Tak habis-habis ada je lagi artikel clickbait yang mengatakan ada asteroid bakal berlanggar bumi sebab NASA cakap macam tu. Kemudian tak habis-habis ada je orang akan forward whatsapp, buat video clickbait viral. Dan kemudian masih ada orang kita yang percaya terus tajuk berita tanpa usul periksa. Kemudian masih ada orang yang akan tuduh ahli falak ni semua penipu tak nak beritau perkara sebenar. Kemudian bila tarikh ‘keramat’ itu berlaku, tukang viral tukang foward semua senyap saja buat-buat tak tahu.
Belajarlah secara berilmu.
Ok, saya screenshot sikit tajuk viral mengenai kononnya sebuah asteroid bakal berlanggar dengan Bumi pada Oktober 2024 nanti.
Menurut berita yang mula tersebar luas, dikatakan NASA telah ‘melaporkan’ sebuah asteroid yang sebelum ini ‘hilang’, mungkin berlanggar dengan Bumi dengan hentaman sebanyak 2.6 BILLION Ton tenaga TNT!
Bunyi macam menakutkan! Kalau orang yang jenis suka baca tajuk je dan percaya terus, mulalah keluar macam-macam ulasan, tiba-tiba jadi terpaling pakar dalam dunia astronomi yang sangat luas ini. Habis semua komen daripada ahli dalam bidang ini dibakul sampahkan secara pukal.
Ok apa yang sebenarnya kisah asteroid ini?
Ini sebenarnya cerita lama la bang! Berita yang sama pernah keluar tahun 2019 yang lalu!
Kisahnya, asteroid bernama 2007 FT3 ini ditemui pada 20 Mac, 2007. Ia hanya sempat dicerap sekejap sahaja, iaitu selama 14 kali dalam masa 1.2 hari. Kemudian ia bergerak jauh dan menjadi terlalu malap untuk dikesan. Disebabkan jangka waktu cerapan yang dibuat itu terlalu pendek, masih ada ketidakpastian di dalam kiraan orbitnya.
Ketidakpastian di dalam orbit objek-objek yang baru ditemui ini adalah proses normal dan selalu berlaku. Bukannya benda pelik.
Disebabkan faktor ketidakpastian di atas, asteroid ini pernah keluar di dalam senarai ‘berpotensi berbahaya’ di Center of Near Earth Object Studies (CNEOS). Di dalam laman web ini ada jadual Sentry Risk Table, yang akan menyenaraikan objek-objek yang berpontesi berlanggar dengan Bumi dalam jangka masa 100 tahun akan datang. Senarai ini sentiasa dikemaskini dan tidak hairan jika ada asteroid yang sebelum ini disenaraikan, kini telah tiada. Kiraan yang semakin tepat berdasarkan cerapan susulan, akan menyebabkan orbit objek-objek ini sudah dikemaskini dari semasa ke semasa. Jika didapati ia tidak mempunyai risiko besar terhadap Bumi, ia akan dikeluarkan.
Saya cuba lakukan carian terhadap asteroid 2007 FT3 di dalam jadual Sentry. Carian ini dibuat pada jam 10 pagi, 3 Januari 2024. Saya kepilkan screenshot video carian yang saya buat ini di bawah:
Jelas dari kiraan ketika artikel ini ditulis, kebarangkalian asteroid ini untuk berlanggar dengan Bumi ialah
0.000086% chance of Earth impact 1 in 1,200,000 odds of impact 99.999914% chance the asteroid will miss the Earth
Maka jelaslah di sini, berita ‘gempar’ ini sebenarnya bukan berita ‘gempar’ pun. Kebarangkalian nak berlanggar adalah ‘0’.
Malah, saya cuba cari statement rasmi dari NASA yang kononnya mewar-warkan berita ini, tak jumpa pun. Laman-laman web yang fokus kepada berita astronomi pun tak ada yang membawa berita gempar ini. Yang ada hanyalah laman-laman web tabloid, video clickbait saja.
Kita semua kena scam dengan budaya clickbait yang tiada kehabisan. Sampai bilalah kita mudah tertipu!
Oleh itu, jika anda terserempak dengan post viral atau video titktok yang pelik-pelik ulasannya, sila balas dengan memberi link kepada artikel ini.
Semoga kita sama-sama belajar berilmu.
Bacaan lanjut:
https://cneos.jpl.nasa.gov/sentry/details.html#?des=2007%20FT3
https://theskylive.com/where-is-2007ft3
https://earthsky.org/space/asteroid-2007-ft3-wont-hit-earth-october-2019/