Pada 18 September 2020 lepas, Balai Cerap Mt. Lemmon di Arizona telah menemui sebuah asteroid kecil bernama 2020 SW. Menurut perkiraan awal, asteroid ini akan begerak berhampiran dengan Bumi pada jarak yang amat dekat.
Sedekat mana tu nanti dia akan lalu?
Asteroid ini akan berada 28,254 km sahaja di atas permukaan Bumi. Sebagai perbandingan jarak purata Bumi ke Bulan ialah 384,400 km!
Kalau diamati lagi jarak ini, ia sebenarnya berada LEBIH RENDAH/DEKAT daripada satelit meteorologi atau televisyen yang mana satelit-satelit ini mengorbit Bumi pada jarak 35,888 km.
Dekat tuuuuu!!!.
Momen ia berada paling hampir dengan Bumi ialah pada 24 September 2020 pada jam 7:18 pm waktu Malaysia. Ketika itu, ia akan berada di atas langit Australia dan New Zealand.
Walaupun masih terdapat ketidakpastian di dalam orbit asteroid ini (sebab ia hanya ditemui 5 hari lepas!), kiraan masih menunjukkan ia TIDAK AKAN BERLANGGAR dengan Bumi. Ketidakpastian yang dimaksudkan hanya melibat waktu sebenar ketika ia melintasi Bumi, ada ralat campur tolak 24 minit.
Besar mana asteroid tu?
Asteroid 2020 SW ini mempunyai saiz antara 4.5 hingga 10 meter. Lebih kurang saiz sebuah bas. Apabila asteroid ini melintasi Bumi, ia TIDAK BOLEH NAMPAK DENGAN MATA KASAR, dan kita perlu menggunakan teleskop yang besar, serta langit yang gelap untuk melihatnya. Ia akan bersinar pada kecerahan magnitud 13 atau 13.5.
Boleh nampak ke dari langit Malaysia?
Menurut kiraan menggunakan Stellarium, dan menggunakan orbital elements dari JPL Small-Body Database yang terkini, saya dapati ketika momen ia paling dekat, iaitu jam 7:18 pm pada 24 Sep, kedudukan asteroid ini berada di BAWAH UFUK dari langit kita di Malaysia dan Asia Tenggara.
Jika anda INGIN cuba juga nak melihatnya, peluang ‘terbaik’ ialah malam ini, 23 Sep 2020 bermula menjelang sekitar tengah malam. Pada ketika ini, ia berada di persekitaran kawasan planet Marikh dan sedikit ke utara di dalam buruj Pegasus. Tetapi harus ingat, kalau kita tengok malam ini, ia masih JAUH dan kecerahannya AMAT KELAM, malah jauh lebih kelam daripada Pluto! Mustahil untuk dirakam dari kawasan bandar menggunakan teleskop yang kecil, dan jauh lebih mustahil nak rakam guna henfon!!!
Jika nak tunggu SELEPAS momen ia lintas Bumi, ia hanya akan terbit SERENTAK dengan Matahari pada 25 September 2020 nanti. Pulak dah…
Senang cerita.. tak payah lah nak cari!
Ahli astronomi menjangkakan orbit asteroid 2020 SW ini akan TERPESONG daripada laluan asal hasil daripada kesan graviti Bumi. Kiraan awal menunjukkan selepas pesongan orbit ini, asteroid ini masih selamat dan tidak akan berlanggar dengan Bumi untuk jangka masa 50 tahun akan datang.
Harus ingat, pergerakan orbit objek-objek kecil seperti asteroid ini sentiasa berubah-ubah kesan daripada graviti planet-planet yang dilintasinya itu. Maka, orbitnya sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.
Buat masa ini, asteroid 2020 SW mengorbit Matahari setiap 372 hari, dan ketika ini ia bergerak di angkasa lepas selaju 27,900 km sejam!!
Laju tuuuu
Kita boleh saksikan lintasan ini menerusi strim live oleh Virtual Telescope Project menerusi pautan ini.
https://www.virtualtelescope.eu/2020/09/21/near-earth-asteroid-2020-sw-extremely-close-encounter-online-observations-23-sept-2020/
Maaf ya, saya tak buat LiveSGO.. teleskop di SGO kicik.. tak dapat tengok dan timing lintasannya pun tak kena dengan kita yooo
Secara amnya:
- Asteroid 2020 SW ditemui pada 18 Sep 2020 dari teleskop balai cerap Mt. Wilson
- Ia bersaiz antara 4.5 hingga 10 meter
- Ia tak akan berlanggar dengan Bumi.
- Momen lintasannya ialah pada 24 Sep 2020 jam 7:18 pm Waktu Malaysia, pada jarak 28,254 km sahaja.
- Ia akan berada lebih dekat daripada orbit Bulan.
- Ia akan berada lebih dekat daripada orbit satelit geosentrik seperti satelit cuaca dan TV.
- Ia tak boleh dilihat dengan mata kasar.
- Waktu lintasannya tak ngam dengan langit Malaysia. Ia berada di bawah ufuk ketika itu.
- Ia tak akan berlanggar dengan Bumi.
- Elemen orbitnya asteroid ini boleh didapati di https://theskylive.com/2020sw-info
- Orbitnya akan berubah setelah ia melintasi Bumi nanti.
- Ia tak akan berlanggar dengan Bumi.
- Ia termasuk dalam kategori Near Earth Asteroid (NEA).
Wallahua’lam
Bacaan lanjut