Gerhana Bulan Separa 29 Oktober 2023

Berita Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban

Pada awal pagi hari Ahad, 29 Oktober 2023, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Separa.

Gerhana ini akan bermula pada jam 3:34 pagi, apabila cakera Bulan mula menyentuh sempadan bayang-bayang umbra Bumi.

Kemudian, pada jam 4:14 pagi, 6% daripada cakera Bulan akan ditutupi oleh umbra. Ini merupakan momen kemuncak gerhana. Selepas ini, Bulan mula bergerak keluar dari kawasan umbra.

Keseluruhan cakera Bulan akan keluar dari bayang-bayang umbra pada jam 4:52 pagi.

Durasi keseluruhan fenomena ini ialah selama 77 minit dari awal masuk umbra.

Selalunya menerusi pandangan mata atau teleskop, kita mungkin akan mula lihat shading bahagian gelap umbra mula muncul lebih awal daripada kiraan, dan juga akan hilang sedikit lewat. Ini adalah normal kerana disebabkan Bumi ini mempunyai atmosfera, cahaya matahari yang akan mula ‘malap’ atau terlindung sedikit demi sedikit sehinggalah keseluruhan cahaya hilang .

Fenomena gerhana ini juga berlaku 2.7 hari selepas Bulan berada di dalam kedudukan paling hampir dengan Bumi, iaitu perigee. Oleh itu, Bulan Penuh malam itu masih kelihatan sedikit ‘besar’ dari biasa.

Saya menggalakkan kita sama-sama menyaksikan fenomena ini kerana selepas ini, kita terpaksa tunggu hampir 2 tahun untuk dapat melihat fenomena gerhana bulan dari Malaysia. Tarikh gerhana bulan seterusnya yang dapat kita lihat dari Malaysia ialah pada 8 September 2025.

Lambat lagi tu bang!

Berdasarkan pemerhatian ringkas saya, langit di Kuala Lumpur pada waktu 3-5 pagi agak OK dan tidak berawan. Mudah-mudahan kita berpeluang menyaksikannya nanti.

Fenomena Gerhana Bulan ini tidak memerlukan teleskop, dengan mata kasar pun dah boleh nampak.

Untuk merakamnya, disarankan kita menggunakan kamera yang mempunyai lens yang agak panjang, sekitar 150mm ke atas, supaya Bulan yang dirakam itu nanti besar dan tak ada lah kecik gedemik.

Selamat mencerap!

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments