“Gerhana Al-Thurayya” Bulan menghijab Seven Sisters 20 Januari 2024

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban Himpunan Samawi

Pada awal malam selepas Isya’ hari Sabtu ini, 20 Januari 2024, Bulan akan bergerak di hadapan gugusan bintang popular, The Pleaides atau Seven Sisters. Gugusan ini juga dikenali sebagai Al-Thurayya (yang nama ini tiba-tiba popular ketika zaman covid dulu) Sebahagian daripada bintang-bintang di dalam gugusan ini akan terlindung oleh jasad Bulan, satu fenomena yang dikenali sebagai Occultation atau Penghijaban.

Apa itu Penghijaban?

Penghijaban atau istilah astronominya, occultation , bermaksud sebuah jasad samawi bergerak melintas di hadapan sebuah jasad samawi lain. Sebagai contoh, Bulan atau planet melintas di hadapan sebutir bintang. Apabila ini berlaku cahaya bintang itu akan terlindung dan kita sedang berada di dalam bayang-bayang Bulan atau planet yang berada di antara kita (Bumi ) dan bintang tadi.

Gerhana Matahari adalah salah satu contoh penghijaban yang istimewa kerana jasad Bulan dan Matahari kelihatan hampir sama saiz dari sudut pandangan kita di Bumi (tetapi ia tidak dipanggil demikian dan kita lebih mengenalinya dengan istilah gerhana). Ketika kejadian ini berlaku, kita berada di dalam kawasan bayang-bayang Bulan.

Gerhana Matahari Penuh yang dirakam oleh penulis pada tahun 2017 di Ashwood, Oregon.

Transit juga adalah sejenis penghijaban, tetapi yang ini selalu merujuk kepada objek yang menghijab jauh lebih kecil berbanding dengan objek yang dilindungnya (yang berada di belakangnya). Contoh ialah fenomena transit planet Zuhrah yang kali terakhir berlaku pada tahun 2012.

Saat apabila planet Zuhrah (bulatan hitam besar) sedang melintas di hadapan cakera Matahari. Dirakam oleh penulis pada 2012.

Saya sedang merancang untuk menulis artikel lebih terperinci mengenai fenomena occultation ini. InsyaAllah.

Total Lunar Occultation

Fenomena yang berlaku 20 Januari 2024 ini termasuk di dalam kategori yang dipanggil Total Lunar Occultation. Ia membawa maksud Bulan bergerak di hadapan (menghijab) bintang atau planet atau asteroid, dan buat beberapa ketika objek yang dihijab itu hilang seketika dan muncul kembali apabila Bulan mula bergerak menjauhi objek tadi.

Fenomena jenis ini berlaku hampir setiap malam dan amat mudah untuk dicerap oleh sesiapa yang memiliki teleskop (dan kadang-kadang binokular).

Contoh yang paling hampir yang berlaku baru-baru ini ialah kejadian pada awal bulan Ramadhan tahun lepas, apabila Bulan menghijab planet Zuhrah (Venus).

Grazing Occultation yang berlaku di antara planet Zuhrah dan Bulan yang dirakam oleh penulis pada 24 Mac 2023.

Dari sudut kajian falak dan astronominya, dengan kita merakam momen waktu sesebuah bintang itu hilang dan muncul, akan membolehkan ahli astronomi menguji dan mengemaskini rumus pergerakan Bulan mengelilingi Bumi. Selain itu, jika bintang yang dihijab itu adalah bintang kembar (double star), kita boleh mendapatkan data kedudukan pasangan bintang itu tadi dengan melihat perubahan kecerahan yang berlaku.

Saat apabila bintang Regulus muncul dari sisi terang Bulan yang berjaya dirakam oleh penulis pada tahun 2017. Gambar ini dipaparkan di dalam majalah Sky & Telescope edisi Nov 2017.

Tunggu tulisan lengkap saya nanti.

Apa yang berlaku pada Sabtu nanti?

Bulan bergerak di dalam laluan orbitnya di langit sebulan sekali. Kawasan laluan Bulan ini berada di dalam kawasan buruj zodiak (lebih kurang sama dengan Matahari). Secara amnya, kita boleh menganggap sebulan sekali, Bulan akan ‘pasti’ bergerak kembali ke titik kordinat yang sama di langit, kan?

Sebenarnya ia sedikit rumit dari itu. Laluan Bulan di langit beranjak sedikit dari kedudukannya sebelum ini , dari bulan ke bulan, dan tahun ke tahun. Secara amnya, Bulan akan kembali tepat pada kedudukan laluan asalnya setiap 18.6 tahun sekali.

Ini bermakna, jika tahun ini Bulan menghijab bintang ‘A’. ia mungkin tak akan menghijabnya tahun hadapan sebab laluanya dah berubah sedikit. Kita kena tunggu lebih 18 tahun kemudian untuk ia kembali mengulanginya.

Di dalam kes gugusan Seven Sisters ini, kali terakhir Bulan menghijabnya ialah pada ‘musim’ 2005 hingga 2010.

Garisan menunjukkan laluan Bulan ketika ia bergerak di hadapan gugusan Seven Sisters pada malam 20 Januari 2024 ini.

Mengapa saya panggil ‘musim’? Seven Sisters ialah sebuah gugusan bintang, dan bukannya sebutir bintang. Maka, ia merangkumi kawasan langit yang agak luas (3-4 kali saiz diameter Bulan). Maka untuk sepanjang 5 tahun, apabila Bulan melintas di hadapan gugusan ini, pasti akan ada beberapa butir bintang-bintang di dalam gugusan ini akan terlindung.

Musim baru penghijaban Seven Sisters ini bermula tahun 2024 hingga 2029. Kita berpeluang menyaksikannya fenomena ini selama 5 tahun, dan untuk tahun ini, ada 4 kali momen ini sesuai dengan kita di Malaysia. Sila rujuk arikel Fenomena Samawi Tumpuan Tahun 2024 – Ringkasan Almanak Astronomi 2024

Pada hari Sabtu ini, fenomena penghijaban bermula sekitar lepas Isya’, lebih kurang jam 9 malam dan berakhir sekitar jam 1 pagi. Kita ada 4 jam untuk melihat bintang-bintang Seven Sisters ini hilang dan muncul!

Antara momen menarik untuk diperhatikan:

  1. Saat sesebuah bintang itu tiba-tiba hilang di sisi gelap Bulan
  2. Saat apabila bintang yang hilang tadi muncul kembali di sisi terang Bulan.
  3. Mungkin akan ada beberapa butir bintang yang menggelunsur sedikit sahaja di sisi Bulan bahagian utara atau selatan. Fenomena yang juga dikenali sebagai grazing occultation.

Waktu hilang dan muncul bintang-bintang di dalam gugusan ini berbeza-beza dari lokasi yang berlainan. Susah sikit saya nak sediakan jadual lengkap. Anda digalakkan menggunakan aplikasi seperti Stellarium atau Sky Safari untuk membuat simulasi dan mendapatkan waktu yang sesuai dengan tempat anda berada.

Sebaik-baik alat yang kita perlu gunakan ialah sebuah teleskop. Binokular pun boleh juga tapi bilangan bintang-bintang tidaklah sebanyak dengan apa yang dapat dilihat dalam teropong. Jika anda menggunakan mata kasar, ia agak mencabar kerana fasa Bulan agak besar pada Sabtu ini, dan cahayanya agak silau.

Jika hendak merakam, lakukannya secara berturut-turut seperti timelapse. Mungkin setiap 1 minit sekeping gambar. Gambar-gambar ini kemudian boleh dijadikan video time lapse yang menarik.

Untuk kerja-kerja merakam waktu hilang dan muncul bintang ini dengan tepat, anda perlu merakamnya di dalam bentuk video dan waktu timestamp perlu tepat ke 0.0001 saat. Untuk mendapat ketepatan seperti ini menggunakan aplikasi seperti SharpCap hampir mustahil kerana PC kita walaupun dan sync waktu dengan waktu piawai di internet, ia tetap ada delay yang susah nak dikesan. Anda perlukan alat seperti IOTA-VTI untuk ini. Ni nanti saya ceritakan dalam artikel lain.

Jika kita terlepas peluang nak tengok ini, ulangannya akan berlaku pada 30 Julai 2024 nanti pula.

Selamat mencerap semua!

4 1 vote
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments