Farfarout, objek paling jauh di dalam sistem suria!

Berita Penemuan Terkini

Masih ingatkah dahulu, kalau orang tanya apakah planet paling jauh daripada Bumi? Semua dengan penuh yakin menjawab ‘Pluto’!

Fast forward tahun 2021, jawapan dah berubah-ubah sampai naik pening kita dibuatnya! 😀

Pada tahun 2018, para pengkaji dari University of Hawaii, yang mencari objek-objek kecil dan jauh yang wujud di dalam sistem suria kita ini telah menemui sebuah objek yang terletak amat jauh daripada Matahari.

Objek yang dikenali sebagai 2018 AG37 oleh Minor Planet Center, berada sungguh jauh hinggakan ia mengambil masa 1000 tahun untuk melengkapi satu pusingan orbit mengelilingi Matahari.

Ilustrasi Farfarout yang terletak begitu jauh di hujung sistem suria, hinggakan Matahari hanya kelihatan seperti sebutir bintang yang terang. Kredit: NOIRLab/NSF/AURA/J. da Silva

Menurut David Thoken, salah seorang ahli pengkaji dari universiti tersebut, disebabkan objek ini terlampau jauh, ia bergerak amat-amat perlahan di langit, dan memerlukan cerapan berterusan selama beberapa tahun baharulah pergerakan orbit yang lebih tepat dapat diperolehi.

Foto penemuan Farfarout (2018 AG37) yang dirakam oleh Teleskop Subaru pada 15 Januari, 2018. Kredit: S.Sheppard

Objek yang diberi nama jolokan, Farfarout, mempunyai orbit yang berbentuk elips yang sungguh ekstrem. Di dalam skala Astronomical Unit (AU), yang mana 1 AU bersamaan jarak Bumi ke Matahari, pada ketika ini Farfarout berada pada jarak 132 AU, iaitu bersamaan 4 kali jarak Pluto ke Matahari. Pada kedudukan paling jauh ia melepasi jarak 175 AU. Apabila ia berada paling dekat dengan Matahari, ia akan bergerak lebih dekat daripada Neptune (pada jarak 27 AU). Berdasarkan kiraan pergerakan objek ini serta kecerahan sinar cahayanya yang dilihat daripada Bumi, saintis menganggarkan saiz objek ini sekitar 402 km.

Orbit Farfarout yang melintasi orbit Neptune ini menunjukkan mungkin pada suatu ketika dahulu, ia telah tercampak keluar kesan graviti daripada planet Neptune.

Pada saiz ini, Farfarout berada di dalam kategori kumpulan planet kerdil (belum rasmi) yang paling kecil.

Dah lah kerdil dan kecik, kena campak jauh-jauh pulak tu …ciann kena buli!

Farfarout telah memecah rekod objek paling jauh (120 AU) sebelum ini yang dipegang oleh objek yang digelar Farout.

Adehhh.. kalau depa jumpa lagi jauh… kena panggil VeryFarFarOut la kot?

Nama yang agak pelik ini sebenarnya hanya nama gelaran dan ia akan diberi nama rasmi apabila orbitnya dapat dikira dengan lebih jitu dan tepat.

Rajah berskala sistem suria, menunjukkan betapa jauhnya kedudukan Farfarout berbanding objek-objek lain. Credit: Roberto Molar Candanosa, Scott S. Sheppard from Carnegie Institution for Science, and Brooks Bays from University of Hawaiʻi

Penemuan Farfarout ini dikatakan hanya permulaan kepada lambakan penemuan objek-objek kecil di sudut hujung sistem suria kita. Menurut Scott Sheppard dari Carnegie Institution for Science and Chad Trujillo of Northern Arizona University, yang mengetuai pencarian dan usaha pemetaan kawasan di luar orbit Pluto, “Hanya dengan kemajuan teknologi digital kamera bersaiz besar yang dipasang pada teleskop besar, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah membolehkan penemuan yang lebih efisyen objek-objek yang amat jauh seperti Farfarout”

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments