December 3, 2023

Almanak Astronomi 2024 telah pun siap. Anda boleh dapatkan senarai lengkap fenomena samawi yang menarik untuk dicerap sepanjang tahun 2024 dari langit Malaysia dan Asia Tenggara. Tandakan bookmark browser anda ke https://falakonline.net/aa2024/

Menariknya. apabila saya lakukan pengiraan, didapati ada beberapa buah fenomena unik yang sudah lama tak dapat dilihat, iaitu seperti penghijaban gugusan bintang Seven Sisters. Selain itu beberapa buah bintang dan planet juga akan dihijab oleh Bulan. Fenomena penghijaban ialah apabila sebuah objek terlindung oleh objek lain di hadapannya dan akan hilang dari pandangan buat seketika.

Saya boleh secara rasminya mengatakan tahun 2024 ini tahun kita namakan Tahun Fenomena Penghijaban 😀

Berikut merupakan di antara fenomena tumpuan yang paling menarik untuk sama-sama kita cerap nanti.

4 Januari – Meteor Quadrantids

Sebanyak 80  meteor/jam (boleh jadi 60-200 meteor) akan kelihatan dari kawasan langit gelap. Namun disebabkan waktu puncaknya berlaku pada jam 5 pm, kita akan terlepas sedikit waktu puncaknya. Bulan pula berada dalam fasa sukuan akhir dan cahayanya akan mengganggu sedikit kenampakan meteor ini, namun masih boleh untuk kita lihat jelmaan meteor yang terang-terang.

20 Januari – Bulan hijab Seven Sisters.

Sebahagian daripada bintang-bintang di dalam kluster Seven Sisters ini akan mula dilindung oleh Bulan bermula sekitar 9 malam. Bulan akan bergerak di sebelah sisi selatan kluster ini. Menjelang 2 pagi, Bulan sudah mula keluar dari kawasan kluster. Seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia berpeluang menyaksikan kejadian ini. Dah lama fenomena ini tak dapat dilihat di langit!

22 Feb – Zuhrah dan Marikh dipisahkan kurang 1 darjah

Pada Subuh 22 Feb, jarak lengkung di antara planet Zuhrah dan Marikh kurang dari 1 darjah, atau lebih kurang bersamaan saiz diameter bulan purnama. Kejadian ini boleh dilihat selepas Subuh rendah di ufuk timur.

22 Mac – Zuhrah dan Zuhal dipisahkan kurang 1 darjah.

Planet tercerah (Zuhrah) dan planet paling comel (Zuhal) akan kelihatan amat dekat, kurang dari 1 darjah. Namun fenomena ini agak mencabar kerana di berlaku selepas Subuh, rendah di ufuk timur, ketika langit sudah mula terang. Apa pun menerusi teleskop ia tidak menjadi masalah.

11 April – Marikh dan Zuhal dipisahkan kurang 1 darjah

Planet Marikh dan Zuhal pula akan melintas dekat antara satu lain. Kedua-dua planet ini dapat dilihat seperti 2 butir bintang yang mempunyai warna yang begitu berlawanan, kekuningan dan kemerahan! Boleh dilihat menjelang Subuh di ufuk sebelah timur.

27 April – Bulan menghijab Antares

Bulan akan menghijab bintang Antares, di dalam buruj Scorpio. Dari Kuala Lumpur, ia akan mula hilang (ingress) sekitar 5 pagi dan muncul semula di sisi gelap Bulan pada 6 pagi. Waktu hilang/mucul Antares bergantung kepada lokasi cerapan. Keseluruhan fasa penghijaban dapat dilihat dari Semenanjung. Namun rakan-rakan di Sabah hanya dapat melihat ketika permulaan sahaja.

5 Mei – Meteor Eta Aquariids

Sebanyak 50 meteor/jam dijangka dapat dilihat dari kawasan langit sempurna gelap. Bulan berada di dalam fasa bulan baru pada 3 hari selepas tarikh puncak ini, maka tiada gangguan cahaya akan berlaku. Prospek bagus untuk tahun ini.

25 Julai – Bulan akan menghijab Zuhal.

Fenomena ini dapat dilihat dari Semenajung Malaysia sahaja dan berlaku pada waktu menjelang Subuh. Kejadian planet Zuhal amat jarang berlaku di kawasan Malaysia. Ini adalah peluang terbaik kita melihat Zuhal dan gelangnya, perlahan-lahan dilindungi oleh Bulan.

Jadikan ini sebagai fenomena utama 2023! Kena ada banyak promosi di kalangan penggiat astronomi dan agensi berkaitan.

30 Julai – Bulan hijab Seven Sisters

Bulan sabit tua akan menghijab gugusan bintang Seven Sisters. Kali ini laluan Bulan boleh dikatakan hampir bergerak di tengah-tengah kawasan gugusan bintang ini. Mulakan cerapan sekitar jam 3 pagi hingga 6 pagi. Fenomena kali ini paling menarik kerana bulan berada dalam fasa mengecil dan tidak begitu silau. Jadikan ini sebagai fenomena tumpuan utama kita.

10 Ogos – Bulan hijab Spica

Bulan akan menghijab bintang Spica, bintang tercerah di dalam buruj Virgo. Permulaan kejadian ini berlaku ketika hampir nak Maghrib, maka tidak kelihatan menerusi mata kasar namun boleh dilihat menerusi teleskop. Menjelang sekitar 8:11 malam (Kuala Lumpur), kita akan dapat lihat bintang ini muncul semula di sisi terang Bulan.

12 Ogos – Meteor Perseids

Sebanyak 100 meteor/jam dijangka dapat dilihat. Walaupun Bulan berada di fasa Sukuan Awal, ia akan terbenam selepas tengah malam dan tiada gangguan cahaya Bulan selepas itu. Prospek bagus untuk tahun ini.

15 Ogos – Marikh dan Musytari kurang 1/2 darjah

Planet Marikh dan Musytari akan melintas dekat antara satu sama lain. Boleh dilihat menjelang Subuh. Kedua-dua planet ini akan dipisahkan sejauh 1/2 darjah, iaitu sama diameter dengan Bulan Purnama. Menerusi teleskop, kedua-dua planet ini dapat dimuat di dalam satu medan pandangan yang sama.

5 Sep – Bulan lintas hampir dengan Zuhrah

Pemandangan indah Bulan sabit muda melintasi hampir dengan Zuhrah akan berlaku lagi. Walaupun tidak sedekat seperti bulan Ramadan lepas, ini pun dah cukup menarik. Lihat selepas Maghrib.

10 Sep – Bulan lintas Antares kurang 1 darjah

Bulan akan melintas hampir dengan bintang Antares bermula dari Maghrib lagi. Menjelang 11 malam, ia akan berada pada titik paling hampir. Bintang Antares merupakan bintang tercerah di dalam buruj Scorpio.

18 Sep & 17 Okt – Bulan Penuh Perigee

Bulan Penuh Perigee, iaitu Bulan Penuh paling besar untuk satu-satu tahun syahmsiah, akan berlaku pada 18 September dan 17 Oktober. Pada 18 September momen Bulan berada di perigee berlaku 10 jam selepas fasa Purnama, manakala pada 17 Oktober, ia berlaku 10 jam sebelum fasa Purnama.

20 Okt – Bulan menghijab Seven Sisters

Bulan akan melintas di bahagian sisi utara gugusan Seven Sisters pada awal pagi 20 Oktober 2024. Kali ini fasa Bulan agak besar dan cahayanya mungkin akan menyilaukan pemandangan. Cara terbaik ialah memerhatikan pergerakan menerusi teleskop atau binokular.

21 Nov – Bulan melintas hampir dengan Marikh dan gugusan bintang Beehive

Pada awal tengah malam hingga ke Subuh, 21 Nov 2024, Bulan melintasi dekat dengan planet Marikh yang sudah pun semakin terang. Jika anda menggunakan binokular, boleh cuba cari gugusan bintang Beehive yang berada di sisi kanan bawah dari Marikh (jika dicerap ketika objek-objek ini sedang terbit).

14 Disember – Bulan hijab Seven Sisters

Bulan yang hampir penuh akan menghijab lagi gugusan Seven Sisters bermula sekira 1 pagi hingga 4 pagi. Kali ini lebih mencabar kerana cahaya Bulan yang terang akan menyukarkan kita melihat gugusan ini dengan mata kasar. Seeloknya gunakan binokular atau teleskop.

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
%d bloggers like this: