Siap sedia semua!!
Pada 21 Disember 2020 ini akan berlaku konjungsi atau lintasan 2 buah planet gergasi, Musytari dan Zuhal, yang paling dekat pernah kita dapat lihat sejak tahun 2000!
Jarak lengkung Musytari dan Zuhal akan dipisahkan sejauh 1/10 darjah sahaja daripada antara satu sama lain! Sebagai perbandingan saiz bulan purnama di langit ialah 1/2 darjah…
Kira dekat sangat la tu!
Malah, jika kita perhatikan kedudukan kedua planet ini sekarang pun dah boleh lihat kedua-duanya semakin hampir dari hari ke hari!
Fenomena lintasan ini yang juga dikenali sebagai konjungsi atau conjunction, sebenarnya merujuk kepada dua buah objek sistem suria (dalam kes ini Musytari dan Zuhal) kelihatan seperti hampir-hampir sejajar apabila dilihat dari Bumi. Dilihat dari ‘atas’ sistem suria, Bumi, Musytari dan Zuhal kelihatan hampir-hampir segaris.
Walaupun sepanjang tahun, kita sering disajikan fenomena lintasan seperti ini, yang melibatkan bulan dan planet-planet lain, tetapi untuk lintasan di antara planet dengan planet amat jarang. Lebih jarang lagi ialah lintasan yang amat dekat seperti ini.
Malah, saya boleh katakan kedua-dua planet ini akan mungkin kelihatan seperti satu objek yang bercantum!
Kenapa ia amat jarang berlaku?
Menurut kiraan falak, lintasan antara Musytari dan Zuhal ini berulang setiap 20 tahun sekali.
Ini disebabkan pergerakan kedua planet ini di dalam orbit disekeliling Matahari amat perlahan. Musytari mengambil masa 12 tahun, manakala Zuhal mengambil masa 29 tahun untuk melengkapi satu pusingan orbit.
Maka, setiap 20 tahun, Musytari akan kembali ‘mengejar’ Zuhal apabila dilihat dari langit Bumi.
Simulasi di bawah menunjukkan pergerakan Musytari dan terpaksa mengambil masa 20 tahun untuk mengejar kembali Zuhal.
Jika kita unjurkan ke belakang, kali terakhir fenomena sama berlaku ialah pada 28 Mei 2000. Siapa ada lihat masa tu? Ketika itu ia berlaku lewat Subuh, menghampiri waktu Matahari terbit rendah di ufuk timur. Jarak lengkung antara kedua planet ini pun sekitar 1.1 darjah.
Kali ini, ia akan berlaku selepas Maghrib, 21 Disember 2020. Ketinggiannya agak selesa iaitu 29 darjah pada waktu Matahari terbenam, dan 12 darjah menjelang Isya!
Rajah di bawah menunjukkan perbandingan jarak Muystari-Zuhal dengan saiz Bulan penuh. Dari sini kita boleh bayangkan jaraknya jika dilihat menerusi teleskop
Supaya lebih menarik, lakukan cerapan mulai hari ini dan perhatikan perubahan kedudukan kedua-dua planet ini dari hari ke hari sehingglah tarikh kemuncak 21 Disember nanti.
Jika anda terlepas nak tengok, anda kena tunggu fenomena ulangan pada 31 Oktober 2040! … 20 tahun lagi!
Satu fakta yang menarik, setiap kali lintasan Musytari dan Zuhal, jaraknya berbeza-beza, ada yang sangat dekat seperti apa yang akan berlaku nanti, dan ada yang jauh.
Menurut catatan tweet Dave Dickinson, kali terakhir lintasan sedekat ini berlaku ialah pada 16 Julai 1623, iaitu hanya 1/12 darjah sahaja! Lebih dekat berbanding 21 Dis 2020 ini.
Selepas ini, untuk kita berpeluang melihat sekali lagi lintasan sedekat ini, kenalah tunggu sehingga 15 Mac 2080! Ketika itu lintasannya sejauh 1/10 darjah!
Oleh itu, jangan lupa kita terus perhatikan kedua-dua planet ini. Fenomena yang jarang-jarang berlaku ini bakal menjadi ingatan indah yang boleh diabadikan menerusi kamera atau catatan peribadi kita.
Saya mungkin akan usahakan lakukan cerapan LiveSGO nanti bersama dengan rakan-rakan lain di sekitar Asia Tenggara. Pape nanti saya roger!
Menarik ni! 👍🏻👍🏻👍🏻 Kena bersiap untuk 21 Dis ni, moga cuaca baik. Terima kasih sifoo 👌