Bulan Penuh Perigee 30 Ogos 2023 yang akan berlaku malam ini tak bertukar warna jadi biru tau…

Berita Fenomena Hoax

Pada malam ini, 30 Ogos 2023, kita akan berpeluang menyaksikan fenomena Bulan Penuh Perigee atau istilah yang lebih popular ‘super moon’.

Apa yang berlaku di sini ialah ketika Bulan berada di dalam fasa Bulan Penuh, ia berlaku hampir serentak dengan saat apabila Bulan berada di dalam kedudukan paling dekat dengan Bumi, yang dikenali sebagai Perigee.

Menurut kiraan yang saya buat menggunakan aplikasi-aplikasi astronomi yang sedia ada, dan telah dipaparkan di dalam Almanak Astronomi 2023… Bulan akan berada paling dekat dengan Bumi pada jam 11:51 malam 30 Ogos 2023, waktu Malaysia. Lebih kurang 9 jam kemudian, iaitu pada jam 9:35 pagi 31 Ogos 2023, Bulan akan masuk di dalam fasa Bulan Penuh.

Nak mudah cerita, Bulan Penuh malam nanti ialah yang paling besar dan paling dekat dengan Bumi untuk tahun 2023 ini.

Fasa Bulan Penuh kedua di dalam bulan Ogos

Al-kisah pada awal bulan Ogos lepas iaitu pada 2 Ogos 2023, Bulan sudah pun berada di dalam fasa Bulan Penuh.

Oleh itu jika kita perhatikan di sini, dalam bulan Ogos 2023 telah berlaku 2 kali fasa Bulan Penuh, 2 Ogos dan 31 Ogos.

Fenomena 2 kali “fasa bulan penuh” yang berlaku di dalam bulan kalendar masehi yang sama ini juga dikenali sebagai “blue moon”.

Istilah ini mungkin dikaitkan dengan frasa bahasa Inggeris “once in a blue moon” Menurut dictionary cambridge, istilah “once in a blue moon” ini bermaksud “not very often” atau jarang-jarang berlaku.

Namun asal-usul penggunaan istilah ini di dalam astronomi dikatakan salah faham daripada artikel majalah “Sky & Telescope” edisi Mei 1950!

Kisah salah faham ini panjang dan boleh dibaca di sini. Saya akan usahakan untuk mempermudahkan kisahnya di dalam artikel lain. Apa pun, disebabkan salah faham tersebut, istilah ini mula ‘tular’ sehinggalah ke hari ini.

Istilah Blue Moon ini tiada kaitan dengan warna Bulan.

Lagi satu masalah zaman sekarang ini ialah apabila ramai mula ‘mengaitkan’ fenomena ‘blue moon’ ini dengan perubahan warna Bulan! Jika kita baca mengenai asal-usul salah faham penggunaan istilah ini tadi, ia tidak ada pun menyebut perubahan warna pada bulan!

Maka kita semua kena faham, BULAN TIDAK AKAN BERUBAH WARNA MENJADI BIRU !

Terlalu banyak artikel click-bait, video tik-tok dan seumpamanya, yang meng-edit dan mengongsikan gambar Bulan berwarna biru! Ini jelas sungguh mengelirukan orang awam, lebih-lebih lagi zaman sekarang ini ramai yang malas membaca penerangan yang panjang, dan suka video yang pendek-pendek.

Secara amnya:

  1. Bulan Penuh 30 Ogos 2023 ini ialah Bulan Penuh paling besar dan dekat untuk tahun 2023.
  2. Bulan Penuh kali berlaku selang 9 jam selepas Bulan berada pada poin atau titik paling dekat dengan Bumi. Fenomena ini dikenali sebagai Bulan Penuh Perigee.
  3. Ia juga popular dengan istilah moden “super moon”.
  4. Bulan Ogos 2023 ini, Bulan penuh berlaku 2 kali, iaitu pada 2 Ogos dan 31 Ogos.
  5. Fasa Bulan Penuh yang berlaku dalam bulan kalendar yang sama kadang-kala dikenali sebagai ‘Blue Moon’.
  6. Asal usul istilah ‘Blue Moon’ dikatakan berasal dari salah faham di dalam artikel yang dikeluarkan di dalam majalah Sky & Telescope pada Mei 1950.
  7. Istilah ‘Blue Moon’ tidak bermaksud warna Bulan menjadi biru.

Salah sebuah laman web tempatan ada menyediakan satu artikel mengenai isu ini tetapi banyak fakta yang mengelirukan. Saya ada komen mengenainya di Facebook saya di sini.

Saya copy paste juga komentar tersebut di bawah sebagai rujukan semua.

****************begin*****************

Berikut merupakan sedikit komentar mengenai artikel yang ditulis oleh sebuah laman web popular tempatan. Ia bukanlah bertujuan untuk troll, tetapi lebih kepada membetulkan beberapa fakta yang salah dan ayat yang mengelirukan.

Apa pun terima kasih kepada usaha laman web tersebut menyiarkan artikel ini dan menyebabkan orang ramai lebih cakna dengan fenomena malam ini. Cuma ada beberapa fakta kena betulkan.

Di bawah ialah sedikit komen berdasarkan ilmu yang amat terhad dari saya.


Bulan Purnama Terbesar, Fenomena “Rare” Super Blue Moon Dijangka Berlaku Malam Ini

🤔Komen mengenai gambar >> Fenomena Blue Moon tidak mengakibatkan Bulan jadi warna biru. Harap perbetulkan gambar supaya tak mengelirukan orang awam.


“Pada malam ini bersamaan 30 Ogos, dilaporkan bahawa orang ramai berpeluang untuk menyaksikan fenomena “supermoon” terbesar bagi tahun 2023.”

🤔Komen >> Lebih tepat … fenomena “full moon” terbesar bagi tahun 2023.


“Fenomena supermoon atau bulan purnama yang berlaku ialah merupakan suatu fenomena dimana bulan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi dalam orbit tertentu (perigee).”

🤔Komen >> Fenomena “supermoon” tak sama dengan “full moon”. Istilah supermoon itu merujuk kepada “perigean full moon” atau bulan penuh terbesar dalam satu-satu tahun kalendar masehi.


Tepat jam 12 tengah hari ET pada hari ini, bulan akan berada di perigee, titik terdekatnya dalam orbitnya dengan Bumi pada jarak 357,181 km.

🤔Komen>> Lebih baik tukar waktu ET ke waktu local Malaysia. Supaya elak orang salah faham.


“Walaupun bulan purnama secara teorinya hanya berlangsung buat seketika, detik itu tidak dapat dilihat hanya dengan pemerhatian biasa. Pemerhatian bagi fenomena itu juga tidak dapat dilihat awal sehari sebelum fenomena itu berlaku.”

🤔Komen >> Tak faham ayat ni. Bulan Purnama boleh dilihat setiap sebulan sekali. Dan boleh dilihat dengan mata sebab bulan penuh je pun. Dan ia “secara teorinya”… sebab ia betul-betul fenomena yang berlaku tiap-tiap bulan.

Ia bukan sesuatu yang pelik dan bukan berlaku “hanya berlangsung buat seketika”.

Walaupun begitu momen atau saat apabila Bulan tepat bersetentang dengan Matahari (fasa Bulan Penuh) itu kadang-kala boleh berlaku ketika bulan belum terbit lagi dari langit Malaysia.


“Selain itu, kejadian fenomena supermoon pada kali ini merupakan yang kali kedua berlaku pada bulan Ogos. Sebelum ini, fenomena pertama berlaku pada 1 Ogos yang lalu.”

🤔Komen>> Sahih. ✅


Bulan penuh kedua pada malam ini juga akan dijenamakan semula sebagai bulan “Blue”. Lantas, fenomena yang bakal dilihat pada malam ini adalah sebagai “Super Blue Moon”.

🤔Komen >> Tiada istilah “Blue” dalam kes bulan penuh kedua ini. Istilah lebih tepat ialah “Blue Moon”.


“Walau bagaimanapun, jika terdapat keadaan atmosfera yang luar biasa seperti habuk bawaan udara, abu atau asap akan menyebabkan bulan tidak kelihatan biru.

Tetapi sebaliknya bulan akan kelihatan seperti keadaan normalnya iaitu kekuningan putih.”


🤔Komen >> Kalau ikut apa yang saya faham ayat ni, jika atmosfera biasa dan normal, bulan akan kelihatan biru? Dan jika atmosfera luar biasa dia tidak kelihatan biru?

Salah tu bang.

Mana ada Bulan tu jadi biru, bang! Bulan tetap warna bulan macam biasa kekuningan.


“Menurut Space.com, bagi mereka yang mahu melihat bulan dengan lebih jelas, mereka dicadangkan untuk melihat menggunakan teropong.

Jika anda mahu melihat dengan lebih dekat ciri-ciri bulan, penggunaan teleskop adalah cadangan yang terbaik buat mereka yang mahu melihat fenomena ini.”

🤔Komen >> Sahih ✅


“Kejadian fenomena ini bukan sahaja dapat dilihat berlaku kepada bulan, malah ia juga akan memberi kesan kepada julat pasang surut air yang jauh lebih besar daripada biasa.

Air surut dikatakan akan menjadi luar biasa rendah manakala air pasang besar pula akan menjadi luar biasa tinggi. Malah ia mungkin boleh mengakibatkan banjir kecil di pantai.”

🤔Komen >> Sahih. ✅ Cuma kalau lebih comel, katakan fenomena “super full moon” yang mengakibatkan air pasang besar tu. Takut orang confuse kaitkan dengan “blue moon”


“Air pasang yang melampau itu dikenali sebagai pasang surut musim bunga perigean yang merujuk kepada musim-musim bunga.”

🤔Komen >> Istilah yang diterjemahkan dan digunakan di atas “musim bunga perigean” asalnya dari “Perigean Spring Tide”. Ia merujuk kepada kesan air pasang yang lebih tinggi dari biasa akibat kesan bulan penuh berlaku hampir sama waktu dengan bulan di kedudukan terdekat (perigee) dengan Bumi.

Ia tidak merujuk kepada “musim-musim bunga”. “Spring” yang dikatakan ini lebih merujuk kepada “loncatan” atau tambahan tinggi air berbanding biasa.

Sila rujuk di bawah
https://oceanservice.noaa.gov/facts/perigean-spring-tide.html
https://earthsky.org/todays-image/perigean-spring-tides-today/


“Setiap bulan, pasang surut musim bunga berlaku apabila bulan penuh dan baru berlaku.”

🤔Komen >> Sama seperti di atas. Istilah musim bunga ini mengelirukan


“Menurut buku Panduan Pemerhatian Persatuan Astronomi Diraja Kanada, fenomena “bulan purnama terbesar” pada tahun 2023 ini akan kelihatan 14% lebih besar daripada saiz berbanding bulan purnama di apogee.”

🤔Komen >> Sahih ✅


Jadi walaupun terdapat perbezaan saiz, untuk melihat ia dengan jelas mungkin menjadi sesuatu perkara yang tidak seperti yang dijangkakan. Kerana kebanyakan gambar “Supermoon” di internet diambil menggunakan kanta telefoto.

🤔Komen >> Sahih ✅


Selain itu, Space.com mendedahkan bahawa “supermoon” kelihatan 30% lebih cerah daripada bulan purnama yang lain.

🤔Komen >> Sahih ✅


Tetapi kejadian itu sebenarnya sepadan dengan peningkatan kecil kurang daripada tiga persepuluh magnitud. Jadi, cahaya bulan pada malm ini mungkin tidak kelihatan begitu terang seperti yang diharapkan.

🤔Komen >> Dicadangkan ayat tiga per sepuluh magnitud tu dimudahkan menjadi 30% supaya orang awam boleh faham. Kena tengok jugak audience yang baca tu siapa.


Wallahua’lam
Terima kasih
Shahrin FalakOnline.net

**********************end****************

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments