Maka itu, foto ini cukup penting kerana ia boleh dikatakan seperti satu snapshot momen yang hampir ‘serupa’ dengan sistem suria kita, ketika kita berada di dalam fasa lebih awal di peringkat evolusi pembentukan planet-planet kita ini.

Bintang yang dicerap ini bernama TYC 8998-760-1, dan ia berada 300 tahun cahaya daripada Bumi.

Menurut Matthew Kenworthy, Associate Professor di Leiden University, “Walaupun ahli astronomer telah menemui ribuan eksoplanet di dalam galaksi kita menggunakan metod tidak langsung (indirect), hanya sebilangan kecil sahaja yang telah berjaya dirakam secara terus (direct). Pencerapan secara terus ini penting di dalam usaha mencari persekitaran yang sesuai untuk kehidupan”

Sebelum ini hanya dua kali sahaja usaha merakam 2 atau lebih eksoplanet secara terus berjaya dilakukan, dan itupun di dalam sistem bintang yang tidak serupa dengan Matahari!

Pada tahun 2004, teleskop yang sama, VLT, menjadi teleskop yang pertama di dunia yang dapat merakam eksoplanet secara terus. Eksoplanet itu mengorbit bintang kerdil coklat, sejenis bintang yang ‘gagal’ untuk menjadi bintang yang sempurna.

Kedua-dua eksoplanet baru ini merupakan planet jenis gergasi gas (gas giants), tetapi mempunyai jisim 14 kali ganda dan 6 kali ganda berbanding Musytari kita. Jaraknya dari bintang ‘ibunya’ ialah 160 kali dan 320 kali ganda jarak Bumi-Matahari.

Bintang ‘ibunya’, TYC 8998-760-1 mempunyai komposisi yang sama dengan Matahari kita tetapi jauh lebih muda. Umurnya adalah sekitar hanya 17 juta tahun dan terletak di dalam buruj Musca, di langit selatan.

Kedudukan buruj Musca, berhampiran dengan buruj Pari dan bintang Alpha Centaurus (Rigil Kentaurus) di langit selatan.

Imej ini berjaya dirakam hasil teknologi alat bernama SPHERE. Alat ini menghalang cahaya daripada bintang tersebut menggunakan sebuah peranti bernama coronagraph. Apabila silau cahaya bintang itu berjaya di padamnya, barulah kita dapat kesan cahaya kelam daripada eksoplanet tersebut.

SPHERE (Spectro-Polarimetric High-contrast Exoplanet REsearch) dipasang pada ESO Very Large Telescope, bertujuan untuk merakam eksoplanet yang bersaiz lebih besar dari planet Musytari.

Satu perkara menarik di sini ialah, cahaya dari eksoplanet ini dikesan di dalam julat infra merah dan bukannya cahaya nampak. Ini adalah kerana kedua-dua eksoplanet ini masih muda dan masih ‘panas’ di dalamnya.

Darah panas katakannnnn…

Penemuan ini juga adalah hasil daripada pengumpulan data cerapan sejak tahun 2017 lagi!

Maklumat lanjut boleh didapati di sini https://www.eso.org/public/news/eso2011/

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments