Jom teropong langit minggu ini (22-28 Januari 2022)

Fenomena

Momen menarik minggu ini ialah apabila planet Marikh mula mendekati kawasan persekitaran Nebula Lagoon dan Nebula Trifid. Kemuncaknya ialah pada Subuh, 26 Januari nanti.

Sabtu, 22 Januari

Maghrib – Planet Musytari ialah satu-satunya planet cerah yang dapat dilihat denga mata kasar selepas Matahari terbenam minggu ini. Ia masih kelihatan besar dan menarik di dalam teropong. Namun, secara amnya, peluang kita untuk mengamati perubahan dan pergerakan bulan-bulan planet ini semakin suntuk.

Pemandangan arah barat sekitar 30 minit selepas Maghrib.

Ahad, 23 Januari

Maghrib-Isya’ – Halakan binokular anda ke arah bintang Sirius. Bintang ini ialah objek tercerah di sebelah langit timur sekitar waktu ini. Kemudian pandang ke arah jarum jam 4 dari bintang ini. Kita akan ternampak sekumpulan bintang-bintang halus yang terkumpul. Itulah gugusan bintang, M41.

Menurut rekod sejarah, M41 mungkin pernah dilihat oleh ahli astronomi Aristotle pada tahun 325 SM. Namun ada perdebatan samada Aristotle tahu atau tidak jenis objek yang dilihatnya itu. Ini adalah kerana dengan mata kasar, beliau mungkin menyangkakan M41 sekadar sebahagian tompokan daripada Bima Sakti.

Gugusan ini lebih cantik untuk diamati menggunakan binokular berbanding teleskop kerana saiznya agak besar dan terserak.

Isnin, 24 Januari

Maghrib-Isya’ – Malam ini kita kembali perhatikan ke arah buruj Orion yang sedang tinggi di atas kepala. Cuba lihat bintang merah, Betelgeuse, yang berada di sebelah penjuru kiri bawah.

Jika anda masih ingat lebih kurang 2 tahun lepas, kecerahan bintang ini tiba-tiba menjadi sedikit malap. Ketika itu ramai teruja dan menjangkakan bintang ini sedang mengalami fasa terakhir kehidupannya dan akan meletup menjadi supernova.

Namun, selepas itu di dapati kembali cerah seperti normal. Walaupun ada kalanya kecerahannya naik turun sedikit, tetapi secara amnya ia kembali seperti biasa. Saintis masih belum dapat kepastian apa sebenarnya yang berlaku dengan bintang ini. Teori yang terkuat ialah ia mungkin melepaskan sebahagian daripada lapisan gasnya keluar, lalu gas-gas ini menyejuk dan menghalang sebahagian cahaya bintang ini menyebabkan ia nampak seperti kelam sedikit.

Selasa, 25 Januari

Subuh – Bulan memasuki fasa Bulan Sukuan Akhir pada jam 9:42 AM.

Jangan lupa juga jenguk tanya khabar kepada planet Zuhrah (Venus), sebabnya planet ini sudah senang dapat dilihat rendah di ufuk timur selepas Subuh!. Ia senang nak kenal kerana ia satu-satunya objek yang amat cerah tetapi rendah di kaki langit timur! Kedudukan planet ini akan semakin tinggi dari hari ke hari!

Kedudukan planet Zuhrah sekitar jam 6 pagi.

Rabu, 26 Januari

Subuh – Momen menarik pagi ini ialah planet Marikh akan menyelit di antara Nebula Lagoon dan Nebula Trifid di dalam buruj Sagittarius! Ia sebenarnya lebih dekat ke arah Nebula Lagoon berbanding Trifid, dan jika anda merakamnya menerusi kamera, ia seperti berada betul-betul di sempadan luar gas-gas nebula tersebut. Peluang astrofotografi yang menarik!

Selain itu, Marikh juga mula masuk ke dalam lingkungan 5 darjah dari kluster bintang M28 yang berada di sebelah bawahnya. Planet ini akan berada 1 darjah sahaja dari gugusan ini pada 2 Februari nanti!

Semua ini berada rendah di ufuk sebelah timur.

Khamis, 27 Januari

Maghrib-Isya’ – Jika anda menghalakan teleskop ke arah planet Musytari, kita akan nampak deretan 4 buah bulannya, yang berada di kiri dan kanan planet tersebut. Namun dalam sehari dua ini, kelihatan seolah-olah ada ‘bulan ekstra’ di sebelah penjuru kiri bawah planet ini!

Itu sebenarnya ialah bintang Sigma Aquarii, sebuah bintang biru-putih yang terletak 290 tahun cahaya daripada kita. Kebetulan pula kecerahannya yang kita lihat nampak lebih kurang sama seperti bulan-bulan Musytari, menyebabkan kita mungkin mudah terkeliru!

Jumaat, 28 Januari

3:30 AM – Bintang Antares berada 3º-4º dari Bulan. Kelihatan dari jam 3:30 AM hingga selepas Subuh. Peluang untuk kenal bintang Antares berbanding dengan planet Marikh! Kadang-kadang ramai yang boleh terkeliru dengan kedua-dua objek ini kerana maklumlah berwarna merah!

Marikh masih berada berhampiran dengan Nebula Lagoon. Masih cantik untuk dirakam.

5 1 vote
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments