Campfires, suar suria bersaiz mini ditemui oleh SolO

Berita Misi Angkasa

Sementara kita menunggu data dan gambar daripada Parker Solar Probe, dalam diam-diam kuar daripada European Space Agency, Solar Orbiter (SolO) telah memancar kembali foto permukaan Matahari yang agak menakjubkan.

Kuar Solar Orbiter kepunyaan European Space Agency

Sedikit sejarah mengenai SolO. Ia dilancarkan pada 10 Februari 2020 di dalam misi 7 tahun menerobos rahsia Matahari. Fokus utama misi ini ialah mengkaji kawasan dalam heliosfera, angin suria dan juga kawasan ‘kutub’ Matahari, iaitu kawasan di mana sukar untuk kita lihat daripada Bumi.

Kuar ini akan berada di dalam orbit 60 solar radii, iaitu lebih kurang 0.3 Unit Astronomi. Pada jarak ini, ia berada di lebih dekat dengan Matahari berbanding Utarid.

Sudut iklinasi orbitnya sebanyak 24º membolehkan ia melihat kawasan ‘kutub’ Matahari.

Berbalik kepada penemuan oleh SolO yang dilaporkan oleh UniverseToday.com baru-baru ini, salah satu penemuan yang sungguh signifikan ialah letusan-letusan kecil yang digelar sebagai campires yang wujud merata-rata di permukaan Matahari. Secara amnya, saintis melihat campfires sebagai suar suria atau solar flares bersaiz mini.

Beberapa foto fenomena campfires yang dirakam pada 30 Mei 2020 lepas oleh kamera Extreme Ultraviolet Imager (EUI) di atas kuar angkasa Solar Orbiter

Disebabkan saiz fenomena ini terlalu kecil, ia tidak dapat dilihat daripada Bumi, namun SolO dapat melihatnya dengan jelas kerana kedudukannya yang dekat dengan bintang kita ini.

Menarik perhatian saya ialah perbandingan saiz campfires ini dengan Bumi di dalam foto di bawah. Sekali imbas kalau kita lihat, jika Bumi ‘hanya sebesar itu’, maka julangan ‘api’ campfires ini lebih kurang saiz Malaysia!

Fenomena suar suria mini, digelar Campfires ditandakan dengan anak panah. Saiz Bumi sebagai perbandingan

Penemuan ini masih belum dapat dipastikan samada ia ada kaitan dengan letusan solar yang bersaiz besar, namun para saintis menganggapnya satu peluang keemasan untuk kita memahami salah satu misteri Matahari yang masih belum terungkai sehingga hari ini, mengapa lapisan corona Matahari jauh lebih panas berbanding permukaan Matahari!

Frédéric Auchère dari Institut d’Astrophysique Spatiale, salah seorang pengkaji mengatakan mungkin kewujudan campfires ini menyumbang kepada suhu esktrem tersebut. Apa pun teori ini masih lagi baru dan lebih banyak kajian perlu dibuat.

Kuar SolO ini akan mengorbit Matahari setiap 3 tahun, dan pada poin paling hampir dengan Matahari, ia akan berada 4 kali lebih dekat berbanding Bumi ke Matahari. Dijangka lebih banyak data akan dikumpulkan sepanjang 7 tahun misi ini.

Bacaan lanjut mengenai perincian misi ini boleh didapati di sini.

Disclaimer: SolO tidak ada kene mengena dengan SOLO.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments