Rangkuman fenomena langit sepanjang Oktober 2020

Fenomena

Pejam celik pejam celik, dah masuk bulan Oktober dah kita! Apa yang menarik untuk dilihat di langit sepanjang bulan ni? Jom kita lihat satu per satu.

Jangan lupa rujuk Almanak Astronomi 2020 untuk fenomena lain.

2-3 Okt – Marikh dan Bulan

Pada malam 2 dan 3 Oktober ini, peluang untuk kita melihat Bulan bergerak melintasi hampir dengan planet Marikh. Bagi yang masih belum tahu mana nak cari planet merah ini, perhatikan sahaja ke arah Bulan. Berhampiran dengan Bulan, akan nampak sebutir ‘bintang’ yang amat terang dan berwarna merah. Itulah planet Marikh! Secara amnya, planet ini sudah terbit sekitar jam 8 malam. Menjelang tengah malam ia berada tegak di atas kepala!

Kedudukan Marikh dan Bulan sekitar jam 10 malam, pada 2 Okt. Simulasi Stellarium

2 Okt – Fasa Bulan Penuh

Bulan berada di dalam fasa Bulan Penuh pada jam 5:05 am waktu Malaysia. Ia berada di dalam kawasan buruj Pisces.

2 Okt – Elongasi maksimum planet Utarid.

Utarid akan berada pada jarak paling jauh daripada Matahari pada kedudukan jarak lengkung 25.8 darjah pada jam 12 am waktu Malaysia. Maknanya, ia boleh dilihat dengan mudah rendah di ufuk barat selepas Maghrib. Cuba cari planet ini sekitar 10-15 minit selepas Maghrib apabila langit dah mula gelap sikit.

Utarid di ufuk barat sekitar 30 minit selepas Maghrib pada 2 Okt 2020. Simulasi Stellarium

3 Okt – Zuhrah dan Regulus amat dekat!

Zuhrah akan melintas amat hampir dengan bintang Regulus pada waktu Subuh di langit sebelah timur. Dari Malaysia, jarak lengkung kedua-dua objek ini hanya 5 arc minit sahaja… iaitu 1/12 darjah! Kalau kita lihat dengan mata kasar, ia nampak seolah-olah seperti bintang kembar!

Zuhrah dan Regulus apabila dilihat menerusi teleskop dengan kuasa pembesaran 20X. Simulasi Stellarium

Cuba lihat pergerakan Zuhrah ini bermula 2 Okt hingga 4 Okt.

Lintasan seterusnya dengan bintang Regulus ini akan berlaku pada 22 Julai 2021 dan itupun tidak akan sehampir seperti ini!

6 Okt – Bulan dan Aldebaran (serta kluster Hyades)

Menjelang tengah malam 6 Okt ini, perhatikan Bulan melintasi hampir dengan bintang Aldebaran di dalam buruj Taurus. Jika anda menggunakan binokular, boleh juga dapat lihat kluster bintang Hyades yang berada di persekitaran bintang Aldebaran ini jugak.

Bulan dan Aldebaran pada 6 Okt 2020.

Kalau kita ingat, beberapa lintasan dahulu, Bulan bergerak tepat di hadapan kluster ini, dan telah berlaku penghijaban beberapa buah bintang. Tapi kali ini, laluan Bulan berada di ‘luar kawasan’.

10-11 Okt – Bulan dan bintang couple Castor dan Pollux.

Bulan akan melintasi hampir dengan bintang ‘kembar’ Castor dan Pollux di dalam buruj Gemini. Kedua-dua bintang ini bukanlah ‘kembar’ dalam erti kata sebenar. Ia mendapat perhatian daripad pencerap langit kerana kedua-duanya bersinar pada kecerahan yang hampir sama, dan kebetulan pula berada di dalam buruj Gemini, yang juga menggambarkan pasangan kembar!

Bulan dengan bintang Castor dan Pollux pada jam 3 pagi, 11 Okt 2020.

10 Okt – Fasa Bulan Sukuan Akhir

Bulan sukuan akhir paling ke utara untuk tahun ini yang mana ia akan berada di garisan deklinasi +24.47ยบ utara. Maknanya di sini, kalau kita lihat semasa Bulan terbit, ia akan terbit pada poin maksimum paling ke kanan dari titik azimut timur kita.

13 Okt – Bulan lintas Regulus

Bulan akan melintasi hampir dengan bintang Regulus pada waktu menjelang Subuh di ufuk timur.

Subuh 14 Okt 2020 – Bulan lintas Zuhrah

Pada pagi ini, Bulan akan melintasi planet Zuhrah pulak! Kali ini pandangan lebih menarik dan cantik, sebab Bulan berada dalam fasa bulan tua yang nipis. Cahaya Earthshine-nya bakal menjadinya pemandangan amat cantik dan romantik.

Bulan melintasi Zuhrah, awal Subuh 14 Okt 2020.

Maghrib 14 Okt Istiqbal MARIKH

Yes, inilah kemuncaknya, Istiqbal planet Marikh!. Pada hari ini Marikh akan berada pada poin bersetentang dengan Matahari, fenomena yang ditunggu-tunggu setiap 2 tahun 2 bulan. Jika anda pandang ke timur selepas Maghrib, dah boleh nampak Marikh mula terbit.

Marikh sekitar jam 10 malam di langit timur.

Jangan risau jika anda ‘terlepas’ tarikh ini akibat mendung atau hujan. Dalam selang 2-3 hari sebelum dan selepas tarikh ini pun sama je bentuk Marikh tu.

Ada teleskop? Halakan ke Marikh dan kita akan dapat lihat comot-comot hitam di atas permukaannya.

Planet Marikh yang dirakam oleh penulis sendiri pada 29 Sep 2020. @shahgazer

Marikh akan bersinar pada magnitud -2.6, jauh lebih cerah dari planet Musytari!

17 Okt Bulan Baru (Ijtimak)

Bulan memasuki fasa Bulan Baru atau dikenali sebagai ijtimak. Berlaku jam 3:31 am. Bulan baru ini kebetulan berlaku ketika ia dalam kedudukan perigee (paling dekat) untuk tahun ini. Jangan keliru ya, bulan baru bukan bermaksud anak bulan. Ia merujuk kepada poin ketika Bulan melintasi Matahari dan berada pada longitud ekliptik yang sama. Selepas itu, barulah kiraan penentuan hilal dibuat.

Maghrib 19 Okt – Bulan hampir dengan bintang Antares, dan ada penghijaban dengan bintang Graffias.

Bulan akan lintas hampir dengan bintang Antares rendah di ufuk sebelah barat pada 19 dn 20 Okt.

Bagi peminat fenomena penghijaban, Bulan akan menghijab bintang Graffias beberapa minit selepas Matahari terbenam pada 19 Okt!

Bintang Graffias akan hilang dari sebelah sisi gelap Bulan.

Mencabar juga fenomena penghijaban ini kerana ia berlaku ketika langit masih cerah. Anda perlukan teleskop. Halakan ke arah Bulan sebelum terbenam Matahari dan perhatikan ada sebutir bintang di bahagian gelap Bulan. Bintang Graffias itu akan hilang dilindungi Bulan sekitar jam 7:12 pm di Kuala Lumpur. Lain tempat lain waktunya. Sila guna aplikasi seperti Stellarium untuk mencari waktu di lokaliti anda.

21 Okt – Meteor Orionids

Meteor Orionids akan memuncak pada tengah malam hingga ke Subuh, 21 Oktober 2020. Prospek untuk tahun ini agak bagus kerana tiada gangguan cahaya Bulan. Jumlah purata kenampakan meteor (ZHR) adalah sekitar 20 setiap jam.

Meteor Orionids tahun ini mempunyai prospek yang bagus!

22- 23 Okt – Bulan lintas Musytari dan Zuhal

Sekali lagi, Bulan akan melintasi hampir dengan planet Musytari dan Zuhal. Boleh dilihat selepas Maghrib hinggalah menjelang jam 11 malam.

Bulan melintasi 2 planet gergasi, Musytari dan Zuhal. Rajah ini menunjukkan kedudukan pada 22 Okt 2020.

29 Okt – Bulan lintas Marikh (sekali lagi)

Buat kali kedua dalam bulan ini, Bulan akan melintasi planet Marikh. Marikh masih lagi dekat dan bersinar amat terang. Kedua-dua objek ini bakal menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandang ke langit timur bermula selepas Maghrib

Marikh dan Bulan pada 29 Okt 2020.

31 Okt – Bulan Penuh paling kecil untuk tahun ini

Kita selalu syok nak tengok Bulan penuh paling besar! Apa kata kita ubah selera dan cuba lihat Bulan penuh paling kecil pula! Pada malam ini, Bulan yang berada dalam fasa purnama ini akan berada pada poin kedudukan paling jauh dari Bumi (apogee). Ia akan kelihatan sedikit kecil berbanding bulan-bulan penuh yang biasa.

31 Okt – Uranus bersetentang dengan Matahari

Giliran planet Uranus pula bersetentang dengan Matahari. Secara teorinya planet ini boleh dilihat dengan mata kasar dari kawasan langit yang gelap dan tiada gangguan cahaya. Saya galakkan adalah lebih baik guna binokular atau teleskop untuk melihat planet ini.. lebih mudah.

Ia berada di dalam buruj Aries.

5 2 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments