Rangkuman fenomena samawi menarik sepanjang 2021

Fenomena

Pejam celik 2020 dah nak habis dah. Di sebalik pandemik covid-19 yang secara langsung ‘memadam’ segala aktiviti rutin sepanjang tahun ini, masih banyak fenomena langit yang telah berjaya dilihat oleh kita untuk dijadikan kenangan untuk anak cucu kita nanti.

Membuka lembaran baru 2021, jom kita lihat apakah fenomena utama yang menarik yang boleh dicerap sepanjang tahun baru nanti. Senarai lengkap boleh didapati menerusi Almanak Astronomi 2021

Menjejaki Uranus – 20 Januari 2021

Planet Uranus akan melintasi 1.5º daripada planet Marikh. Ini peluang terbaik untuk menjejaki planet hijau ini dengan berpandukan kedudukan Marikh. Jarak sudut 1.5º itu bersamaan 3 kali diameter Bulan.

Bulatan menandakan medan pandangan seluas 3º atau 6 kali diameter Bulan

Giliran Utarid menghimpit Musytari – 5 Mac 2021

Menjelang Subuh, lihat ke arah timur. Kita boleh lihat planet Utarid berada hampir dengan Musytari. Waktu terbaik ialah sekitar 15 minit selepas Subuh apabila ia mula tinggi sedikit. Jarak sudut antara kedua planet ini ialah 0.5º iaitu bersamaan 1 diameter Bulan.

Pandangan arah timur 15 minit selepas Subuh.

Marikh hilang dari pandangan! Dihijab oleh Bulan. Merajuk ke tu.. – 17 April 2021

Fenomena UTAMA untuk tahun 2021 ini! Marikh akan dihijab oleh Bulan. Sesuatu yang jarang dapat dilihat dari Malaysia. Kejadian ini akan berlaku sekitar jam 9 malam hingga 10.30 malam, bergantung kepada lokasi masing-masing.

Anda di Semenanjung Malaysia berpeluang melihat momen Marikh hilang dan muncul kembali. Bagi anda di Sabah dan sebahagian daripada Sarawak, akan dapat lihat momen planet ini hilang sahaja.

Simulasi momen Bulan bergerak di hadapan planet Marikh.

Bulan Penuh Perigee – ehemm.. Super Moon

Menurut Fred Espenak, Bulan Penuh Perigee yang juga dikenali sebagai perigee syzygy berlaku apabila momen Bulan berada di dalam Fasa Penuh, Bulan berada dalam lingkungan 90% jarak terdekat dengan Bumi. Ketika ini Bulan akan kelihatan sedikit besar dan lebih terang daripada biasa.

Istilah super moon dipopularkan oleh ahli tukang tilik Amerika, Richard Nolle, pada tahun 1979, dan sejak kebelakangan ini digunapakai oleh masyarakat umum. Ia BUKAN istilah rasmi dalam astronomi.

Pada tahun 2021 ini, akan berlaku 4 kali super moon

  • 28 Mac 2021
  • 27 April 2021
  • 26 Mei 2021 (paling hampir, paling besar..dan berlaku gerhana bulan)
  • 24 Jun 2021

Gerhana Bulan Penuh Perigee Syzygy – 26 Mei 2021

Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada waktu Maghrib ketika Bulan sedang terbit di ufuk timur. Anda di Semenanjung akan dapat melihat Bulan berada dalam fasa maksimum ketika ia terbit. Anda di Sabah dan Sarawak berpeluang melihatnya lebih awal ketika ia sedang masuk ke dalam fasa gerhana penuh!

Lokasi terbaik untuk mencerap ini ialah dari kawasan yang tiada halangan di ufuk timur. Anda yang berada di pantai timur yang mengadap laut bakal mendapat pemandangan yang amat cantik!

Kebetulan pula gerhana kali ini juga berlaku ketika Bulan berada paling hampir dengan Bumi, iaitu terkait dengan salah satu daripada bulan-bulan berlakunya super moon !

Foto suasana Bulan gerhana yang sedang terbit rendah di ufuk. Sumber foto.

Berikut ialah jadual bagi 3 bandar utama.

Kuala Lumpur

5:44 pm❌ Fasa gerhana separa bermula. Bulan mula masuk ke dalam bayang-bayang umbraTidak kelihatan. Bulan di bawah ufuk
7:11 pm❌ Fasa gerhana penuh bermula. Keseluruhan Bulan berada di dalam umbraTidak kelihatan. Bulan di bawah ufuk.
7:18 pm✅ Kemuncak gerhana bulan penuhBoleh dilihat. Bulan sedang terbit dan amat rendah di ufuk.
7:25 pm✅ Fasa gerhana penuh tamat. Bulan mula keluar dari umbraBoleh dilihat. Bulan berada di atas ufuk.
8:52 pm✅ Fasa gerhana separa tamat. Keseluruhan Bulan berada di luar umbraBoleh dilihat. Bulan berada di atas ufuk.

Kuching

5:44 pm❌ Fasa gerhana separa bermula. Bulan mula masuk ke dalam bayang-bayang umbraTidak kelihatan. Bulan di bawah ufuk
7:11 pm✅ Fasa gerhana penuh bermula. Keseluruhan Bulan berada di dalam umbraBoleh dilihat. Bulan sedang terbit dan rendah di ufuk.
7:18 pm✅ Kemuncak gerhana bulan penuhBoleh dilihat. Bulan sedang terbit dan rendah di ufuk.
7:25 pm✅ Fasa gerhana penuh tamat. Bulan mula keluar dari umbraBoleh dilihat. Bulan berada di atas ufuk.
8:52 pm✅ Fasa gerhana separa tamat. Keseluruhan Bulan berada di luar umbraBoleh dilihat. Bulan berada di atas ufuk.

Kota Kinabalu

5:44 pm❌ Fasa gerhana separa bermula. Bulan mula masuk ke dalam bayang-bayang umbraTidak kelihatan. Bulan di bawah ufuk
7:11 pm✅ Fasa gerhana penuh bermula. Keseluruhan Bulan berada di dalam umbraBoleh dilihat. Bulan sedang terbit dan rendah di ufuk.
7:18 pm✅ Kemuncak gerhana bulan penuhBoleh dilihat. Bulan sedang terbit dan di atas ufuk.
7:25 pm✅ Fasa gerhana penuh tamat. Bulan mula keluar dari umbraBoleh dilihat. Bulan berada di atas ufuk.
8:52 pm✅ Fasa gerhana separa tamat. Keseluruhan Bulan berada di luar umbraBoleh dilihat. Bulan berada tinggi di atas ufuk.

Marikh lintas Zuhrah. 13 Julai 2021

Marikh akan melintasi amat hampir dengan Zuhrah, pada jarak sudut 0.5º sahaja, iaitu bersamaan 1 diameter Bulan. Ia berlaku selepas Maghrib tetapi agak rendah di ufuk barat.

Ini adalah antara peluang terakhir untuk kita melihat Marikh, sebelum ia berada terlalu rendah dan terlalu hampir dengan Matahari.

Simulasi kedudukan Marikh dan Zuhrah. Bulatan menunjukkan saiz 1º atau bersamaan 2 kali diameter Bulan.

Oposisi planet Musytari dan Zuhal

Pada 2 Ogos 2021, Zuhal akan kembali ke posisi oposisi atau bersetentang dengan Matahari. Kemudian pada 20 Ogos 2021, giliran Musytari pula berada bersetentang. Pada tarikh tersebut, planet-planet itu akan terbit di ufuk timur sebaik sahaja masuk waktu Maghrib dan kelihatan sepanjang malam hinggalah ia terbenam pada waktu Matahari terbit keesokannya.

Meteor Perseids – 12 Ogos 2021

Tahun ini Meteor Perseids akan memuncak pada awal pagi 12 Ogos 2021 dalam keadaan langit yang sungguh optimum! Tiada cahaya bulan yang akan mengganggu. Jika dicerap dari kawasan sempurna gelap, dijangka sekitar 80-100 meteor boleh dilihat dalam masa sejam!

Meteor Geminids – 14 Disember 2021

Meteor Geminids tahun ini akan diganggu sedikit oleh kehadiran cahaya Bulan. Namun selepas jam 3 pagi (2 pagi di Sabah), Bulan akan terbenam dan kita ada peluang 2-3 jam untuk melihat meteor-meteor ini dalam suasana langit gelap. Dijangka 100 meteor boleh dilihat dalam masa sejam dari kawasan yang sempurna gelap.

Almanak Astronomi 2021

Jangan lupa rujuk Almanak Astronomi 2021 terbitan FalakOnline. Saya sudah memuat naik almanak ini di dalam Google Calendar dan boleh digunakan sebagai rujukan bagi yang berminat.

Selamat Mencerap!

5 2 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments