Sebuah lagi asteroid akan melintasi kawasan persekitaran sistem Bumi-Bulan pada 21 Mac 2021 nanti. Asteroid yang bernama 2001 FO32 akan melintas pada jarak selamat 1.9 juta KM daripada Bumi. Sebagai perbandingan, jarak purata Bulan dan Bumi ialah 384,400 km. Menurut laporan, asteroid ini merupakan asteroid paling besar yang akan melintasi Bumi pada tahun 2021 ini.
Sebagaimana semua sedia maklum, angkasa lepas kita ni bukanlah kosong sangat. Ia bersepah dengan debu, habuk dan serpihan batu yang berasal daripada awal pembentukan sistem suria kita.
Maka, tidak hairanlah kita sering dengar berita mengenai kemunculan asteroid-asteroid yang akan bergerak hampir dengan Bumi. Sekarang ni lagi kerap kita dengar, sebab sudah banyak organisasi yang memantau langit mencari objek-objek sebegini.
Berdasarkan kajian dan pemerhatian saintis , 2001 FO32 ialah sebuah asteroid kecil yang dimasukkan ke dalam kategori “Asteroid Berpotensi Berbahaya” atau istilah asalnya “Potentially Hazardous Asteroid”, kerana laluan orbitnya yang akan melintas hampir dengan Bumi.
Jangan gelabah.. baca dulu
2001 FO32 mengorbit Matahari setiap 810 hari, dan mempunyai bentuk orbit yang sangat eliptikal. Berdasarkan cahaya yang dipantulkan, saiz asteroid ini adalah di antara 0.767 km hingga 1.714 km.
Saiz asteroid ini walaupun kecil, tetapi ia berada di dalam kumpulan 3% asteroid terbesar.
Jangan gelabah…baca sampai habis
Walaupun asteroid ini berada dalam “top 3%”, ia sebenarnya masih kecil dan tidak termasuk dalam kumpulan asteroid “pemusnah planet” yang jauh lebih besar dan lebih bahaya ancamannya.
Maka itu, apakah kesan JIKA asteroid sebesar 2001 FO32 ini jatuh ke Bumi? Menurut kajian, ANDAIKATA jatuh ke laut ia boleh menghasilkan tsunami serta mampu menyejat air laut hingga menghasilkan jerebu yang meliputi seluruh planet.
Persoalannya adakah ia akan berlanggar dengan Bumi?
Jangan gelabah…. faham dulu penerangan di bawah ni..
Jawapannya tidak sama sekali. Orbit asteroid 2001 FO32 ini akan membawa asteroid ini paling dekat dengan Bumi, pada jarak 1.9 JUTA km.
Jarak ini BERSAMAAN hampir 5 KALI GANDA LEBIH JAUH DARI BULAN.
Dalam erti kata lain, ia akan tidak akan berlanggar dengan Bumi.
Habis tu, kenapa asteroid ini dimasukkan dalam kategori “Asteroid Berpotensi Berbahaya” ?
Menurut definisi “Asteroid Berpotensi Berbahaya” atau “Potentially Hazardous Asteroid” ialah apabila sebuah objek memenuhi 2 syarat di bawah:
- Ia akan melintasi Bumi pada jarak kurang dari 0.05 Astronomical Unit atau bersamaan 7,500,000 km.
- Kecerahan absolut (absolute magnitude) lebih cerah dari 22, yang membawa maksud saiznya lebih besar dari 140 meter.
Maka, di dalam kes ini jelaslah asteroid 2001 FO32 memenuhi kriteria PHA di atas. Namun, ini TIDAK BERMAKSUD ia akan berlanggar dengan Bumi.
Adakah ia akan berlanggar pada masa hadapan?
Kemajuan teknologi cerapan dan pengetahuan matematik serta dinamik orbital sejak beberapa dekad yang lalu telah membolehkan kita meramal laluan asteroid ini pada masa hadapan.
Menurut data ini, 4 lintasan seterusnya asteroid 2001 FO32 dengan Bumi akan membawanya semakin jauh dari lintasan sebelumnya.
Tarikh | Jarak dari Bumi (km) |
21 Mac, 2021 | 2,016,351 |
22 Mac, 2052 | 2,831,658 |
23 Mac, 2103 | 3,142,002 |
25 Mac, 2134 | 7,123,726 |
20 Mac, 2185 | 11,476,678 |
Boleh nampak ke dari Bumi?
Asteroid ini akan bergerak pada kelajuan 123,887 km/jam. Laju tu! Maka, pada ketika momen ia berada hampir dengan Bumi, kita boleh melihatnya bergerak perlahan-lahan di celah-celah bintang. Namun, disebabkan ia jauh dan kecil, kita perlu menggunakan teleskop sekurang-kurangnya saiz 8 inci untuk melihatnya secara visual.
Berdasarkan kiraan aplikasi Sky Safari 6 Pro, asteroid ini akan terbit sekitar tengah malam di dalam buruj Lupus di langit selatan, dan menjelang Subuh, ia akan menuju ke bahagian selatan buruj Scorpio. Kecerahannya sekitar magnitud 11.
Secara kasarnya, saya dapati dalam masa 30 minit, ia sudah pun bergerak sejauh 0.6 darjah… kira laju tu! Boleh nampak ia bergerak secara ‘real-time’ menerusi teleskop atau kamera!
Video di bawah menunjukkan lokasi kasar asteroid ini bermula dari jam 12 tengah malam hingga ke Subuh, 21 Mac 2021. Paparan ini merujuk kepada lokasi Malaysia dan Asia Tenggara.
Viral?
Harapnya tidaklah, tetapi selalunya cerita sebegini akan mula terbesar dengan cepat apabila ada blog-blog yang menulis tajuk gimik seperti “NASA ramalkan asteroid sebesar 1.7 km bakal menghentam Bumi” atau seumpamanya. Kemudian yang membacanya pula tak nak usaha nak faham senario sebenar lalu terus viralkan dalam group whatsapp kak kiah.
Andaikata ada yang dah terjumpa viral seumpama itu, harap tolong share lah artikel ini semua semua faham.
Wallahua’lam