2007, itulah jadual asal pelancaran teleskop angkasa terbaru, James Webb Space Telescope. 14 tahun kemudian, ia masih belum dapat dilancarkan.
Namun, akhirnya berdasarkan maklumat dari NASA, teleskop ini akan dilancarkan pada 24 Disember 2021 ini.
Apa yang kecoh sangat mengenai JWST ni?
Bagi yang telah mengikuti kisah JWST ini selama bertahun-tahun pasti sudah tahu kepentingan teleskop ini. Ia digelar sebagai pengganti kepada Teleskop Angkasa Hubble (HST). Walaupun begitu ia sebenarnya jauh lebih daripada itu. JWST ialah sebuah balai cerap angkasa pelbagai guna (mutipurpose observatory) . Ia akan menggantikan peranan HST sebagai teleskop ulung dunia di dalam usaha manusia mempelajari rahsia alam semesta.
HST ialah sebuah teleskop veretan yang dah tua! Teleskop ini sudah beroperasi selama 31 tahun di dalam orbit di sekeliling Bumi.
Kita boleh panggil dia ni teleskop otai la kot!
Namun, seperti makhluk lain, tidak ada yang kekal. HST sudah mula menunjukkan keuzurannya dengan kerosakan demi kerosakan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dahulunya, jika HST rosak, misi angkasa NASA yang menggunakan Space Shuttle akan dihantar ke orbit untuk proses baik pulih atau tukar alat baru. Namun begitu, apabila misi Space Shuttle ini ditamatkan pada tahun 2011, kita tidak ada cara untuk naik ke orbit dan melakukan kerja penyelenggaran atau baik pulih ke atas HST ini.
Justeru, teleskop pengganti bernama James Webb Space Telescope atau singkatannya JWST dicadangkan.
Keupayan JWST dijangka akan dapat menyelongkar rahsia seperti:
- Mengkaji dengan lebih mendalam kandungan atmosfera di dalam eksoplanet yang kita ketahui sehingga hari ini. Ini termasuk mencari kewujudan air, karbon dioksida dan metana, yang mana kehadrian ketiga-tiga komponen ini boleh menunjukkan mungkin wujud kehidupan di sana.
- Ahli astrofizik, orang yang mengkaji alam semesta dalam skala yang lebih besar, akan berpeluang melihat galaksi-galaksi yang mula wujud 100 juta tahun sahaja selepas berlakunya Big Bang atau letusan besar.
- Para pengkaji planet akan dapat mengkaji perubahan atmosfera di planet-planet seperti Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptune dengan lebih mendalam.
Projek JWST ini bukan milik NASA sahaja. Ia merupakan kerjasama di antara Amerika Syarikat, Eropah dan Kanada, yang mana masing-masingnya ada menyumbang kepada sebahagian daripada kos teleskop ini.
Oh ya… projek ini sekarang bernilai 10 bilion dollar!
Bagaimana JWST ini lebih hebat daripada HST?
Kita tahu HST meneropong alamn semesta menggunakan julat cahaya nampak (visible light) atau lebih senang nak faham, cahaya pelangi yang kita nampak dengan mata.
Namun, ia juga mampu melihat julat cahaya seperti ultraviolet dan near-infrared pada tahap sensitiviti antara 100 nanometer hingga 1.8 micron sahaja. Kalau HST nak tengok lebih dari itu, ia tidak berupaya kerana faktor saiz cerminnya yang kecil, dan juga jarak orbitnya yang hampir dengan Bumi, menghadkan kajian di dalam julat cahaya yang lain.
Apa yang HST nampak hanya sebahagian kecil daripada julat cahaya yang ada di langit. Jika kita hanya mengharapkan HST sahaja, kita sebenarnya telah mengabaikan maklumat lain yang lebih penting.
Antara kelemahan HST ialah ia tidak mampu melihat apa-apa objek yang diselubungi oleh debu dan habuk. Di angkasa lepas sebenarnya penuh dengan debu dan habuk. Debu dan habuk ini menghalang cahaya untuk sampai ke kita. Namun, objek-objek ini mengeluarkan haba, ia haba akan bersinar terang di dalam julat cahaya infra-merah.
Di sinilah antara peranan utama JWST. Teleskop ini akan fokus kepada cerapan di dalam julat cahaya infra merah. Ia mampu menembusi kepulan habuk dan debu ini, seterusnya kita boleh tahu apa yang sedang berlaku di dalam kepulan-kepulan ‘asap’ ini.

Satu lagi perkara menarik ialah JWST ini akan ditempatkan di dalam orbit stabil yang dipanggil sebagai poin Lagrange L2. Ia merupakan satu titik di angkasa yang terletak 15 juta kilometer daripada Bumi. Di sini gabungan graviti Bumi dan Matahari akan membolehlah JWST ‘di-parking’ di situ secara kekal.
Pada kedudukan L2 ini, JWST akan sentiasa mengadap ke arah berlawanan daripada Bumi , Bulan dan Matahari. Ini bermaksud ia akan sentiasa pandang ke arah langit yang gelap jauh dari silau cahaya tiga objek terang tadi.
Perjalanan ke titik L2 ini mengambil masa 1 bulan. Kedudukan yang jauh ini tidak memungkinkan kita boleh ‘pergi’ ke sana, jika berlaku sebarang kerosakan! Maknanya, jika ada komponen JWST ini rosak, kiranya pakai buang je la!
Itulah sebabnya kalau kita follow twitter pengendali JWST, samada saintis atau jurutera, mereka sekarang ini berada di dalam situasi stress yang berpanjangan!
Apa pun kita nantikan dulu pelancaran teleskop ini. Doakan ia berjaya kerana maklumat yang kita bakal perolehi daripada JWST ini apabila ia mula beroperasi nanti bakal menggegarkan dunia kajian astronomi secara amnya.
Bacaan lanjut:
- JWST launch guide: Everything you need to know
- NASA’s James Webb Space Telescope: Hubble’s Cosmic Successor
- How much does the James Webb Space Telescope cost?
- NASA’s Webb Telescope Will Show Us More Stars at Higher Resolution—Here’s What That Means for Astronomy
- How does space dust affect our view of the night sky?