Gerhana Bulan Penuh 8 Nov 2022

Blog Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban

Pada Maghrib, 8 Nov 2022, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh. Kejadian ini akan berlaku ketika Bulan sedang terbit di ufuk timur pada waktu Maghrib dan tamat selepas waktu Isya’.

Gerhana Bulan Penuh yang dirakam pada 2018.

Apa itu gerhana bulan?

Gerhana Bulan Penuh berlaku apabila orbit Bulan melintasi masuk ke dalam bayang-bayang Bumi yang dipanggil umbra. Di dalam keadaan ini, Bumi akan berada di antara Bulan dan Matahari di dalam kedudukan tepat sebaris.

Jika sebahagian Bulan masih berada di dalam kawasan umbra, ia dipanggil fasa Gerhana Bulan Separa.

Jika sebahagian atau keseluruhan Bulan berada di dalam kawasan penumbra, ia dipanggil fasa Gerhana Bulan Penumbra. Namun dalam kes ini, kesan gelap tidak ketara dan amat susah untuk dicam dengan mata kasar.

Kredit Skyandtelescope

Apakah perubahan yang akan berlaku terhadap bulan ketika gerhana?

Ketika Bulan berada di dalam bayang-bayang umbra, sebahagian daripada permukaan Bulan purnama akan menjadi gelap. Apabila keseluruhan Bulan berada di dalam umbra, warnanya akan menjadi merah pekat.

Warna kemerahan ini adalah disebabkan cahaya Matahari terbias apabila masuk ke bahagian atmosfera Bumi. Jika kita berada di Bulan ketika itu, kita akan nampak cahaya kemerahan biasa Matahari membentuk bulatan mengelilingi Bumi.

Adakah gerhana ini boleh dilihat dengan mata kasar?

Gerhana Bulan merupakan fenomena yang berlaku pada waktu malam dan boleh dilihat dengan mata kasar. Ia juga amat sesuai dicerap menggunakan teleskop atau binokular.

Selain itu, fenomena ini mudah dirakam menggunakan kamera, samada jenis DSLR mahupun kamera telefon bimbit.

Fasa-fasa Gerhana Bulan Penuh

Berikut merupakan waktu-waktu penting fasa gerhana yang akan berlaku nanti. Waktu yang dipaparkan ialah dalam waktu Malaysia (GMT+8)

  • Fasa Gerhana Penumbra bermula (Bulan mula masuk ke dalam penumbra) – 4:02 pm MYT
  • Fasa Gerhana Separa bermula (Bulan mula masuk ke dalam umbra) – 5:09 pm MYT
  • Fasa Gerhana Penuh bermula (Keseluruhan Bulan berada di dalam umbra) – 6:16 pm MYT
  • Fasa Kemuncak Gerhana Penuh – 6:59 pm MYT
  • Fasa Gerhana Penuh tamat (Sebahagian Bulan mula keluar dari umbra) – 7:41 pm MYT
  • Fasa Gerhana Separa tamat (Keseluruhan Bulan keluar dari umbra) – 8:49 pm MYT
  • Fasa Gerhana Penumbra tamat – 9:56 pm MYT 

Durasi keseluruhan Gerhana Penuh: 85 minit.

Adakah seluruh Malaysia akan dapat menyaksikan fenomena ini?

Kali ini sekali lagi kita di Malaysia hanya dapat lihat sebahagian sahaja daripada fasa-fasa gerhana bulan di atas. Namun, rakan-rakan pencerap di Sabah adalah yang paling bernasib baik.

Di Kota Kinabalu, Bulan akan terbit dalam fasa gerhana separa dan masih belum lagi masuk ke fasa gerhana penuh. Maka itu, anda dapat menyaksikan keseluruhan fasa gerhana penuh dari awal hingga akhir.

Di Kota Kinabalu, Bulan masih dalam fasa gerhana separa ketika terbit

Di Bintulu, Bulan tinggal sikit sahaja lagi nak masuk ke dalam fasa gerhana penuh. Masih boleh nampak sedikit bahagian Bulan yang cerah.

Keadaan Bulan terbit di Bintulu.

Di Kuching, Bulan sudah pun masuk ke dalam fasa Gerhana Penuh, dan terbit dalam keadaan waran kemerahan pekat.

Keadaan Bulan di Kuching ketika terbit.

Di Kuala Lumpur, Bulan berada di kemuncak fasa gerhana penuh, dan akan kelihatan terbit dalam warna yang paling merah dan paling gelap.

Suasana Bulan terbit di Kuala Lumpur.

Bagi lokasi-lokasi lain di Semenanjung Malaysia, ia akan nampak lebih kurang sama seperti di Kuala Lumpur.

Bagi di Sarawak dan Sabah, disebabkan banyak bezanya longlitud antara satu bandar besar ke bandar lain, akan ada sedikit nampak perbezaan daripada segi rupa bentuk gerhana ketika Bulan sedang terbit.

Guna apps

Anda boleh dapatkan waktu dan suasana gerhana Bulan dari lokasi masing-masing dengan menggunakan aplikasi seperti Stellarium, SkySafari dan seumpamanya.

Ada Uranus!

Jika anda perhatikan juga di dalam rajah-rajah di atas, ada ditandakan planet Uranus berhampiran dengan Bulan.

Ini bermaksud Bulan akan melintasi hampir dengan planet Uranus sepanjang fasa gerhana itu nanti. Malangnya planet ini agak kelam dan tak dapat dilihat dengan mudah dengan mata. Sebaiknya guna teleskop untuk cuba mencari planet ini.

Panduan mencari Uranus ini akan saya terangkan dalam artikel lain.

Selamat mencerap!

5 1 vote
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments