Marikh kembali menyinari langit malam dan pada Khamis, 8 Disember ini ia akan berada bersetentang dengan Matahari.
Fenomena bersetentang atau juga dikenali sebagai istiqbal atau oposisi ini merupakan waktu yang paling optimum untuk meneropong planet-planet utama seperti Marikh, Musytari dan Zuhal.
Pada waktu ini, planet-planet atau apa-apa objek yang berada di dalam orbit lebih jauh dari Bumi, akan berada pada kedudukan tepat bersetentang dengan Matahari.
Dalam erti kata mudah, planet-planet ini akan terbit di timur sebaik sahaja Matahari terbenam di barat, dan dapat dilihat sepanjang malam sehinggalah ke waktu Matahari terbit keesokan harinya.
Pada 1 Disember lepas, Marikh berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi. Pada 8 Disember ini pula barulah ia berada bersetentang dengan Matahari.
Pada ketika ini, keseluruhan cakera planet Marikh akan disinari oleh cahaya Matahari. Umpama seperti Bulan Purnama.
Selalunya minggu-minggu sebelum dan selepas tarikh oposisi ini, ramai peminat astronomi akan mengambil peluang meneropong dan meneliti perubahan yang berlaku terhadap planet ini. Perubahan yang paling jelas ialah saiznya yang semakin membesar (kerana Bumi semakin menghampiri planet ini).
Marikh ialah sebuah planet yang kecil. Hanya ketika disekitar tarikh oposisi ini sahajalah peluang untuk melihat permukaan planet ini dengan jelas.
Di sepanjang laluan orbit di sekeliling Matahari, Bumi akan ‘memotong’ atau melintas planet ini setiap 26 bulan. Ketika inilah saat Bumi paling dekat dengan planet merah ini dan berada bersetentang dengan Matahari dan berada paling dekat.
Astronomical Society of Penang ada menyediakan sebuah simulasi menarik yang menunjukkan kedudukan oposisi planet Marikh bermula dari tahun 2018 hingga 2035. Lihat di bawah.
Namun jarak ‘terdekat’ berbeza dari tahun ke tahun. Ini adalah kerana orbit Bumi dan Marikh tidak sempurna bulat dan berbentuk elips. Maka, ada ketikanya oposisi Marikh berada amat dekat, seperti tahun 2003 di mana jarak Bumi dan Marikh hanya 55.76 juta km. Jika dibandingkan tahun 2022 ini, kedua-dua planet ini berada pada jarak 81.4 juta km.
Kesan perbezaan jarak ini ialah ada ketikanya planet Marikh kelihatan amat besar (menerusi teleskop) dan terang benderang (menerusi mata), dan ada ketikanya ia nampak seperti sederhana besar sahaja (walaupun masih terang menyerlah di langit).
Di manakah kedudukan Marikh sekarang?
Tahun 2022 ini, planet Marikh akan berada di dalam kawasan buruj Taurus, berhampiran dengan buruj Orion.
Jika anda bernasib baik dan dapat melihat planet ini sejak beberapa bulan lepas, anda akan dapat lihat sebutir ‘bintang’ merah yang semakin terang dari hari ke hari, dan kini ia lebih terang dari bintang tercerah di langit (Sirius)!
Planet Marikh akan mula kelihatan dengan mudah seperti bintang merah yang amat terang sekitar waktu Isya di sebelah langit timur.
Menjelang tengah malam, planet ini akan berada tegak di atas kepala.
Pada waktu Subuh, ia mula rendah dan terbenam di sebelah barat.
Menerusi mata kasar, planet Marikh akan kelihatan seperti sebutir bintang merah yang terang. Anda perlu melihat menerusi teleskop barulah dapat mengamati permukaan planet ini dengan lebih jelas.
Tahun 2022 ini ditakdirkan cuaca dan langit waktu malam di sekitar Kuala Lumpur, berawan hampir setiap malam. Saya langsung tidak berkesempatan untuk merakam keadaan semasa planet Marikh ini seperti mana yang berjaya dibuat dalam tahun-tahun sebelum ini.
Apa pun, jangan risau. Jika anda ‘terlepas’ tarikh 8 Disember ini, planet merah ini MASIH ada di langit . Jangan terkeliru dengan viral atau video yang asyik mempromosikan tarikh 8 Disember sahaja kerana planet ini masih boleh dapat dilihat berbulan-bulan yang mendatang.