Pada lewat tengah malam 6 Mei 2023 nanti, fenomena Gerhana Bulan Penumbra akan berlaku. Seluruh Malaysia dan Asia Tenggara, Australia, New Zealand dan sebahagian besar Asia berpeluang menyaksikan fenomena ini.
Gerhana Bulan Penumbra ialah fenomena di mana Bulan bergerak masuk ke dalam kawasan bayang-bayang penumbra Bumi. Bayang-bayang penumbra ialah sempadan luar bayang-bayang Bumi dan ia tidak gelap seperti kawasan bayang-bayang umbra.
Bahagian umbra ialah bahagian paling dalam dan paling gelap. Di sini hampir keseluruhan cahaya Matahari akan terlindung (kecuali sebahagian kecil cahaya yang akan terlepas akibat biasan atmosfera Bumi).
Secara amnya, shading di kawasan penumbra ini amat susah untuk dilihat dan hampir mustahil untuk dikesan dengan mata kasar. Hanya dengan merakam menggunakan kamera dan melakukan pebandingan di antara gambar sebelum, ketika dan selepas gerhana barulah kita akan dapat lihat sedikit kesan gelapnya.
Di bawah merupakan simulasi pergerakan Bulan bergerak merentasi di dalam kawasan penumbra pada lewat tengah malam 6 Mei 2023 nanti.
Di bawah ialah rajah standard gerhana dari laman web Eclipsewise.com
Menurut catatan oleh Fred Espenak, nilai magnitud penumbra kali ini ialah 0.96551. Dalam erti kata lain, Bulan amat hampir dengan sempadan bayang-bayang umbra.
Dijangkakan, kita mungkin akan dapat melihat sedikit shading gelap di sisi utara cakera Bulan. Ia akan lebih jelas jika dirakam menerusi kamera dan diproses sedikit menggunakan aplikasi grafik.
Waktu Gerhana
Bulan akan mula masuk ke sempadan bayang-bayang penumbra pada 11:13 PM MYT (5 Mei). Pada waktu ini adalah mustahil untuk kita dapat bezakan sempadan bayang-bayang penumbra ini kerana bayang-bayang ini amat pudar.
Kemuncak gerhana penumbra ialah pada pukul 1:22 AM MYT (6 Mei). Saya jangkakan kita akan mungkin dapat lihat kawasan sisi utara Bulan ‘sedikit’ gelap berbanding kawasan lain. Tapi saya tak berani jamin kerana kenampakan kawasan shading gelap ini dikatakan amat sukar untuk dikesan dengan mata.
Namun, jika anda menggunakan kamera, kesan gelap ini mungkin lebih jelas apabila diproses menggunakan aplikasi kamera.
Selepas waktu kemuncak tadi, Bulan akan mula keluar bergerak keluar daripada kawasan bayang-bayang penumbra dan keseluruhan Bulan akan kembali ‘normal’ pada pada 3:31 AM MYT.
Adakah perlu Solat Khusuf untuk gerhana kali ini?
Menurut pertanyaan saya bersama guru Falak Al-Fadhil Ustaz Faizal dari Unit Falak Jabatan Mufti Negeri Perak, adalah tidak disunatkan untuk solat khusuf qamar jika Bulan berada di dalam fasa penumbra, yakni Bulan masih berada di dalam kawasan bayang-bayang penumbra.
Pensyarah UMP, Dr. Ahmad Irfan juga ada pernah menulis di dalam blog beliau mengenai keperluan solat khusuf qamar dalam fasa penumbra. Merujuk kepada tulisan beliau,
Menurut panduan ḥadīth, solat khusūf adalah disunatkan kepada penduduk sesebuah negeri yang dapat menyaksikan gerhana bulan penuh dan separa sahaja
Beliau yang juga AJK Falak Pahang menambah…
Ini adalah berdasarkan ḥadīth yang menyatakan ‘illah solat tersebut, iaitu berlakunya rukyah. Dalam ḥadīth yang dikeluarkan oleh al-Imām al-Bukhārī, nabi Muḥammad SAW bersabda:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا، وَادْعُوا، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ ”.
… Sesungguhnya matahari dan bulan tidak gerhana dengan sebab kematian salah seorang dalam kalangan kamu. Sekiranya kamu melihat (merukyah) kedua-duanya (gerhana bulan atau matahari), solatlah kamu, dan berdoalah kamu, sehingga terdedah semula langit seperti sebelumnya (tamat gerhana). (Ṣaḥīḥ al-Bukhārī: 1040)
https://abidfana.com/2017/07/31/sunatkah-solat-khusuf-semasa-gerhana-bulan-separa-8-ogos-2017/
Kajian lanjutan
Di dalam kes lain, adalah digalakkan untuk peminat astronomi terus cuba lakukan cerapan gerhana kali ini bagi mendapatkan sejauh mana kemampuan mata manusia dapat melihat ‘kesan’ sempadan gelap umbra yang ‘mungkin’ dapat dilihat di sudut sebelah ‘atas’ Bulan.
Kiraan simulasi Sky Safari menunjukkan ketika fenomena ini berlaku, Bulan berada di dalam buruj Libra, iaitu di langit sebelah selatan. Maka bagi kita di Malaysia, ketika waktu puncak gerhana, Bulan berada hampir tegak di arah sebelah selatan.
Selamat cuba mencerap.