Asteroid terbesar di dalam sistem suria kita, Vesta, akan melintasi di hadapan gugusan bintang Beehive bermula 28 hingga 30 Ogos ini. Sementara itu, planet kerdil Ceres pula akan berada pada kedudukan istiqbal (oposisi) pada 28 Ogos ini.
Jom kita lihat satu per satu fenomena ini.
Ceres
Sebelum kekecohan menurun taraf Pluto menjadi planet kerdil pada sekitar tahun 2006 lalu, Ceres ialah sebuah jasad yang dikenali sebagai asteroid paling besar di dalam sistem suria kita. Saiz diameternya ialah 950km, ia cukup besar dan gravitinya cukup kuat untuk membentuk dirinya menjadi sfera.
Kemudian, para saintis di persidangan IAU pada tahun 2006, telah menaik taraf Ceres menjadi Planet Kerdil, sama geng dengan Pluto.
Laluan orbit Ceres ini berada di dalam lingkungan lingkaran asteroid di antara orbit Marikh dan Musytari. Maknanya ia jauh daripada Bumi.
Disebabkan jaraknya yang jauh, ia bersinar pada magnitud 7.7 dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi ia amat mudah dilihat dengan binokular ataupun teleskop kecil.
Seperti mana semua objek yang berada di ‘belakang’ orbit Bumi, setiap tahun Ceres akan berada bersetentang dengan Matahari. Fenomena ini juga dikenali sebagai istiqbal atau opposition
Tahun ini, ia akan berlaku pada 28 Ogos 2020, jam 4:47 pm waktu Malaysia.
Ceres akan berada di dalam kawasan langit yang agak kurang menarik kerana tidak banyak bintang-bintang terang yang berada di dalam kawasan tersebut.
Satu-satunya bintang terang yang juga kebetulan berada agak hampir dengan Ceres ialah Fomalhaut. Bintang tercerah di dalam buruj Piscis Austrinus di langit selatan.
Peta di bawah menunjukkan kedudukan Ceres daripada pandangan mata kasar sekitar 2 jam selepas Isya’. Arah pandangan ialah ke sekitar ufuk tenggara.
Peta di bawah pula menunjukkan pandangan lebih dekat. Bulatan yang ditandakan 8º itu menunjukkan medan pandangan sebuah binokular.
Anda juga boleh dapatkan kordinat dan kedudukan terkini Ceres menerusi https://theskylive.com/ceres-info
Saya berpendapat, cara paling mudah untuk merakam Ceres ini ialah menerusi teleskop dan kamera. Mulakan cerapan anda sebaik sahaja selepas Maghrib dan boleh berlarutan sehingga ke Subuh!
Vesta
Setelah Ceres dinaik taraf menjadi Planet Kerdil, Vesta pula mendapat tempat menjadi asteroid paling besar, menggantikan kedudukan abangnya tadi. Ini adalah kerana sebelum ini Vesta merupakan asteroid kedua paling besar.
Vesta juga mengorbit Matahari di dalam kawasan lingkaran asteroid seperti mana Ceres. Maka, ia tidak akan bergerak hampir dengan Bumi. Namun, kombinasi warna permukaannya yang cerah serta orbitnya yang lebih dekat berbanding Ceres, membolehkan Vesta bersinar agak terang berbanding Ceres, dan ada waktu-waktunya ia boleh dilihat dengan mata kasar seperti sebutir bintang yang kelam dari kawasan langit yang betul-betul gelap.
Malangnya, Vesta kini berada nun jauh di belakang Matahari, maka ia hanya bersinar pada magnitud 8.3 sahaja. Jauh di paras kenampakan mata kasar.
Apa pun, cara paling mudah untuk mencari Vesta ialah menggunakan binokular dan teleskop.
Pada 28 hingga 30 Ogos 2020 ini, Vesta akan melintasi di hadapan sebuah gugusan bintang popular di dalam buruj Cancer, bernama Beehive atau Kluster Sarang Lebah.
(Disclaimer: Istilah kluster ini tak ada kena mengena dengan covid!)
Kedudukan Vesta ini nanti rendah di ufuk timur dan hanya mudah kelihatan selepas Subuh. Berdasarkan kiraan falak, ia akan berada 9º masuk waktu Subuh (astronomical dawn) pada 28 Ogos, dan naik sedikit menjadi 10º pada 30 Ogos.
Anda juga boleh mendapatkan efemeris terkini Vesta menerusi laman web https://theskylive.com/vesta-info
Saya cadangkan, carilah asteroid ini ketika langit masih gelap. Jika anda cuba mencarinya terlalu lewat, seperti 30 minit selepas Subuh, langit sudah menjadi terang dan susah nak cari nanti.
Jika anda mempunyai teleskop berkomputer GoTo, cari sahaja nama Beehive Cluster atau M44 pada tarikh-tarikh di mana Vesta akan berada di dalam kawasan kluster ini.
Ambillah gambar secara berturut-turut bermula kalau boleh Subuh esok hinggalah 31 Ogos nanti. Kemudian bandingkan gambar itu dari hari ke hari. Anda akan dapat lihat ‘sebutir’ bintang yang akan berubah kedudukan di dalam satu garisan lurus.
Itulah Vesta!
Kalau nak tahu, cara ahli astronomi menemui objek baru di angkasa sebiji macam ni! Mereka akan buat perbandingan gambar dari hari ke hari secara konsisten. Zaman dulu secara manual! Sekarang ini dah ada perisian yang tolong carikan !
Peta di bawah menunjukkan kedudukan Vesta dan kluster Beehive pada pandangan mata kasar.
Peta di bawah menunjukkan kedudukan Vesta menerusi pandangan sebuah binokular pada 29 Ogos 2020.
Peta di bawah menunjukkan kedudukan Vesta pada jam 6 pagi waktu Malaysia, sepanjang lintasannya itu.
Poin penting di sini ialah, alat paling sesuai untuk melihat asteroid Vesta ini bersama-sama dengan kluster Sarang Lebah/Beehive ini ialah dengan menggunakan binokular. Ini disebabkan kluster bintang ini terlalu besar dan berselerak bintang-bintangnya. Kalau tengok menerusi teleskop ia kurang menarik.
Selamat mencuba!