Foto pertama planet Marikh dari prob angkasa negara China, Tianwen-1 sungguh menarik.
Dikongsi pada 5 Feb 2021 lepas oleh China National Space Administration (CNSA), ia menunjukkan bahagian planet dari sudut ‘tepi’, dengan beberapa ciri permukaan yang utama, seperti Merdiani Planum dan Valles Marineris, jelas kelihatan.
Menurut jadual, prob ini akan memasuki orbit Marikh pada hari Rabu ini, 10 Feb 2021. Ketika itu ia akan mula menyalakan enjin untuk memperlahankan pergerakannya ngam-ngam sehingga graviti Marikh dapat menangkapnya.
Tianwen-1 ini telah terbang sejauh 465 juta km daripada Bumi selama 197 hari. Pada jarak ini isyarat dari prob ini terpaksa mengambil masa 10 minit untuk sampai ke Bumi. Disebabkan inilah, ketika fasa untuk memperlahannya pergerakannya tadi akan dibuat secara automatik.
Setelah memasuki orbit, Tianwen-1 akan mula melakukan rakaman dan mencari lokasi paling sesuai untuk menurunkan perayaunya (rover) pula.
Buat masa ini, perayau itu tidak mempunyai nama dan China sedang mengadakan undian umum selama 40 hari kepada rakyatnya untuk memberi nama kepada perayau itu tadi.
Di antara kajian saintifik yang akan dibuat oleh perayau itu ialah mengkaji ciri-ciri permukaan tanah dan distribusi ais yang mungkin ada. Manakala prob utama yang kekal di orbit akan melakukan rakaman resolusi medium dan tinggi menggunakan kamera dan radar.
Kita tunggu maklumat lanjut daripada Tianwen-1.