Blaze Star, sebuah bintang jenis Nova dijangka akan meledak di antara Februari dan September 2024

Berita Fenomena Penemuan Terkini

Sebuah sistem bintang berkembar yang terletak 3000 tahun cahaya daripada Bumi, dijangka akan muncul terang dan dapat dilihat dengan mata kasar tidak lama lagi.

Bintang yang dikenali sebagai T Coronae Borealis atau T CrB, telah meledak terang pada tahun 1946 lepas. Kiraan terbaru menunjukkan ia bakal kembali terang di antara bulan Februari dan September tahun 2024 ini.

Sistem bintang kembar T CrB ini kebiasaannya bersinar pada magnitud 10, tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan berada pada had keupayaan sebuah binokular. Ketika ledakan novanya berlaku, kecerahannya akan meloncat terang menjadi magnitud 2, iaitu lebih kurang sama cerah seperti bintang-bintang arah kiblat kita di dalam buruj Orion, iaitu Alnitak, Alnilam dan Mintaka.

Ketika bersinar pada kecerahan paling terang, ia boleh diilhat dengan mata kasar selama beberapa hari, dan lebih kurang seminggu kemudian ia pudar tapi masih mudah dilihat dengan binokular. Hanya selepas itu ia akan kembali pudar untuk selama 80 tahun lagi.

Nova tu apa benda?

Nova bermaksud ‘bintang baru’ di dalam bahasa Latin. Ia merujuk kepada sebuah bintang yang sebelum ini amat kelam untuk dilihat dengan mata kasar, tiba-tiba muncul di langit dengan terang. Ia selalunya berlaku kepada sistem bintang berkembar. Sebuah bintang jenis kerdil putih yang panas, dan temannya sebuah bintang gergasi merah.

Ledakan nova berulang: Animasi NASA

Apabila kedua bintang ini mengorbit di antara satu sama lain, sebahagian daripada gas-gas bintang gergasi merah itu akan ‘dicuri’ dan ditarik ke arah bintang kerdil putih. Unsur gas hidrogen yang dicuri tadi apabila sampai ke permukaan bintang kerdil putih tadi akan menghasilkan pelakuran nuklear sekali lagi dan sebuah letupan yang kuat berlaku di permukaan bintang kerdil putih. Letupan inilah yang kita nampak di langit sebagai sebuah ‘nova’

Sejarah Blaze Star ini.

Letusan nova bintang T CrB ini (atau nama timangannya Blaze Star) mula dikesan oleh ahli astronomer Ireland, John Birmingham pada 12 Mei, 1866. Berdekad selepas itu pencerap-pencerap dunia terus memerhatikan kawasan nova ini muncul sehinggalah ia kembali dilihat terang pada tahun 1946. Kajian yang dibuat oleh Bradley Shaefer dari Louisiana State University pada tahun 2023 menunjukkan besar kemungkinan beberada catatan ‘bintang baru’ yang muncul pada tahun 1217 dan 1787 di kawasan langit yang sama mungkin merujuk kepada Blaze Star yang sama.

Graf kecerahan cahaya bintan T CrB pada tahun 1946. Wikimedia Commons CCA 4.0, data dari AAVSO.

Nova berulang

T CrB termasuk di dalam kumpulan nova yang dikenali sebagai Nova Berulang atau Recurrent Nova. Kurang dari 10 buah nova berulang telah ditemui setakat ini. Nova jenis ini adalah di antara nova yang kita tahu ia berulang-ulang dan boleh kira dan jangka kemunculannya akan datang.

Senarai nova berkala daripada buku The Backyard Astronomer’s Deep-Sky Field Guide oleh David Dickinson

Kedudukan bintang T CrB

Bintang T Crb ini terletak di dalam sebuah buruj kecil yang comel, Corona Borealis. Buruj ini terletak berhampiran dengan bintang Arcturus (bintang ke-4 paling terang). 7 bintang di dalam buruj ini membentuk seperti huruf ‘C’, dan ia menggambar sebuah mahkota permata.

Sebenarnya ia memang cantik cuma sayangnya tak ramai yang mengenali atau pernah melihat buruj ini. Kesian.

Ketika artikel ini ditulis (pertengahan Mac), buruj ini terbit sekitar tengah malam di ufuk timur laut. Menjelang Subuh, ia berada tinggi di garisan meridian (utara-selatan) ke arah ufuk utara.

Pada bulan Jun, ia sudah mula terbit awal dan berada di meridian sekitar tengah malam.

Pada bulan September, ia mula kembali rendah ke ufuk barat sekitar waktu Isya’.

Berikut adalah tarikh (awal bulan) dan waktu ketika buruj Corona Borealis berada paling tinggi di langit sebelah utara untuk Malaysia.

April – 4 AM
Mei – 2 AM
Jun – 12 AM
Julai – 10 PM
Ogos – 8 PM
Sep – 6 PM


Di bawah ialah peta bintang menunjukan kedudukan buruj dan bintang T CrB ketika berada pada garisan meridian (paling tinggi di langit).




Projek Astrofoto.

Bagi peminat astrofoto, saya syorkan anda merakam kawasan buruj Corona Borealis ini secara berkala, mungkin 3 kali seminggu, mulai sekarang hinggalah Blaze Star ini muncul. Mana tahu gambar-gambar yang dirakam ini dapat membantu pengkaji nova memperolehi data yang amat berharga.

Selamat mencerap.

Rujukan
View Nova Explosion, ‘New’ Star in Northern Crown
A Nova in the Making: Will T Coronae Borealis Pop in 2024?
Announcing T CrB pre-eruption dip

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments