Jom teropong langit minggu ini (8-14 Januari 2022)

Fenomena

Sabtu, 8 Januari

Pada hari ini, jam 11:16 pm, Planet Zuhrah akan berada di kedudukan Inferior Conjunction, iaitu hampir searah dengan Matahari. Zuhrah akan berada hanya 4º 48 min sahaja daripada pusat Matahari dan di dalam kedudukan ini ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Kedudukan ini tidaklah sehampir seperti apa yang berlaku pada tahun 2020 lepas, yang mana pada ketika itu Zuhrah berada hanya 2º 48 min sahaja!

Foto planet Zuhrah yang dirakam oleh penulis pada 2 Jun 2020. @shahgazer

Ikuti pos-pos status media sosial saya, terutama twitter, untuk keadaan terkini planet Zuhrah pada tarikh ini.

Sementara itu pada waktu Subuh, planet Marikh masih berlegar berhampiran dengan gugusan bintang M 19. Planet Marikh bersinar pada magnitud 1.5 sahaja, maknanya ia hanya kelihatan seperti bintang ‘terang’ berwarna merah rendah di ufuk timur.

Pada waktu senja selepas Maghrib, planet Utarid mudah kelihatan rendah di ufuk barat. Planet Zuhal akan berada di sebelah atas planet ini tetapi disebabkan ia tidaklah bersinar terang, maka kita mungkin susah sikit nak kenalpasti Zuhal dengan bintang-bintang lain.

Musytari pula masih berada agak tinggi di ufuk timur, dan kelihatan seperti bintang terang.

Komet Leonard kini sudah semakin malap dan bersinar pada magnitud 6 sahaja. Memang tak akan nampak dengan mata kasar dari kawasan bandar dan amat susah nak jejakinya kerana ia nampak seperti bintang kelam sahaja walaupun dari kawasan gelap. Namun menerusi kamera ia masih mudah dirakam.

Foto dibawah dirakam oleh @platyputs pada 6 Januari 2022 lepas.

Ahad, 9 Januari

Isya – Jika anda jenis suka mencabar diri sendiri, cubalah rakam 2 buah galaksi satelit terdekat dengan Bima Sakti kita, iaitu Large Magellanic Cloud (LMC) dan Small Magellanic Cloud (SMC). Kedua-dua galaksi kecil ini akan kelihatan seperti tompokan awan putih yang kelam-kelam, rendah di ufuk selatan. Di Malaysia, kedudukan kedua galaksi ini tidak akan mencecah 20 darjah, maknanya rendah tu! Anda perlu lakukan cerapan dari kawasan yang gelap dan tiada halangan apa-apa di ufuk sebelah selatan. Kaedah terbaik untuk mencari dua galaksi ini ialah dengan menggunakan binokular. Jangan guna teleskop sebab galaksi ini amat besar di langit dan tak akan dapat dimuatkan dalam satu medan pandangan sebuah teleskop!

Kedua-dua galaksi ini akan sentiasa dapat dilihat di kawasan sama sepanjang seminggu dua ini.

LMC dan SMC yang dicerap dari Australia oleh penulis pada tahun 2014. @shahgazer

Isnin, 10 Januari

Bulan memasuki Fasa Bulan Sukuan Awal (First Quarter) pada jam 2:13 AM. Bulan akan berada di dalam kawasan buruj Pisces, sebuah buruj besar tetapi disinari dengan bintang yang kelam dan tidak begitu menyerlah.

Simulasi SkySafari

Selasa, 11 Januari

Pada waktu Isya hari ini cuba pandang ke arah timur. Kita akan disajikan dengan begitu banyak buruj-buruj yang terang seperti Orion, Taurus, Gemini, Auriga, Canis Minor dan Canis Major.

Namun yang menarik untuk dilihat juga ialah sususan asterim, yang menggabungkan bintang-bintang cerah Rigel (Orion), Aldebaran (Taurus), Capella (Auriga), Castor dan Pollux (Gemini), Procyon (Canis Minor) dan Sirius (Canis Major).

Asterim ini dikenali sebagai The Winter Hexagon yang selalunya dirujuk sebagai tanda kemuncaknya musim sejuk di hemisfera utara.

Pandangan arah timur sekitar waktu Isya’. Simulasi SkySafari

Rabu, 12 Januari

Subuh ini, Marikh mula keluar dari lingkungan 5 darjah dari gugusan bintang M 19.

Pada waktu Isya, cuba perhatikan ke arah Tenggara (South-East). Ada sebuah bintang yang cerah di sana. Itulah bintang Canopus, bintang kedua tercerah di langit. Jangan keliru pula dengan bintang Sirius, yang berada lebih ke kiri dan lebih hampir dengan Orion.

Pandangan arah tenggara sekitar waktu Isya. Simulasi SkySafari

Bintang Canopus ini merupakan sebenarnya jauh lebih bertenaga dan bersinar lebih terang dari Sirius. Cumanya, kedudukan Sirius lebih hampir dengan Bumi menyebabkan ia kelihatan paling cerah.

Ngelat la Sirius ni!!

Khamis, 13 Januari

Maghrib – Planet Zuhal akan melintasi 3 darjah sahaja daripada Utarid. Boleh dilihat tetapi amat rendah di ufuk barat. Kena cepat-cepat cari sebaik sahaja Matahari terbenam.

Medan pandangan 3 darjah ini agak luas dan tidak mungkin dapat dimuatkan di dalam pandangan sebuah teleskop. Alat yang paling baik ialah sebuah binokular!

Pandangan arah barat sekitar 45 minit selepas Maghrib. Simulasi SkySafari

Bulan pada malam ini akan berada di antara 2 buah gugusan bintang popular iaitu Seven Sisters dan Hyades, di dalam buruj Taurus. Cuba rakam gambar ketika-tiga objek ini di dalam frame dan tetapan kamera paling optimum. Ia mungkin agak mencabar kerana Bulan terang benderang tetapi cahaya bintang dari dua buah gugusan ini sukar nak menandinginya.

Simulasi SkySafari

Jumaat, 14 Januari

Bulan berada di posisi apogee, iaitu paling jauh dari Bumi pada jarak 405804 km. Momen ini berlaku 3 hari 14 jam sebelum masuk fasa Bulan Penuh.


Dapatkan maklumat lanjut mengenai fenomena sepanjang tahun 2022 menerusi ALMANAK ASTRONOMI 2022

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments