Jom teropong langit minggu ini (29 Jan – 4 Feb 2022)

Fenomena

Bulan Rejab menanti kita, Marikh beralih fokus kepada gugusan bintang M28. Musytari tinggal keseorangan, cian…

Sabtu, 29 Januari

Subuh – Marikh berada 10º dari Bulan. Boleh dilihat bermula dari 5:30 AM. Planet ini akan kelihatan seperti ‘bintang’ sederhana terang ke arah bawah Bulan di langit sebelah timur. Kebetulan juga Bulan berada betul-betul di bahagian pusat Bima Sakti, yang terletak di antara buruj Scorpio dan Sagittarius. Namun Bima Sakti masih terlalu untuk untuk kelihatan gah. Kena tunggu sebulan dua lagi baru best.

Arah timur sekitar waktu Subuh.

Ahad, 30 Januari

Subuh – Bulan bergerak ke bawah dan berada 10º dari planet Zuhrah. Planet ini merupakan ‘bintang terang’ yang sudah boleh dilihat selepas Subuh pada waktu ini. Sementara itu, Marikh pula akan berada 6º di sebelah atas Bulan. Ketiga-tiga objek sistem suria ini membentuk satu segi tiga yang cantik.

Arah timur sekitar waktu Subuh.

Menerusi teleskop anda akan dapat lihat Marikh sudah mula masuk ke dalam kawasan lingkungan 5 darjah dari kluster bintang M22. Dalam masa seminggu nanti, planet Marikh akan berada amat-amat hampir dengan gugusan bintang ini!

Kedudukan Marikh dengan objek-objek Deep Sky di sekitar buruj Sagittarius pada 30 Januari 2022.

3:10 PM – Bulan berada di posisi perigee pada jarak 362249 km. Momen ini berlaku 1 hari 22 jam sebelum masukknya fasa Bulan Baru.

Isnin, 31 Januari

Subuh – Pada lewat Subuh hari ini, planet Utarid berada 8º dari Bulan. Namun, kedudukannya yang amat rendah di ufuk timur dan suasana langit yang semakin terang, menyebabkan fenomena ini agak mencabar untuk dicerap. Anda perlukan kawasan ufuk timur yang lapang dan tiada halangan.

Kedudukan Bulan dan planet Utarid rendah di ufuk sekitar 25 minit selepas Subuh

Selasa, 1 Februari

1:46 PM – Bulan memasuki fasa Bulan Baru pada jam 1:46 PM.

Maghrib – Planet Musytari semakin rendah di langit barat. Menjelang Isya’ ia sudah pun turun sehingga 6 darjah sahaja di atas ufuk. Ini merupakan bulan terakhir kita dapat mencerap planet gergasi ini sebelum ia hilang dari pandangan.

Musytari di ufuk barat selepas Maghrib.

Rabu, 2 Februari

Subuh – Marikh berada paling hampir dengan kluster bintang M28 iaitu 1 darjah sahaja. Gugusan bintang M28 ialah sebuah gugusan bintang glob yang ditemui pada tahun 1764 oleh William Herschel. Ia kelihatan agak kecil berbanding dengan gugusan bintang lain. Jaraknya dari Bumi ialah 18,000 tahun cahaya dan mempunyai saiz diameter 60 tahun cahaya!

Marikh dan gugusan bintang M28 menerusi lensa kamera 400mm

Pada waktu ini juga, planet Marikh sudah mula keluar dari lingkungan 5 darjah dari kepulan Nebula Lagoon dan Nebula Trifid.

Maghrib – Perhatikan kehadiran Bulan sabit yang halus di ufuk barat, menandakan masuknnya 1 Rejab! Dah tinggal 2 bulan je sebelum masuk Ramadan!! MasyaAllah!

Arah barat selepas Maghrib

Khamis, 3 Februari

Subuh – Planet Marikh berada di antara gugusan bintang M28 dan M22. Kalau ada kamera dan lens sekitar 50mm pun dah cukup untuk merakam deretan 3 objek ini!

Maghrib – Musytari berada 8º di sebelah bawah Bulan. Boleh dilihat dari Maghrib hingga jam 8:30 PM. Waktu sebegini amat menarik untuk kita perhatikan kehadiran fenomena Earthshine di permukaan Bulan!

Jumaat, 4 Februari

Isya’ – Sekitar waktu ini halakan badan anda ke arah utara dan pandanglah tegak di atas kepala . 2 buah gugusan popular iaitu Seven Sisters (Pleiades) dan Hyades berada pada poin tertinggi. Jangan lupa juga cari bintang merah Aldebaran yang berada di dalam kawasan gugusan Hyades.

Seeloknya, gunalah binokular kerana medan pandangan menerusi sebuah binokular akan memberi pemandangan yang indah terhadap 2 buah gugusan ini, berbanding teleskop.

Panduan am

  • Guna apps seperti SkySafari atau Stellarium untuk kenalpasti kedudukan objek-objek ini dengan lebih mudah.
  • Tangkap layar di dalam artikel ini adalah dari perisian Sky Safari Pro 6.
  • Biasakan diri anda dengan arah mata angin (barat, timur dan lain-lain).
  • Melainkan disuruh guna alat cerapan, semua fenomena di atas boleh dilihat dengan mata kasar.
  • Kedudukan planet-planet tidak banyak berubah dari hari ke hari. Kalau pagi ni ‘dia kat situ’, esok lusa pun masih ‘di situ’. Hanya Bulan je cepat bergerak.
0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments