Zuhal kini mempunyai 145 buah bulan!

Berita Penemuan Terkini Sistem Solar

Raja segala bulan! Planet Zuhral sekali lagi telah merampas takhta planet yang dikelilingi oleh paling banyak bulan daripada abang besar dia, Musytari.

Ahli astronomi telah berjaya menjejak 62 buah bulan baru yang mengorbit planet Zuhal. Dicampurkan dengan jumlah bulan yang sedia ada, iaitu 83 bulan, kini planet Zuhal secara rasminya mempunyai 145 buah bulan!

Tu dia….!!! 145 buah bulan!

Ini menjadikan Zuhal, satu-satunya planet di dalam sistem suria yang dikelilingi oleh lebih daripada 100 buah bulan atau satelit semulajadi.

Penemuan itu berjaya dibuat oleh pasukan astronom, yang diketuai oleh Edward Ashton di Academia Sinicia Institute of Astronomy and Astrophysics.

Teknik yang digunakan oleh pasukan beliau dikenali sebagai ‘shift dan stack’, di mana gambar-gambar digerakkan sedikit dan ditindihkan mengikut arah pergerakan sesebuah bulan yang sedang bergerak di keliling orbit planet Zuhal. Hasil gambar-gambar yang ditindih dengan banyaknya ini akan dapat mengesan bulan-bulan yang amat kecil dan kelam.

Teknik seumpama ini telah dilakukan untuk mengesan bulan-bulan baru di planet Uranus dan Neptune, namun inilah kali pertama ia dilakukan ke atas planet Zuhal.

Gambar-gambar yang digunakan tadi merupakan gambar yang dirakam di antara tahun 2019 dan 2021 menerusi Canada-France-Hawaii Telescope (CFHT) di Maunakea, Hawaii. Kaedah yang dilakukan di sini membolehkan ahli astronom menjejak bulan-bulan sekecil diameter 2.5 km sahaja!

Foto star trails yang dirakam bersama-sama kubah teleskop CFHT di Maunakea, Hawaii.

Proses untuk mengenalpasti bulan-bulan ini mengambil masa 24 bulan lamanya. Ahli astronom kena pastikan objek baru yang dikesan itu bukannya asteroid yang kebetulan lalu di dalam frame gambar planet Zuhal yang sedang dirakam.

Bulan-bulan irregular.

Bulan-bulan baru ini dikategorikan sebagai bulan-bulan irregular. Bulan jenis ini dipercayai terperangkap di dalam graviti planet Zuhal lalu mengorbitnya seperti bulan ‘biasa’. Namun laluan orbit bulan-bulan jenis ini lebih besar, berbentuk eliptikal dan satah orbitnya lebih senget berbanding bulan-bulan ‘biasa’ yang lain.

Orbit bulan-bulan irregular planet Zuhal yang ditemui sehingga 1 Januari 2021. Orbit berwarna biru menunjukkan pergerakan prograde manakala yang merah menunjukkan pergerakan retograde.

Sebagai rekod, Musytari mempunyai 92 buah bulan dan tidak mustahil akan ditemui bulan-bulan baru yang lebih kecil mengelilingi planet gergasi ini.

Perlumbaan ‘raja bulan’ ini bakal menjadi lebih sengit selepas ini!

5 1 vote
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments