Meteor Quadrantids merupakan salah satu daripada musim meteor yang boleh menghasilkan meteor yang sangat banyak, namun ia amat susah dan mencabar untuk dicerap.
Di antara faktor yang menyebabkan meteor ini mempunyai sifat demikian ialah
- julat waktu ia aktif adalah sekitar 6 jam sahaja.
- Laluan habuk dan debu meteoroid ini amat nipis.
- Bumi bergerak masuk ke dalam kawasan habuk ini dari sudut menegak.
Gabungan faktor di atas menyebabkan meteor-meteor yang muncul sekejap sahaja dalam masa 6 jam.
Meteor Quadrantids ini dipercayai berasal daripada sebuah asteroid bernama 2003 EH1. Asteroid ini mengorbit matahari di dalam jangka waktu 5.52 tahun. Besar kemungkinan juga 2003 EH1 ini ialah sebuah komet yang dah mati.
Kemunculan meteor ini direkod seawal tahun 1825. Radian meteor ini muncul dari kawasan buruj purba yang dikenali sebagai Quadrans Muralis. Hari ini kawasan buruj purba ini berada di dalam kawasan buruj bernama Bootes.
Waktu terbaik untuk tahun 2024
Menurut ramalan kiraan, untuk tahun 2024, meteor Quadrantids akan muncul di antara 5 pm hingga 11 pm pada 4 Januari 2024 waktu Malaysia.
Ini bermaksud jika anda ingin cuba menjejaki meteor Qudrantids ini, waktu terbaik dan paling dekat dengan waktu ‘aktif’nya ialah bermula 11 pm 4 Januari hingga ke Subuh (5 Januari).
Tapi kita kena harus ingat, kemunculan meteor Quadrantids berlaku banyak dalam julat 6 jam sahaja. Dan titik radian kena berada di atas ufuk ketika itu. Masalahnya kita di Malaysia, titik muncul meteor ini hanya terbit selepas jam 4 pagi (3 pagi di Sabah). Ini bermaksud kita hanya ada 2 jam sahaja sebelum Subuh untuk benar-benar dapat lihat meteor ini.
Menurut rekod terdahulu jika kena pada waktunya, sebanyak 100 meteor setiap jam akan muncul. Tetapi kali ini dengan timing yang tak sesuai dengan kita di Malaysia, kalau dapat tengok 5 meteor setiap jam pun dikira bernasib baik! 🙂
Selain itu, Bulan berada di dalam fasa sukuan akhir pada malam 4 Januari nanti dan akan terbit pada waktu tengah malam. Waktu yang sama untuk kita cuba mencerap meteor ini. Oleh itu, cahaya bulan mungkin akan mengganggu sedikit.
Sila search artikel meteor terdahulu mengenai kaedah melihat meteor-meteor ini. Caranya sama sahaja untuk mana-mana musim meteor.
Selamat mencerap