
Pada sekitar waktu tengah hari 20 April 2023 nanti, penduduk Malaysia dan sebahagian besar Asia Tenggara akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa.
Kali terakhir gerhana matahari lalu di tanah air ialah pada 21 Jun 2020 lepas.
Gerhana kali ini sebenarnya ialah Gerhana Matahari Hibrid. Bayang-bayang Bulan yang menutupi Matahari di sepanjang laluan tengah (Center line) gerhana ini akan berubah dari Gerhana Cincin menjadi Gerhana Penuh dan kemudian berakhir dengan Gerhana Cincin.
Kawasan di mana berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Hibrid ini ialah Australia, Timor Leste dan Indonesia (Papua dan Papua Barat)
Kita di Malaysia, berada di luar kawasan laluan tengah ini. Maka itu, bentuk gerhana yang akan dapat dilihat dari sini ialah gerhana matahari separa sahaja. Negara lain yang akan menyaksikan suasana serupa dengan kita ialah sebahagian besar Asia Tenggara, Australia dan New Zealand.
Artikel ini akan menumpukan kepada apa yang akan dapat dilihat dari Malaysia.
Peratusan gerhana
Secara amnya, semakin hampir lokasi cerapan kita ke garisan tengah, semakin awal fasa gerhana akan bermula dan juga semakin banyak piring Matahari yang akan ditutupi oleh Bulan.
Bandar besar yang paling bernasib baik ialah Semporna, Sabah, di mana Matahari akan ditutup sebanyak 44%. Sementara lokasi yang paling singkat dan sedikit gerhananya ialah di utara Pulau Langkawi, iaitu sekitar 1.5% sahaja!
Waktu mula, puncak dan tamat gerhana
Waktu mula, kemuncak dan tamat gerhana matahari separa ini akan ada sedikit perbezaan dari satu tempat ke tempat lain.
Secara kasarnya, di Semenanjung Malaysia, waktu kemuncak akan berlaku sekitar jam 11:55 am atau hampir tengah hari. Manakala di Sabah ia akan berlaku sekita jam 12:30 pm. Waktu mula dan akhir akan bermula sekitar 30 minit hingga 1 jam 30 minit, sebelum dan selepas waktu kemuncak (bergantung kepada lokasi).
Di bawah ialah senarai waktu-waktu tersebut bagi bandar-bandar pilihan di seluruh Malaysia, bermula dari paling barat ke paling timur (mengikut garisan longitud).
(Kiraan dibuat menggunakan perisian Occult 4.0)
Bandar | Mula | Kemuncak | Tamat | Peratus Gerhana |
Kuah | 11:27:29 | 11:58:17 | 12:30:00 | 2% |
Kangar | 11:26:57 | 11:59:13 | 12:32:27 | 2% |
George Town | 11:19:54 | 11:57:17 | 12:36:01 | 3% |
Alor Setar | 11:24:17 | 11:58:52 | 12:34:35 | 3% |
Ipoh | 11:13:31 | 11:56:59 | 12:42:14 | 5% |
Shah Alam | 11:05:03 | 11:54:35 | 12:46:29 | 8% |
Kuala Lumpur | 11:05:06 | 11:55:04 | 12:47:24 | 8% |
Seremban | 11:02:53 | 11:54:39 | 12:48:58 | 10% |
Melaka | 11:00:07 | 11:54:06 | 12:50:52 | 11% |
Kota Bharu | 11:19:26 | 12:02:29 | 12:47:06 | 5% |
Kuala Terengganu | 11:13:43 | 12:02:29 | 12:53:14 | 8% |
Kuantan | 11:06:16 | 11:59:38 | 12:55:27 | 10% |
Johor Bahru | 10:55:55 | 11:55:28 | 12:58:13 | 15% |
Kuching | 10:54:27 | 12:08:24 | 13:25:32 | 30% |
Sibu | 10:57:11 | 12:12:53 | 13:31:21 | 32% |
Bintulu | 11:00:29 | 12:17:10 | 13:36:12 | 33% |
Miri | 11:04:57 | 12:21:39 | 13:40:13 | 33% |
Labuan | 11:08:24 | 12:25:58 | 13:44:55 | 34% |
Kota Kinabalu | 11:11:07 | 12:29:06 | 13:48:04 | 34% |
Kudat | 11:14:34 | 12:32:29 | 13:51:00 | 34% |
Tawau | 11:06:21 | 12:29:08 | 13:52:42 | 42% |
Sandakan | 11:11:42 | 12:32:53 | 13:54:28 | 39% |
Semporna | 11:07:37 | 12:31:05 | 13:55:01 | 44% |


Di bawah merupakan animasi yang disediakan oleh Michael Zeiler GreatAmericanEclipse.com dan Fred Espenak EclipseWise.com yang menunjukkan pergerakan bayang-bayang Bulan disepanjang laluan gerhana kali ini.

Cara melihat gerhana matahari separa
Gerhana kali ini hanyalah gerhana separa. Ini bermakna cakera Matahari masih kelihatan dan amat berbahaya untuk dilihat secara terus dengan mata. Silap haribulan anda boleh mengalami kecacatan KEKAL di mata, malah boleh BUTA!
Maka, berhati-hatilah ketika mencerap nanti!
Berikut antara kaedah mencerap yang disarankan.
- Cermin mata matahari
Cermin Mata Matahari ialah sejenis penapis khas yang membolehkan kita melihat ke arah Matahari dengan selamat. Penapisnya berwarna hitam (black polymer) dan silver (baader). Ia selalunya sudah siap dipasang pada rangka berbentuk cermin mata yang diperbuat daripada kertas.
Jika anda sudah memiliki satu unit ketika gerhana matahari yang lepas-lepas, ia masih boleh digunakan.. dengan syarat ia tidak terkoyak atau berlubang!
2. Kaedah kamera lubang pin.
Kaedah ini paling selamat kerana ia hanya membenarkan cahaya Matahari yang sedikit masuk ke dalam lubang pin yang kecil. Imej yang terhasil itu tidak berbahaya dan selamat untuk dilihat.

3. Kamera (yang dipasang penapis!)
Jika anda mempunyai kamera DSLR, ia boleh dijadikan sebagai satu cara melihat gerhana ini, dengan syarat pastikan anda letakkan penapis Matahari tadi (black polymer atau baader) di bahagian hadapan lens!
Jika tidak.. cip kamera anda akan terbakar!

Sila rujuk beberapa siri video berguna mengenai cara mencerap gerhana matahari dengan selamat di dalam artikel Cara paling selamat mencerap Gerhana Matahari
4. Teleskop (yang dipasang penapis!)
Jika anda mempunyai teleskop, WAJIB guna penapis Matahari berjenis Baader atau Mylar seperti di atas! Anda perlu pastikan penapis ini diletakkan dengan sempurna di bahagian HADAPAN teleskop (BUKAN pada eyepiece!).

5. Welding shield
Di dalam keadaan yang mana anda MUNGKIN ada welding shield di rumah tu, ia juga boleh digunakan untuk melihat gerhana ini. Namun hanya welding shield yang mempunyai nilai shade 14 sahaja yang selamat digunakan! Rujuk https://phillips-safety.com/safety-glasses/solar-eclipse-safety-what-shade-should-your-welding-mask-be/

Cara yang salah mencerap gerhana Matahari!
Awas. Berikut adalah cara yang SALAH dan amat berbahaya untuk mencerap gerhana nanti. Tolong jangan buat!
- Filem X-Ray (hitam putih)
- Filem warna
- Cermin Mata Hitam seperti rayband
- Kaca yang digelapkan dengan asap
- Air dalam baldi
Tolong ye.. walaupun ‘kita rasa’ ia selamat, tetapi hakikatnya, cahaya UV Matahari yang berbahaya tu sedang ‘membakar’ retina mata kita secara senyap-senyap!
Selamat mencerap semua! Saya akan bersiaran Live bersama Page FB Planetarium Negara nanti, InsyaAllah.