Satu fenomena yang menarik akan berlaku pada awal malam 2 dan 3 Jun 2023 ini. Planet Marikh akan melintasi di hadapan sebuah gugusan bintang popular, Beehive Cluster.
Fenomena ini juga dikenali sebagai conjunction, dan ia merupakan kejadian yang melibatkan 2 atau lebih objek samawi berada amat hampir di antara satu sama lain. Selalunya ia melibatkan objek sistem suria seperti bulan dan planet. Namun di dalam kes ini ia melibatkan planet dan gugusan bintang.
Planet Marikh kini kelam dan tidaklah seterang seperti mana 6 bulan yang lalu. Ia berada jauh daripada Bumi dan menerusi pandangan mata ia kelihatan seperti sebutir bintang yang sederhana terang sahaja.
Ketika ini kedudukan Marikh berada di atas planet Zuhrah. Jika anda pandang ke barat selepas Maghrib dan nampak planet terang Zuhrah tu, Marikh akan berada lebih kurang 10 darjah (selebar satu tapak tangan) ke atas dari Zuhrah.
Pada 2 dan 3 Jun 2023 nanti, Marikh akan bergerak ‘masuk’ ke dalam kawasan gugusan bintang Beehive. Gugusan bintang ini terletak di dalam buruj Cancer, dan ia terdiri daripada beratus bintang-bintang yang tidaklah begitu terang namun senang untuk dilihat menerusi binokular.
Kita di Malaysia akan dapat lihat kedudukan Marikh yang kelihatan seperti ‘baru je’ nak masuk ke dalam kluster ini, dan pada esoknya, akan nampak planet mula ‘mula keluar’. Kita tidak berpeluang melihat Marikh berada betul-betul tepat di ‘tengah-tengah’ kluster ini. Timing tak kena.
Apa pun, pemandangan ini tetap akan jadi sesuatu yang menarik. Jika anda mempunyai kamera DSLR dengan lens biasa pun, sudah boleh merakam kedua-dua objek ini di dalam frame gambar yang sama.
Jika anda merakamnya menerusi teleskop dan melakukan rakaman secara berterusan (time-lapse) selama 15-30 minit), anda akan dapat lihat pergerakan planet Marikh di sebalik bintang-bintang kluster ini.
Di bawah merupakan video pergerakan tersebut yang saya rakamkan kelmarin. Kebetulan Marikh berada hampir dengan sebutir bintang terang Eta Cancri, memudahkan kita lihat ia bergerak.
Walaupun Marikh nampak seperti masuk ke dalam kluster bintang ini, tetapi hakikatnya tidak. Marikh berada dekat dengan Bumi dengan jaraknya 16 minit cahaya je, berbanding gugusan bintang Beehive yang berada 610 tahun cahaya dari Bumi.
Selamat mencerap semua.