Zuhrah mendominasi langit Maghrib sekarang!

Fenomena Log Cerapan

Planet paling terang di langit, Zuhrah, ketika ini sedang bersinar terang di ufuk sebelah barat dan boleh kelihatan selepas Maghrib.

Zuhrah dirakam menerusi iphone pada 8 Mei 2023.

Sekali imbas planet ini kelihatan seperti sebutir bintang yang amat terang. Ramai juga yang terkeliru dan menganggapnya kapal terbang ataupun satelit!

Bersinar pada kecerahan magnitud -4.2, planet Zuhrah ialah objek ketiga paling cerah di langit selepas Matahari dan Bulan. Saya pernah terbaca di dalam sebuah buku yang mengatakan kecerahan Zuhrah ini mampu menghasilkan bayang-bayang! Buat masa ini saya belum berpeluang menguji kenyataan ini kerana perlu mencari kawasan yang betul-betul gelap tanpa ada sumber cahaya lain!

Menerusi teleskop, Zuhrah akan kelihatan seperti fasa bulan yang dah masuk 9 atau 10 hb hijri, bentuk separuhnya gemuk sedikit. Saiznya sekarang 18.2 arc minit, boleh dikatakan agak besar untuk kita dapat melihat bentuknya menerusi teleskop berkuasa sederhana.

Pada 7 Jun 2023 nanti, planet ini akan berada pada kedudukan paling tinggi di ufuk barat. Selepas tarikh tersebut, ia akan mula semakin rendah setiap hari. Namun ketika inilah ia menjadi semakin menarik.

Bentuk fasa Zuhrah akan semakin mengecil dan membentuk seperti bulan sabit. Saiznya pula semakin besar kerana ia mula menghampiri Bumi. Cabaranya ketika ini ialah planet ini akan bergerak hampir dengan Matahari dan akan semakin sukar untuk lakukan cerapan pada waktu Maghrib kerana kedudukanya akan semakin rendah ke ufuk. Maka, cerapan Zuhrah selepas bulan Julai nanti terpaksa dibuat pada waktu siang seperti mana yang saya pernah lakukan sebelum ini.

Kemuncak ‘musim Zuhrah’ tahun ini ialah apabila planet ini berada pada kedudukan inferior conjunction, yakni hampir selari di antara Bumi dan Matahari. Untuk tahun ini, ia akan berlaku pada 13 Ogos 2023 dan planet ini akan melintas 7.7 darjah sahaja daripada Matahari.

Video dibawah ialah rakaman cerapan live yang saya lakukan dari balai cerap saya di KL.

Maklumat lanjut fenomena inferior conjunction ini akan saya kongsikan dari semasa ke semasa.

Side note: Demi menjaga kesihatan mental, saya akan mula sedikit demi sedikit kurangnya penglibatan dalam medsoc seperti FB, IG dan fokus perkongsian menerusi laman web FalakOnline ini, Youtube sahaja. Segala update terkini akan diwar-warkan dahulu menerusi telegram falakonline.

5 1 vote
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments