Jom teropong pertemuan Zuhrah dan Marikh pada 22/23 Februari 2024 ini

Fenomena Himpunan Samawi

Jangan lupa pada awal Subuh 22 dan 23 Februari ini, planet Zuhrah dan Marikh akan melintas hampir antara satu sama lain.

Kedudukan Zuhrah dan Marikh rendah di ufuk timur selepas Subuh minggu ini.

Fenomena conjunction ini merupakan satu daripada beberapa siri conjunction atau lintasan planet dan planet yang akan berlaku sepanjang tahun 2024 ini. Sebagai permulaan, kita akan dapat saksikan pertemuan di antara planet paling cerah dan planet paling merah!

Untuk senarai fenomena conjunction yang lain, boleh rujuk Almanak Astronomi 2024.

Jika anda perhatikan langit Subuh sejak beberapa bulan lepas, anda pasti akan dapat lihat planet Zuhrah atau Venus yang terang benderang seperti bintang yang amat terang, menyinari kawasan langit timur sekitar waktu Subuh.

Kini, planet Zuhrah semakin rendah setiap hari. Di dalam pusingan orbitnya, ia sudah bergerak jauh daripada Bumi dan mula berada ke ‘belakang’ Matahari. Itulah sebabnya kita melihatnya semakin hampir dengan Matahari, yakni waktu terbitnya menghampiri waktu terbit Matahari.

Sementara itu, planet Marikh pula sudah mula muncul keluar dari ‘belakang’ Matahari dan mula kelihatan di langit waktu Subuh.

Kedudukan planet Bumi, Zuhrah dan Marikh di dalam orbit minggu ini.

Ketika ini Marikh berada amat jauh dari Bumi. Maka ia tidak akan kelihatan besar dan terang seperti mana biasa kita lihatnya ketika waktu istiqbal. Oleh itu, saya jangkakan ketika fenomena lintasan ini berlaku nanti, perbezaan kecerahan di antara Zuhrah dan Marikh amat berbeza sekali.

Malah, jika kita meneropong kedua-dua planet ini menerusi teleskop, saiz planet-planet ini tidaklah besar dan akan nampak seperti bulatan kecil sahaja.

Namun begitu, apa yang menarik untuk dilihat nanti ialah warna di antara kedua planet ini sungguh berlawan. Zuhrah akan kelihata putih melepak, manakala Marikh akan bersinar kemerahan.

Pada Subuh 22 dan 23 Februari ini, Zuhrah dan Marikh akan terpisah sejauh 0.6 darjah sahaja, iaitu lebih kurang saiz diameter Bulan purnama. Ini bermaksud jika anda meneropongnya menggunakan kuasa sederhana atau rendah, anda boleh memuatkan kedua-dua planet ini di dalam medan pandangan teleskop yang sama. Boleh tengok kedua-duanya serentak, tak perlu kalut nak gerak-gerakkan teleskop!.

22 Februari 2024
23 Februari 2024

Anda sebenarnya tak perlu untuk menunggu tarikh 22/23 Februari ini pun. Sekarang pun dah mula tengok. Anda akan dapat lihat sediki demi sedikit kedua-dua planet ini mula menghampiri, bermula dengan Marikh di bawah Zuhrah, dan selepas 23 Feb, nanti Marikh akan berada di atas Zuhrah.

Ok jom tunggu apa lagi! Cuaca sebelah Subuh sekarang ni pun amat baik. Jom sama-sama teropong!

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments